Halaman

01 April 2013

Masjid disaran tubuh koperasi

Oleh; Esah Abdullah

 Pihak pengurusan masjid-masjid di negeri ini disaran menubuhkan koperasi masing-masing bagi menjana pendapatan serta tidak lagi bergantung bantuan kewangan daripada kerajaan semata-mata.

Pegawai Agama daerah Kuala Terengganu, Encik Ariffin Jusoh berkata, kemudahan yang disediakan di masjid juga boleh dimanfaatkan untuk aktiviti yang boleh menjana pendapatan.

“Idea penubuhan koperasi masjid adalah pendekatan yang paling sesuai untuk membolehkan masjid mempunyai pendapatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Bengkel Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Terengganu di Dewan Syarahan, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) Negeri Terengganu, Encik Mohamed Jais Hassan.

Katanya, apabila tertubuhnya koperasi secara automatik mempunyai syarikat sendiri dan seterusnya memberi peluang bersaing mendapat kontrak-kontrak seperti kontrak membersih masjid itu sendiri.

Menurutnya, kerajaan negeri membelanjakan memperuntukan yang tinggi untuk membina sesebuah masjid dan juga bagi prasarananya tetapi adalah satu kerugian jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana pendapatan.

 “Ia juga bukan hanya memberikan manfaat kepada anggotanya sahaja malah membantu mengukuhkan kewangan masjid serta tidak lagi perlu bergantung kepada sumber kewangan luar untuk melakukan sebarang program,” katanya.

Menurutnya, sebahagian masjid di negeri ini mempunyai kelengkapan terkini termasuk kemudahan dewan, kios dan ada juga mempunyai rumah persinggahan yang boleh dimanfaatkan bagi menjana pendapatan..

Katanya, walaupun proses menubuhkan koperasi kariah masjid agak rumit namun percaya usaha itu dapat dilakukan hasil sokongan agensi terlibat seperti Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Fungsi masjid tidak lagi sekadar menjadi tempat ibadat semata-mata, tetapi turut dijadikan tempat menjalankan aktiviti tertentu untuk kebajikan masyarakat setempat dan juga aktiviti koperasi,” katanya.

Pemimpin Pemuda PAS menghina Nabi Muhammad adalah biadap


Ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Daerah Besut menghadiri perjumpaan dengan Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin

Oleh: Mohammad Ishak 

Perbuatan seorang pemimpin Pemuda PAS Pusat yang memfitnah UMNO dalam pembikinan video seks malah menyamakan pula dengan Nabi Muhammad SAW sudah keterlaluan dan perlu diambil tindakan pihak berkuasa.

Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, pemimpin berkenaan juga memang biadap kerana satu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Katanya, jika inilah model kepemimpinan PAS yang mendakwa memperjuangkan Islam ia satu kesilapan besar dan patut ditentang oleh seluruh umat Islam negara ini.


Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, Pas perlu mengambil tindakan terhadap Khairul Fahmi Mat Som kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung umat Islam sendiri.

“Kenapa setiap kalim keluar video seks pemimpin pembangkan mereka sering menyalahkan UMNO sedang ia dilakukan oleh indiviidu tertentu,” katanya kepada media selepas majlis Ramah Mesra dengan ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Daerah Besut, hari ini.

Katanya, tindakan Khairul Fahmi itu adalah perbuatan orang jahil dan tidak bertamadun dan perlu ditentang oleh rakyat negara ini.

Menurutnya, UMNO bukan parti purba yang menoleh ke belakang malah membimbing umat Islam untuk mencapai kemajuan di dunia dan akhirat.

Katanya, adalah tidak wajar UMNO akan sanggup mengeluarkan video seumpama itu terhadap Nabi Muhammad SAW jika sekalipun masih hidup.

Abdullah berharap, badan bukan kerajaan termasuk PERKASA tanpil membuat laporan polis terhadap pemimpin pemuda PAS berkenaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan.

Peranan NGO Wanita ditagih bagi kelangsungan pentadbiran kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) meminta semua Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita di negeri ini menjalankan aktiviti yang menjurus kepada merealisasikan hasrat murni pentadbiran kerajaan sedia ada.

Yang Dipertuanya, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, di samping mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat, NGO wanita perlu bersatu mendokong hasrat kerajaan negeri ke arah memakmurkan rakyat.

“Saya harap NGO wanita dapat menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta menjurus kepada hasrat murni kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Serikandi ke-26 di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, peranan NGO wanita sangat besar di mana khidmat dan sumbangan wanita hebat hari ini sentiasa ditagih bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan dapat dikekalkan demi agama, bangsa dan negara.

“Status sebagai isteri wakil rakyat, penjawat awam, anggota keselamatan dan sebagainya tidak menjejaskan tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemakmuran negeri dan negara  tetap digalas dibahu kami,” katanya yang juga isteri Menteri Besar.

Tambahnya, beliau sedar dengan kesibukan tugas hakiki bagi mereka yang bekerjaya dan peranan mendidik dalam rumahtangga bukan perkara mudah seorang wanita berkorban masa dan tenaga.

Katanya, kita perlu bersyukur berada dalam negeri yang aman damai, boleh melakukan aktiviti seharian tanpa perlu takut kepada sebarang ancaman dan pernahkah terfikir dengan saudara kita yang berada dalam negara yang kacau bilau yang rakyatnya sentiasa hidup dalam ketakutan.

 “Saya yakin semua orang tidak inginkan perkara berkenaan berlaku di negeri dan negara kita, lantas hargailah keamanan yang dinikmati hari ini dan kekalkan pentadbiran kerajaan sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu Serikandi telah menyerahkan sumbangan pentadbiran berjumlah RM34,000 kepada 17 buah NGO wanita di negeri ini.

Turut menerima sumbangan ialah dua balu anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, Sabah berjumlah RM10,000 dan masing-masing RM1,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di lapan Parlimen.

Semua sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sekali gus merasmikan Mesyuarat Agung Serikandi kali ke-26.
 

Persiapan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Besut berjalan lancar


Kerja menyiapkan astaka sedang giat dijalankan

Oleh: Mohammad Ishak 

Persiapan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang akan berlangsung di Stadium Mini Besut, Kampung Raja, malam esok (Selasa) giat dijalankan bagi mempastikan tilawah berkenan memberi impak besar kepada penghayatan Islam.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh,berkata majlis tilawah itu akan bermula pada 2  dan berakhir 4 April.

Katanya, seramai 16 peserta mewakili setiap daerah di negeri ini akan mengambil mengambil bahagian dalam tilawah bertemakan “Aasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”.


Majlis tilawah itu akan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Selasa ini, katanya di sini hari ini. 

Manakala DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada qari dan qariah

Turut dijadual berangkat ialah Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah. Johan qari dan qariah akan mewakili negeri Terengganu untuk tilawah peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada Jun depan. 

Beliau berharap Orang ramai sekitar daerah Besut  hadir bagi memeriahkan majlis tilawah dan pihak penganjur turut menyediakan pengangkutan bas.

5,000 warga pendidik beri sokongan kepada MB

Kira-kira 5,000 warga pendidik dari seluruh negeri Terengganu akan berhimpun di Stadium Tertutup Gong Badak, pagi esok, bagi memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Encik Zakaria Hussin (gambar) dan pegawai-pegawai kanan JPNT akan turut menyertai perhimpunan itu yang dijangka bermula jam 10 pagi.

Pada majlis itu, Menteri Besar akan memberi amanat kepada warga pendidik yang telah banyak menabur jasa dalam meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahamd Razif Abd Rahman, juga dijadualkan hadir dan memberi ucapan pada majlis itu.

JPNT  turut merancang untuk mengadakan persembahan khas berupa deklamasi sajak bagi menyemarakkan majlis tersebut.


RM5,000 menunggu pengunjung ke-500,000 Zoo Bukit Takal

RM5,000 menanti pengunjung ke 500,000 di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal.
Wang tunai bernilai RM5,000 beserta pelbagai hadiah iringan menanti pengunjung ke-500,000 di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid berkata zoo terbesar di Pantai Timur itu yang beroperasi sejak 2009 kini menerima kira-kira 400,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Ini adalah sebagai usaha kita untuk menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke zoo ini dan berharap pengunjung akan dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga mereka sepanjang berada di sini.

“Program pengunjung bertuah ini juga diadakan Sempena Tahun Melawat Terengganu pada tahun ini dalam usaha menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu,” katanya.

Jumaat lepas, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang, Kulai, Johor menerima RM3,000 apabila menjadi pengunjung ke-300,000 serta menerima tajaan penginapan dua hari satu malam di Resort World Kijal beserta RM500 untuk kos perjalanan serta pembelian pelbagai barangan cenderahati daripada pihak zoo.

Zoo berkeluasan 120 hektar ini dilengkapi pelbagai tarikan seperti perkhidmatan trem, kolam mandi dan gelongsor air serta pelbagai taman.

Pengunjung turut berpeluang melihat cahaya kunang-kunang dengan menyusuri Sungai Yak Yah pada waktu malam.

Kerajaan negeri anjur pertandingan bot berhias

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan bot berhias sempena sambutan ulang tahun ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, 4 Mei ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato' Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, pertandingan bertemakan ‘Dirgahayu Tuanku, Tahun Melawat Terengganu 2013’ itu bakal disertai 16 jabatan termasuk tujuh pejabat daerah di negeri ini dan selebihnya jabatan kerajaan yang lain.

"Tujuh pejabat daerah itu adalah Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Besut, Dungun, Kemaman dan Setiu.

"Sementara Majlis Kebudayaan Kuala Nerus, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), TATI University College (TATIUC), TESDEC Sdn Bhd dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) juga akan menyertai pertandingan yang julung kali diadakan pada siang hari itu,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan penyertaan bot berhias bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-51 Hari Keputeraan KDYMM Sultan Terengganu di Prinzpark Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Dato' Haji Abdul Rahin berkata, pada pertandingan tersebut setiap daerah disyaratkan untuk menonjolkan produk masing-masing dan mereka bebas untuk memilih produk pelancongan yang ingin diketengahkan berdasarkan kreativiti tersendiri.


Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM420,000 untuk diagihkan kepada semua pasukan yang terlibat sebagai bantuan menghias bot.

Tambah beliau, pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM25,000, kedua RM15,000, ketiga RM10,000 dan dua saguhati RM7,000 setiap satu manakala sistem pemarkahan akan dikira berdasarkan kreativiti sebanyak 30 peratus, kesesuaian hiasan dengan tema 30 peratus, kekemasan 30 peratus dan bonus sepuluh peratus.

 

31 March 2013

Teganukita 77


Kesetiaan 190 TCS kepada kerajaan hari ini : Mohd Kamil

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua 190 Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) diminta memberi kesetiaan tidak berbelah-bahagi kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan juga kepimpinan kerajaan negeri hari ini, kata Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Haji Mohd Kamil Othman.

“Saya mengharapkan semua pegawai tadbir negeri dapat membezakan antara intan dan juga kaca serta membezakan mana yang baik dan lebih baik, supaya apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kita semua mampu menunaikan tanggungjawab untuk memberikan kesetiaan kepada kerajaan hari ini,” kata beliau di Majlis Ramah Mesra Pegawai-Pegawa Tadbir Negeri Terengganu Bersama YAB Menteri Besar, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Haji Mohd Azlan Dagang.

Hadir sama, semua pegawai daerah dan yang dipertua perbandaran daerah seluruh Terengganu.

Haji Mohd Kamil yang juga Pegawai Daerah Kemaman turut mengingatkan TCS bahawa tanggungjawab kumpulan itu amat berat dalam pentadbiran negeri khususnya dalam memastikan kehendak rakyat sentiasa dipenuhi berdasarkan gagasan kerajaan negeri dan Pusat.

 “TCS merupakan kumpulan `premier service’ dan kita menjadi harapan kepada pentadbiran negeri. Malah sedar atau tidak, tanggungjawab TCS amat berat bagi memastikan kehendak rakyat, iaitu pelanggan kita sentiasa dipenuhi.

“Bagi memenuhi tuntutan dan kehendak pelanggan, kita haruslah sentiasa bekerja keras bagi menunjukkan kualiti perkhidmatan yang sebenar sebagai premier service,” katanya.

Beliau turut menasihati kumpulan TCS supaya menjaga tingkah laku, peribadi, tatasusila dan saling menghormati antara TCS lama dengan yang baru bagi menjaga imej kumpulan itu, selain mengelak tanggapan buruk masyarakat terhadap sektor perkhidmatan awam.

Katanya, kumpulan TCS yang baru perlu menerapkan rasa hormat yang tinggi kepada TCS yang lama bagi mengelak satu masa nanti mereka pula tidak dihormati orang-orang bawahan.

“Harapan kepada TCS muda supaya memandang ke hadapan dan merenung masa depan dengan lebih teliti supaya cara hidup yang baru itu tidak lupa untuk menyelitkan unsur-unsur kesepakatan.

 “Kesepakatan di antara kitalah akan menyumbang kepada kejayaan dan prestasi baik perkhidmatan dalam sistem pentadbiran negeri,” katanya.


WANITA UMNO TUBUH PASUKAN HADAPI HURU HARA PRU 13 CETUSAN PEMBANGKANG

Oleh : Ruslan AR

Umno Terengganu adalah negeri yang begitu berpengalaman dalam menghadapi suasana huru hara yang dicetuskan oleh pembangkang.

Tindakan pihak pembangkang menghalang pengundi-pengundi BN dari membuang undi amatlah ternyata dan jelas sekali dengan menggunakan samseng-samseng mereka.

Kalau dilihat dari sudut keadilan, demokrasi dan nilai-nilai Islam, pihak pembangkang telah sama sekali menolak keadilan, demokrasi dan nilai-nilai Islam hanya kerana mahukan kemenangan dengan apa jua cara sekali pun. (lihat video ini).



Pada 13 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa daripada maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk menggagalkan PRU 13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada BN yang sudah mula meningkat. Muhyiddin bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat dokumen yang didakwanya itu.

Sementara itu Wanita Umno akan menubuhkan satu pasukan gerakan bagi menghadapi huru-hara yang didakwa akan dicetuskan oleh pihak pembangkang. Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mendakwa, berdasarkan maklumat yang diperoleh, huru-hara itu dilakukan bertujuan untuk menakutkan orang ramai agar tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

 "Oleh kerana pembangkang takut dengan BN, maka mereka telah buat perancangan tetapi sudah dibongkar oleh media. "Pada hari nak mengundi nanti, mereka (pembangkang) akan wujudkan keadaan huru-hara supaya penyokong BN takut untuk keluar mengundi.

"Jadi Wanita menubuhkan task force bagi memberitahu pengundi supaya keluar secara aman pada hari mengundi. Dan (pasukan) ini akan ada di semua peti undi," dakwanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian semasa merasmikan Majlis Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama warga perumahan PDRM Desa Tasik sempena Hari Polis ke-206 hari ini di ibu negara.

Sehubungan itu, ketika ditanya adakah huru-hara yang dimaksudkannya adalah perkara sama yang disebut Muhyiddin, Shahrizat berkata, beliau hanya mengetahui tentang perkara itu daripada media dan "cakap-cakap ahli pembangkang".

"Media dan kita (Wanita Umno) adalah mata dan telinga rakyat di peringkat akar umbi.

Oleh kerana rakyat sokong Datuk Seri Najib (Razak) dan BN maka pembangkang takut.

Kita dapat tahu ini pun dari cakap-cakap ahli mereka juga.

Dan bila media lapor, jadi kita tau ini akan berlaku.

"Kita Wanita tidak gentar. Kita akan jadi benteng.

Dan pengundi mesti tahu bahawa ini kerja pembangkang yang nak bawa unsur-unsur ganas dan reformasi semasa hari membuang undi dan mereka akan mula dari awal," katanya lagi.