Halaman

20 March 2013

Umno guna strategi terang dan serang bagi hadapi PRU13

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Umno akan menggunakan strategi terang dan tentang bagi menghadapi parti-parti pembangkang sepanjang kempen pilihan raya umum Ke-13 (PRU13) bagi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan, berkata penceramah parti itu diminta menyerang perkara-perkara tidak elok yang dilakukan pihak pembangkang supaya rakyat dapat mengetahui keburukan pihak lawan selama ini dalam kempen mereka.

“Selama ini kita (penceramah Umno) hanya menceritakan kebaikan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa menyentuh keburukan yang dilakukan pembangkang.

“Bagaimanapun, dalam kempen kali ini kita akan ceritakan keburukan mereka supaya rakyat dapat menilai mana yang lebih baik antara pihak kerajaan dan pembangkang,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada penceramah Umno di Terengganu Equestrian Resort petang ini.



Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Ketua Penerangan Umno Terengganu.

 Dato’ Ahmad berkata, penceramah Umno perlu lebih agresif pada pilihan raya ini kerana pihak pembangkang akan menggunakan apa jua cara bagi memburuk-burukkan kerajaan.

 Katanya, dalam kempen PRU13 ini juga penceramah Umno akan mendedahkan segala janji-janji manis parti pembangkang kepada rakyat yang gagal mereka tunaikan selama ini.

 “Pada masa yang sama kita juga akan menjelaskan kepada rakyat semua kebaikan yang telah Kerajaan BN laksanakan untuk rakyat di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau yakin strategi baru yang akan digunakan Umno pada pilihan raya kali ini akan membuahkan hasil yang positif dan mampu merealisasikan hasrat BN mendapat majoriti dua pertiga.

 “Di Terengganu kita meletakkan sasaran menang 100 peratus kerusi Parlimen di samping menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU13,” katanya.