Halaman

21 March 2013

Kerajaan teruskan program hantar guru keluar negara

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan meneruskan program penghantaran guru keluar negara untuk lawatan sambil belajar sebagai menghargai jasa mereka mendidik anak bangsa serta mengharumkan nama negeri di mata luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tahun ini 30 orang lagi guru yang pelajarnya cemerlang dalam UPSR dan PMR lalu diberi peluang melawat keluar negara.

“Hari ini saya bangga dengan para guru yang telah berjaya mendidik generasi pelajar yang mampu menjulang kejayaan sekali gus telah mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya di majlis Apresiasi UPSR dan PMR Terengganu Anjung Ilmu di Wisma Darul Iman.

Katanya, kini dunia luar tidak lagi memandang sebelah mata kepada anak-anak Terengganu yang mampu mengukir nama dipersada antarabangsa dalam bidang akademik.

 “Kejayaan anak-anak kita hari ini adalah di atas pengorbanan para guru yang tidak mengenal erti jemu mendidik dan memberi tusyen di luar waktu sekolah bagi memastikan kejayaan anak didik masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengingatkan warga pendidik di negeri ini tidak terlibat dengan mesej-mesej negatif yang mengaitkan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu Sabah.

 “Para guru perlu dapatkan maklumat yang betul sebelum membuat sesuatu andaian serta hargai pengorbanan pasukan keselamatan kita yang sedang mempertahankan keamanan negara,” katanya.

Katanya, berfikirkan secara logik akal sebelum mengeluarkan kenyataan dan apa yang dilakukan warga pendidik turut mempengaruhi anak murid mereka.