Halaman

22 March 2013

TPM kagum pencapaian pendidikan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah dan Suriati Ali

 Komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said terhadap pembangunan pendidikan membuatkan negeri Terengganu terus mencatat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan awam di negara ini.



Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, negeri Terengganu tiap-tiap tahun dapat keputusan yang hebat dan merupakan negeri yang catat keputusan cemerlang di negara ini.

“Saya iri hati juga kepada Terengganu kerana Johor negeri saya tidak boleh catat kecemerlangan seperti negeri ini , “ katanya ketika berucap di hadapan lebih 10,000 rakyat di majlis Jamuan Rakyat di Kampung Petai Bubus, Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus hari ini.

 “Saya ucap tahniah kepada Terengganu kerana dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru diumumkan, negeri ini mendahului negeri-negeri lain dan catat keputusan paling cemerlang,” katanya.

Hadir sama isteri beliau, Puan Seri Norainee Abdul Rahman: Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional negeri.

Katanya, kerajaan sebeginilah yang mesti kita sokong dan kekalkan kerana telah banyak memberi penekanan dan penambahbaikan terhadap pembangunan pendidikan demi masa depan generasi akan datang.



 Pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri telah menyerahkan Watikah Gerakan Pilihanraya kepada wakil-wakil Pusat Daerah Mengundi Parlimen Kuala Nerus yang diketuai Pengarah Pilihanraya Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.



Diikuti Pengerusi Pilihanraya DUN Tepoh (N09) YB Haji Muhamad Ramli Noh; Pengerusi Pilihan Raya DUN Teluk Pasu (N10), Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Pengerusi Pilihan Raya DUN Seberang Takir (N11) Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Pilihan Raya DUN Bukit Tunggal (N12) Haji Ismail Nik.

 





Penduduk Orang Asli Hulu Besut tidak dipinggirkan.


Adam bersalaman dengan YAB Menteri Besar

Oleh: Mohammad Ishak 

Nasib lapan keluarga penduduk Orang Asli,Kuala Sayap, Hulu Besut,tidak pernah diabaikan sebaliknya mereka sentiasa diberi perhatian dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang melakukan lawatan ke Kampung Keruak, Hulu, Besut sempena majlis perasmian pembinaan Lebuh Raya Keruak-Gunong Bongsu semalam turut disertai penduduk Orang Asli.

Sempena majlis itu mereka diraikan oleh pemimpin kerajaan dan menyampaikan sumbangan hamper dan wang.

Malah, dalam setiap program kerajaan terutama Pejabat Daerah Besut, golongan berkenaan sentiaasa diundang bersama supaya mereka dapat bergaul dengan masyarakat setempat.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, bagi memudahkan penduduk terbabit mendapat manfaat secara langsung mereka juga diberi hak menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sendiri.

Ketika ini ketua mereka, Adam Nilam dilantik sebagai Pengerusi JKKK dan menjalankan urusan dengan pejabat daerah serta agensi lain terutama dalam mendapatkan bantuan dan kemudahan asas.

Anggota Sukarelawan Polis Terengganu beri sumbangan


ASP Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada Khatijah Ismail 

Pix: Mohammad Ishak

Walapun bersifat anggota sukarelawan Polis tetapi peristiwa Lahad Datu yang mengorbankan anggota pasukan keselamatan mendorong Anggota Sukarelawan Polis Terengganu tanpil menghulurkan sumbangan kepada mangsa yang terkorban.

Terpanggil dengan semangat perjuangan Pasukan Sukarelawan Polis Terengganu melancarkan tabung bagi mengutip derma dikalangan anggotanya untuk disampaikan kepada keluarga Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, 1 Mac lalu.

Hasil kutipan RM1,500 daripada anggota sukarelawan mereka kemudian berkunjung ke rumah keluarga wira negara itu di Kampung Kubang Ikan,dekat sini.untuk menyampaikan sumbangan berkenaan.

Majlis sumbangan secara ringkas itu dilakukan Asisten Superintendan, Zulkifli Mokhtar kepada ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail, 64 di rumahnya di Kampung Kubang Ikan, semalam.

Zulkifli berkata, pihaknya berasa tempias dengan kejadian yang menimpa rakan seperjuangan walaupun kami di barisan sebagai anggota sukarelawan polis.

Menurutnya, pasukan itu yang kini mempunyai 670 anggota seluruh Terengganu, sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa anggota polis malah sumbangan itu sebahagian usaha untuk membantu keluarga polis.

Beliau berkata, sebagai anggota sukarelawan mereka mereka juga mempunyai tanggungjawab besar membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pelbaagai aspek keselamatan.

Beliau berharap, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ahli keluarga Allahyarham. Sementara itu, Khatijah berkata, beliau amat terharu dengan sikap prihatin masyarakat Malaysia yang bersimpati dengan nasib keluarga dan isteri Allahyarham yang datang menyampaikan pelbagai bentuk bantuan..

Manifesto Bukan Janji – Pakatan Rakyat


Oleh FAUZI MOHD 

Manifesto bukanlah satu perjanjian – demikianlah kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 29 Ogos 2012 ketika mengulas tuntutan rakyat Selangor yang mahu tunggakkan air percuma berjumlah RM300 juta dilangsaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri itu.

Maksud pemimpin PR itu apa sahaja yang digariskan dalam manifesto yang dicanang PKR, DAP dan PAS bukanlah satu bentuk perjanjian yang wajib ditunaikan, sebaliknya ia satu umpan politik semata-mata untuk mengaburi mata pengundi.

Rakyat yang terkedu dengan kenyataan itu bagaimanapun tetap dengan prinsip bahawa manifesto itu merupakan satu perjanjian dan ‘keceluparan’ pemimpin PR berkenaan adalah pengkhianatan kepada pengundi.

Pengarah Strategi Umno Terengganu, Dato' Rosli Mat Hassan ketika dihubungi Teganukita turut mempersoalkan apa gunanya manifesto baru yang bertemakan ‘Pakatan Harapan Rakyat’ dilancarkan sekiranya ‘manifesto bukan janji’.

“Apa guna manifesto yang dicetak panjang lebar, dicanang ke serata negeri jika pemimpin mereka anggap ‘manifesto bukan janji’? Adakah untuk populariti atau publisiti murahan?

 “Untuk apa manifesto baru sekiranya ia bukan sesuatu yang mesti ditunaikan, tidakkah itu satu bentuk khianat kepada undi yang diberikan oleh rakyat,” soal beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Dungun.

Tidak hairanlah perkataan manifesto dan janji diganti dengan perkataan ‘Tawaran Mega’ dalam satu perhimpunan di Kompleks PAS Pahang, Kerdau, beberapa hari selepas kenyataan Khalid Ibrahim.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang hadir pada program itu telah mengumumkan Tawaran Mega 3+1 meliputi peringkat Pusat dan negeri. Sampai bila pemimpin PR mahu dipandang oleh rakyat sebagai ‘penjual temberang’ dengan manifesto-manifesto yang adakalanya penuh retorik dan tidak masuk akal.

Rakyat telah melihat keupayaan PR di Selangor, Kedah, Pulau Pinang mahupun Kelantan yang sehingga kini masih kosong dalam isu pendidikan percuma hatta anak-anak tadika atau pra-sekolah masih perlu membayar pelbagai yuran bulanan serta tahunan. Institut Pengajian Tinggi (IPT) kelolaan kerajaan negeri di Selangor dan Kedah masih tidak mampu menjadi model pendidikan percuma seperti yang dimomokkan atas pentas ceramah politik.

Di Terengganu, soal bagaimana PAS tidak mampu menunaikan janji bukanlah perkara baru kerana parti itu pernah diberi mandat oleh rakyat mentadbir negeri itu pada tahun 1999 hingga 2004.

Contohnya, janji PAS untuk memperkasakan pendidikan di Terengganu ditunaikan dengan tindakan yang ‘pelik’ seperti mengarahkan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) mengambil 38 pelajar dan dua pensyarah yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kerajaan PAS yang ‘berlakon’ di hadapan rakyat kononnya lantang dalam isu kronisme turut meluluskan 10,000 ekar Hutan Simpan Sungai Paka, Dungun kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika itu, Dato’ Hishamudin Yahaya melalui syarikat North East Plantation Sdn. Bhd. pada 15 November 2000.

Turut diluluskan Kerajaan Pas ialah tanah pertanian seluas 50 hektar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Ladang ketika itu, Dr. Sulaiman Abdullah melalui syarikat Imbasan Padu Sdn. Bhd.

Keghairahan Kerajaan PAS meluluskan kawasan balak kepada Jawatankuasa Syura Rakyat, kroni-kroni PAS termasuk kawasan balak bernilai lebih RM5 juta seluas 2,600 hektar di Merang, Setiu kepada gadis berusia 26 tahun merupakan satu perbuatan mungkir janji. Manifesto PAS Fasa 11.1 pada kempen pilihanraya umum tahun 1999 menyatakan, “Kerajaan Pas akan mengawal pembalakan dan pemuliharaan hutan dan memastikan kawasan tadahan hujan dan alam sekitar terpelihara”.

Sementara itu, Kerajaan PAS turut menyenaraikan dalam manifesto mereka bahawa EXCO atau wakil rakyat tidak akan mengambil elaun dan imbuhan daripada anak syarikat kerajaan negeri, tugas dijalankan secara sukarela. Manifesto bukan janji!

Laporan EPIC mencatatkan dengan jelas imbuhan Pengarah sepanjang tahun 2001. EXCO Kerajaan Pas, Dato’ Wan Muttalib Embong menerima bayaran sebanyak RM42,408.

Seorang lagi Pengarah yang juga Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menerima RM33,056.

Di mana prinsip dan maruah pemimpin Pakatan Rakyat dalam soal menabur dan menunai janji? Jika Khalid Ibrahim pada tahun 2012 berkata ‘manifesto bukan janji’, pemimpin PAS di Terengganu sudah lama mengamalkan prinsip yang layak disebut ‘manifesto hanya gula-gula pilihanraya, bukan untuk ditunaikan’.

Anak buruh cemerlang SPM

Oleh: Noraini Jusoh

Cita-cita anak kepada seorang buruh, Ika Nadia Sulhaki, 18, untuk bergelar jurutera suatu hari nanti semakin cerah apabila beliau memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (2012) yang diumumkan, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu itu adalah antara pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 11 A bagi sekolah terbabit.

Ika Nadia berkata, cara belajarnya sama seperti pelajar lain dengan fokus dan memberi sepenuh tumpuan semasa mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

"Semasa di kelas, saya memberi sepenuh tumpuan terhadap apa yang diajar guru dan bertanya terus kepada guru sekiranya ada yang tidak faham.

"Selain itu, saya turut menghadiri kelas tuisyen bagi menambah pemahaman terhadap apa yang dipelajari,” ujarnya ketika ditemui Teganukita semasa mengambil keputusan SPM di sekolah tersebut, semalam.

Anak sulung daripada empat orang adik-beradik bagi pasangan Sulhaki Sarafudin, 43, dan Kamariah Mohd, 45, tidak menjadikan kemiskinan keluarganya sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.

"Walaupun ayah hanya seorang buruh dan emak pula tukang cuci, mereka banyak memberi dorongan kepada saya supaya belajar bersungguh-sungguh dan diharap kejayaan yang diperoleh hari ini menjadi contoh kepada adik-adik,” katanya.

Katanya, selain dorongan kedua ibu bapanya, sokongan guru-guru dan rakan-rakan turut membantu beliau mendapat keputusan yang cemerlang .

Ika Nadia memperoleh 2A+, 6A, dan 3A- di mana A+ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik Tambahan, 6A bagi Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Biologi, Pendidikan Syari’ah Islamiah dan Bahasa Arap sementara A- Fizik, Kimia dan Pendidikan Al-Quran dan Sunnah.

 

21 March 2013

435 murid Tahun Empat DUN Sura terima e-Book

Oleh: Noraini Jusoh

Dengan misi mahu membuat lonjakan hebat terhadap penguasaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), langkah demi langkah digerakkan bagi mengubah lanskap pendidikan di Terengganu.


Selaras dengan hasrat tersebut, kerajaan negeri meneruskan pemberian e-Book kepada murid Tahun Empat di seluruh negeri ini bagi membantu murid-murid menguasai bidang ICT dengan lebih baik.


Bertempat di Dewan Utama majlis Perbandaran Dungun, Dungun, wajah gembira murid, guru dan ibu bapa dirakamkan apabila seramai 435 murid dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menerima agihan e-Book secara percuma, semalam.

Lebih bermakna, penyampaian daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said itu ditunggu-tunggu murid tahun empat dari enam buah sekolah di DUN berkenaan.



Daripada jumlah itu, 16 penerima daripada Sekolah Pendidikan Khas; Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dungun (84); SK Pusat Dungun (119), SK Bandar Dungun (62), SK Sultan Omar (124) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa (30).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato' Zaabar Mohd Adib serta Pegawai Pembangunan DUN Sura, Datuk Wira Rosli Mat Hassan. 

 

Kursus aritmetik kunci kejayaan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

“Kursus aritmetik mental yang diikuti Anis semasa kecil merupakan salah satu faktor kejayaan anak saya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012,” kata Puan Ratna Nainy, 45, ibu kepada Anis Raihan Asmadi, 18, yang merupakan seorang daripada 19 pelajar cemerlang negeri ini yang berjaya memperolehi semua A+ dalam keputusan SPM kali ini.

Kursus aritmetik mental merupakan latihan intensif untuk mengembangkan minda kanak-kanak dalam mempelajari matematik khususnya dengan cara yang betul dan cepat terbukti membantu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan  Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek itu meraih keputusan cemerlang 11A+ bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.



Anak sulung empat beradik itu melahirkan rasa bersyukur kepada Allah s.w.t atas kejayaan yang diperoleh dan menyifatkan kejayaan itu bukan miliknya tetapi pinjaman daripada Allah s.w.t semata-mata.

"Saya turut terhutang budi kepada ayah dan ibu serta guru di SMKA Sheikh Abdul Malek, guru tuisyen serta datuk dan nenek selain rakan-rakan yang banyak memberi bantuan dan dorongan selama ini.



"Petua belajar yang selalu saya amalkan ialah belajar setiap malam dan habiskan silibus yang diajar guru manakala dari sudut rohani saya selalu lakukan solat Taubat dan Hajat setiap malam serta tidak lupa berdoa kepada Allah s.w.t kerana doa adalah senjata untuk berjaya,” ujarnya ketika ditemui Teganukita ketika megambil keputusan SPM di sekolah tersebut, hari ini.

Anis Raihan yang merupakan pelajar aktif dalam aktiviti kokurikum juga seorang pemidato terhebat di sekolah serta mewakili negeri ke pertandingan di sekolah luar Terengganu, bercita-cita menjadi seorang peguam seperti ayahnya, Encik Asmadi Awang, 46, seterusnya berhasrat untuk meneruskan legasi di firma guaman milik ayahnya suatu hari nanti.

"Kata-kata motivasi yang sering diberikan oleh ayah dan ibu turut menambah semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dalam SPM,” katanya.

Sementara itu, Puan Ratna berkata, beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi dan redha setiap ketentuan Ilahi  dengan apa sahaja keputusan peperiksaan yang bakal diterima cahaya matanya itu, bagaimanapun dengan kecemerlangan berkenaan, mereka sekeluarga sangat bersyukur dan berbangga walaupun sebelum ini Anis merekod 10A dan 1B dalam peperiksaan percubaan SPM.

"Dari kecil Anis sudah diserapkan dengan motivasi, malah mampu membaca serta menunjukkan potensi sejak sekolah rendah dan apabila di peringkat menengah sudah pandai berusaha sendiri,” katanya yang merupakan Juruhias Dalaman.

Tambah beliau, kejayaan yang diperoleh anaknya turut dibantu pihak kementerian dengan mengadakan kelas tambahan di sekolah dan kestabilan ekonomi di negeri ini.



Kejayaan Anis Raihan turut dikongsi sahabatnya Syafiqah Yusof,18, yang memperoleh keputusan 11A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil dan turut dinobatkan antara 19 pelajar cemerlang bagi seluruh  Terengganu.

 







Penduduk Hulu Besut dapat jalan baru menghubungi Hulu Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak 

Lebih 30,000 penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman Hulu Besut, akan mendapat kemudahan jalan raya yang lebih besar apabila projek pembinaan laluan Keruak ke Gunung Bongsu, Hulu Terengganu siap sepenuhnya pada 2014.

Jalan berkenaan juga akan memendekkan waktu perjalanan penduduk sekitar daerah Besut yang akan pergi ke utara melalui Ipoh,Perak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pembinaan jalan fasa pertama sejauh10 kilometer berharga RM106 juta kini pada tahap 38 peratus siap.

Katanya, pembinaan fasa berikutnya membolehkan pengguna jalan raya dari Besut ke Tasik Kenyir seterusnya ke Gua Musang dan Perak, akan menjimatkan waktu perjalanan berbanding sekarang yang menggunakan laluan Kuala Terengganu atau Gua Musang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian pelaksanaan projek pembinaan jalan Keruak-Gunong Bongsu,Hulu Terengganu, di Kampung Belaoh, Hulu Besut.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Jabio Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad.

Pembinaan jalan berkenaan satu lagi projek Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hadiah istimewa kepada penduduk daerah Besut.

Kerajaan sedia beri nama jalan kepada dua wira Negara


 Oleh: Mohammad Ishak


Kerajaan Terengganu sedia menimbang untuk memberikan nama jalan kepada dua Wira Negara dari Besut yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Besar,Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sebagai permulaan beliau sudah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof dan ADUN Jabi Ramlan Ali, mencari jalan yang sesuai di kawasan masing-masing untuk menamakan dua perwira berkenaan.

Perwira terbabit ialah Superintendan Ibrahim Lebar dari Kampung Jabi dan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dari Kampung Kubang Ikan, Besut kedua-duanya terbunuh dalam serangan oleh pengganas di Lahat Datu.

Menteri Besar berkata, cadangan memberikan nama jalan kepada dua wira berkenaan sebahagian daripada tanda kenangan dan memperingati jasa mereka terhadap Negara.


Terdahulu Ahmad turut mengunjungi rumah dua keluarga berkenaan untuk menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada balu anggota keselamatan itu.

Dalam kunjungan itu, Menteri Besar menyampaikan cek RM50,000 kepada ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail, 64 di rumahnya di Kampung Kubang Ikan dan balu Allahyarham Ibrahim, Rosiah Dahlan, 50,di rumah keluarganya di Kampung Jabi, Setiu.

Hadir sama dalam majlis penyerahan cek berkenanan ialah ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintandan Kamaruddin Mohd Zakaria.




Terengganu kekal momentum cemerlang SPM 2012

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Terengganu mengekalkan momentum kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  apabila merekodkan peningkatan dari segi kualiti pelajar yang memperolehi semua A+ bagi keputusan peperiksaan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.



Berdasarkan keputusan yang diumumkan hari ini, pelajar yang memperolehi semua A+  atau cemerlang tertinggi dalam semua mata pelajaran meningkat empat orang kepada 19 orang berbanding 15 orang pada 2011.



Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) , Encik Hashim Mohd Zin, berkata prestasi calon yang memperolehi semua A turut meningkat dengan 513 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (2.46 peratus) berjaya mencapai keputusan itu, berbanding 408 calon (1.95 peratus) pada tahun sebelumnya.

 “Seramai 19 orang calon sekolah KPM (0.09 peratus) berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 15 orang (0.07 peratus) pada 2011.

 “Saya ingin menegaskan bahawa bukanlah suatu yang mudah bagi mencapai calon gred cemerlang tertinggi ini melainkan dengan disiplin, tekad, semangat dan komitmen serta sokongan moral semua pihak akan mampu melahirkan pelajar sebegini,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, hari ini.

Encik Hashim berkata, enam sekolah menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.25 dan ke bawah. Sekolah berkenaan, Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu (1.49), SM Imtiaz Besut (1.67), SM Sains Kuala Terengganu (1.79), SM Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (2.06), SM Sains Hulu Terengganu (2.07) dan SM Imtiaz Kuala Terengganu (2.23).

 “Selain itu, prestasi mata pelajaran turut membanggakan apabila 33 daripada 73 mata pelajaran yang diambil calon SPM menunjukkan peningkatan berdasarkan Gred Purata Mata pelajaran (GPMP).

“Bagi kategori cemerlang, sebanyak 23 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus ( gred cemerlang A+, A atau A-), sementara 20 mata pelajaran menunjukkan prestasi stabil iaitu peningkatan atau penurunan kurang daripada tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-), manakala 29 mata pelajaran menurun prestasinya melebihi tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-),” katanya.

Seramai 22,274 calon menduduki SPM 2012 berbanding 22,702 orang pada 2011 di 183 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.