Halaman

17 March 2013

MB umum inisiatif 1Malaysia Komuniti Perwani

Dato' Seri Haji Ahmad said
Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan satu inisiatif terbaru Strategi Lautan Biru iaitu 1Malaysia Komuniti Perwani bersempena program 1Million Women Purple Walk yang diadakan serentak seluruh negara, hari ini.

 “Inisiatif ini bertujuan mewujudkan 100,000 kumpulan Perwani seluruh negara dengan setiap kumpulan terdiri daripada 10 hingga 20 yang akan bertindak sebagai ejen transformasi komuniti.


“Hasrat ini boleh dicapai menerusi persatuan-persatuan sedia ada seperti persatuan penduduk, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili kaum wanita dan ibu tunggal,” katanya ketika berucap di program 1Million Women Purple Walk 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Lebih 30,000 wanita dari pelbagai agensi dan persatuan di seluruh Terengganu menyemarakkan acara berjalan kaki yang bermula dari Taman Awam Batu Buruk ke Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu yang melibatkan jarak kira-kira dua kilometer.

Menteri Besar berkata, Perwani boleh menganjurkan pelbagai aktiviti dan program kepada masyarakat terutama wanita yang menjurus kepada kesahteraan dan perpaduan seperti literasi undang-undang, penjagaan kesihatan dan kebajikan keluarga, keusahawanan serta tuisyen di rumah.

“Selain itu, kumpulan Perwani boleh bertindak sebagai penghubung masyarakat dengan pihak berkuasa bagi melaporkan atau memberi maklum balas berhubung sebarang prasarana awam yang memerlukan perhatian atau penambahbaikan,” katanya.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata, di Terengganu, kerajaan menjaga rakyat dari buaian hingga ke liang lahat serta memberikan keprihatinan yang luar biasa kepada semua tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.

Menurutnya, pelbagai program untuk membantu rakyat dicontohi di peringkat nasional kerana ia membawa kesejahteraan, mengurangkan bebanan kewangan keluarga, terutama keluarga miskin dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata, usaha membantu rakyat akan diteruskan selari dengan agenda kerajaan untuk Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di mana Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

Katanya, hanya kerajaan yang bertanggungjawab mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyatnya.