Halaman

23 March 2013

Gelombang biru kuasai hati rakyat-TPM

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu antara negeri penting yang menyumbang kejayaan kepada kerajaan sedia ada serta pertahankan Putrajaya agar terus kekal berkuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, dalam tinjauan ke seluruh negara dan beberapa kali ke negeri ini ternyata gelombang biru telah menguasai rakyat di sini.

“Saya yakin Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dihati rakyat di negeri ini dan negara,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat di Kampung Petai Bubus, Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus semalam.

Hadir sama isteri beliau, Puan Seri Norainee Abdul Rahman: Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional negeri.

Katanya, Terengganu merupakan negeri paling membangun di Pantai Timur serta jauh lebih baik dari Kelantan dan Kedah yang menghadapi pelbagai masalah tanah dan berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang tidak puas hati dengan mereka.

“Saya bangga dan yakin kita akan mendapat sokongan padu dari rakyat di negara ini dan berharap mendapat keputusan lebih baik dalam Pilihan Raya ke-13 (PRU13) berbanding tahun 2008,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya telah meluluskan RM1.5 juta untuk pembangunan dalam Parlimen Kuala Nerus termasuk RM160,000 untuk penambahbaikan Masjid Kampung Petai Bubus.