Halaman

18 March 2013

BN Bantu Penduduk Dapat Hak Milik Tanah

Oleh: FAUZI MOHD 


Pemberian suratan hak milik tanah telah memberikan kelegaan kepada 193 peneroka Felcra kawasan Seri Bandi 3 dan 4 sekali gus mengakhiri penantian mereka selama 33 tahun.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, pemberian tersebut adalah bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited menjaga kepentingan rakyat.

Katanya, Kerajaan negeri dan Felcra terpaksa menyelesaikan beberapa masalah dihadapi peneroka di kawasan itu seperti status tanah sebelum geran hak milik dapat diserahkan.

 "Alhamdulillah pada hari ini kita dapat mengadakan majlis penyerahan geran hak milik kepada penduduk yang sebelum ini menghadapi masalah mendapatkan geran selepas 33 tahun lalu meneroka tanah di sini.

"Usaha Kerajaan BN sentiasa berterusan untuk bantu rakyat, bukan kerana dekat nak pilihan raya. Saya diberitahu esok 144 lagi peneroka di Setiu akan terima geran seperti ini dan Khamis ini di Besut seramai 70 orang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan suratan hak milik tanah berkenaan di Dewan Seri Bandi, Kijal hari ini. Hadir sama Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman dan Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Timur, Sauddi Sitor.

Ahmad berkata, pengurniaan itu adalah hadiah kerajaan kepada mereka dan sebagai bukti kerajaan BN sentiasa prihatin serta berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Dalam pada itu tambah beliau, Kerajaan negeri akan membina 300 unit rumah mampu milik di kawasan itu bagi menyelesaikan masalah perumahan untuk anak-anak peneroka.

"Rumah flat empat tingkat akan disiapkan pada tahun ini dengan mengutamakan penduduk sekitar Seri Bandi. Kos pembinaan akan ditentukan kemudian" katanya.