Halaman

08 April 2013

Hotel Wakaf bakal beroperasi 15 April

Oleh: Suriati Ali

Kewujudan Hotel Wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dijangka dapat menampung permintaan terdesak pelancong sempena Tahun Melawat Terenganu (TMT) 2013.

 Hotel setinggi tujuh tingkat dan bakal beroperasi pada 15 April ini menyediakan kemudahan 180 bilik penginapan, termasuk dua bilik asrama dan enam bilik super eksekutif.

 Kemudahan lain yang disediakan hotel bernilai RM41.7 juta itu, ruangan pejabat, dewan seminar, kolam renang, surau dan restoran.

Dibangunkan di tengah pusat bandar raya Kuala Terengganu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan selain memajukan indusri pelancongan.

 Ketua Pegawai Esekutif Maidam, Dato’ Haji Rozali Salleh berkata dengan siapnya hotel yang bakal diuruskan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) semestinya dapat menyempurnakan hasrat pewakaf disamping membantu Terengganu dalam industri pelancongan.

 “Bilangan hotel di Terengganu masih tidak mencukupi kerana bilangan pelancong ke negeri ini semakin bertambah terutama apabila tiba musim cuti sekolah, penganjuran aktiviti atau program bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

“Pihak kami yakin, dengan wujudnya hotel ini, ia turut menjadi pemangkin dalam menjana peluang pekerjaan dikalangan anak golongan asnaf dan penduduk tempatan di Terengganu,” kataya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hotel Wakaf, di Jalan Masid Abidin, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan & Kewangan) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hajah Hasnah Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Datuk Haji Anan Mohd dan Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Prof Datuk Dr Amer Hamzah Mohd.

Dato’ Haji Rozali turut memberitahu pihaknya turut mewujudkan projek wakaf bersifat kemudahan sosial seperti pembinaan komplek asrama anak yatim, hentian maidam dan pusat kulinari dan beberpa permis perniagaan.

 

Penghargaan besar, jika wanita dicalonkan : Nordiana

Oleh: Aida Abd Rahman

Satu penghargaan besar dari pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan Pusat jika terdapat calon wanita diketengahkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Ketua Puteri Umno Negeri, Puan Nordiana Shafei

“Jika kepimpinan negeri dan Pusat memberi peluang kepada wanita bertanding kali ini, saya melihat itu satu pengiktirafan cukup baik kepada golongan hawa.

“Sebagaimana pengalaman ketika saya bertanding pada PRU lepas, tentangan yang diterima calon wanita memang agak sengit, bagaimanapun saya percaya sekiranya semua pihak memberi kerjasama dan sokongan padu, tidak mustahil sesiapa sahaja calon wanita BN mampu merekod sejarah untuk menang jika diberi peluang itu kelak,” katanya baru-baru ini.

Puan Nordiana yang mencipta sejarah sebagai calon wanita pertama diketengahkan BN bagi kerusi Dewan Undangan Batu Burok pada PRU12 lalu, akan memastikan seluruh pergerakan Puteri Umno  menggerakkan bantuan dan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada sesiapa sahaja calon, sama ada lelaki atau wanita bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Katanya, pihaknya juga bersiap-siaga bagi berdepan PRU13 yang akan dijalankan pada bila-bila masa sahaja itu, khususnya sebagai jentera perayu undi yang membantu Wanita Umno serta penggerak teknologi maklumat (IT) di setiap 340 Pusat Daerah Mengundi seluruh Terengganu.


Pas guna kanak-kanak pancing undi

Oleh: Cicit Laksamana

‘Mak cik nak buah epal?”, seorang kanak-kanak yang berusia lingkungan 10 tahun menegur wanita separuh umur di Pasar Manir.

Kebetulan wanita tersebut datang ke pasar berkenaan untuk membeli keperluan rumah. Sebaik saja wanita berkenaan berhenti di depannya, kanak-kanak itu melemparkan senyuman lalu menghulur satu beg plastik kecil.

“Di dalam beg ini ada buah epal, makcik,” katanya dengan wajah yang manis dan senyuman yang masih tidak lekang dari wajahnya.

Sambil mengucapkan terima kasih, wanita separuh umur tadi mencapai beg berkenaan dan berlalu pergi untuk membeli beberapa keperluan lagi.

Sampai di rumah, wanita berkenaan membuka beg kecil tadi untuk melihat kandungannya.

Setelah diperiksa dia mendapati selain sebiji epal yang dikatakan kanak-kanak tadi, terdapat juga beberapa barangan lain yang tidak ‘diundang’ di dalam beg kecil tersebut.

Di dalam beg yang dihulurkan kanak-kanak tadi juga terdapat sekeping kertas bercetak manifesto Pas dengan janji-janji palsunya dan senaskhah akhbar mengandungi berita-berita yang mengutuk serta mencaci kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Begitulah cara Pas memancing undi masyarakat negeri ini supaya menyokong mereka dan memilih calon-calon parti itu pada pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Taktik menggunakan kanak-kanak seumpama itu telah lama diamalkan oleh Pas bagi menarik perhatian dan meraih simpati orang ramai, khususnya setiap kali menjelang pilihan raya.

Bukan saja kanak-kanak, tetapi pelajar institusi pengajian tinggi juga turut digunakan sesuka hati mereka bagi menyebar risalah parti Pas dan Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, pihak pembangkang yang tidak berhati perut itu turut menggunakan kanak-kanak untuk menyertai demonstrasi yang diadakan di seluruh negara bagi menarik perhatian orang ramai.

Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku kerana ia menjejaskan tumpuan kanak-kanak dan para pelajar yang sepatutnya memberi tumpuan kepada pelajaran mereka.

Pemimpin Pas sanggup mengheret kanak-kanak dan pelajar ke kancah politik bagi memastikan propaganda dan kempen mereka sampai kepada rakyat.

Lebih dahsyat lagi kanak-kanak di awal usia telah diajar untuk membenci dan mencaci pemimpin kerajaan. Kanak-kanak di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dihasut supaya membenci pemimpin Umno dan BN dengan gelaran bapa kafir dan ‘taghut’.

Inikah ajaran yang dianuti oleh pemimpin dan pengikut Pas yang sering mendakwa memperjuangkan Islam?

Benarkah tindakan pemimpin Pas menyemai bibit-bibit kebencian sesama saudara seagama di kalangan kanak-kanak yang masih belum mampu memikir mana yang baik mana yang buruk itu?

Inilah antara fakta-fakta yang perlu dihalusi masyarakat kita sebelum membuat pilihan antara Pas atau BN yang mengutamakan kepentingan rakyat dalam perjuangan mereka.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pemimpin BN menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan nasib mereka, sama ada masih menjadi pilihan rakyat atau sebaliknya.

 

Kunjungan hormat kukuh hubungan Terengganu-Itali

Oleh: Aida Abd Rahman

Duta Besar Itali ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mario Sammartino dan isteri, Puan Federica Modena Sammarti mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar, di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini.

Pertemuan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dengan rombongan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu menyentuh mengenai pelbagai kemajuan dan pembangunan antara kedua-dua negeri khususnya dalam sektor perindustrian, pelancongan dan pendidikan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Sejurus pertemuan itu, duta besar berkenaan yang tiba di negeri ini jam 3.30 petang semalam dan menginap di Hotel Primula Becah Resort, Kuala Terengganu dijadualkan mengunjungi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Badariah.



Pertemuan dua hala antara Terengganu-Itali itu dilihat mampu mengukuhkan hubungan silaturahim antara dua pihak, sekaligus meninjau kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang boleh memberi manfaat bersama di masa depan.

Kedua-dua pihak saling bertukar cendera hati kenang-kenangan sebelum mengakhiri pertemuan penuh bermakna itu.
Rombongan dijangka bertolak ke Kuala Lumpur jam 4 petang ini.





Tuan Sharif bukukan masakan tradisional Terengganu sempena TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 seorang penulis yang pernah bergiat aktif dalam bidang penulisan suatu ketika dahulu, Tuan Sharif Tuan Putera telah menghasilkan sebuah buku Resepi Makanan Tradisional Terengganu setebal 92 muka surat yang memuatkan 47 resepi masakan tradisional negeri ini.

Tuan Sharif berkata, idea untuk menghasilkan buku tersebut tercetus semasa beliau memikirkan untuk menyumbang sesuatu apabila kerajaan Terengganu merancang mengadakan TMT 2013 pada tahun lepas.

"Saya buat buku ini sempena TMT 2013 dan lebih mengembirakan saya apabila kerajaan negeri turut menempah sebanyak 1,000 naskhah buku yang mengandungi pelbagai resepi kuih-muih dan lauk-pauk tradisional Terengganu untuk diedar ke hotel selain dihadiah kepada tetamu atau pelancong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran buku berkenaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said sempena Festival Pelancongan dan Keusahawanan Kuala Nerus 2013 di Pantai Mengabang Telipot, baru-baru ini.

Tuan Sharif, seorang pesara guru dan pernah berkhidmat sabagai pensyarah sambilan berkata, buku resepi itu kini turut berada di beberapa perpustakaan awam termasuk di Selangor dan Terengganu.

"Bagi merealisasikan penghasilan buku ini, isteri saya, Syarifah Esah Syed Abdul Rahman banyak membantu.

"Resepi kuih-muih yang dimuatkan dalam buku ini ada yang isteri saya buat sendiri dan gambar-gambar tersebut juga saya ambil sendiri selepas beliau siap memasak sesuatu hidangan,” ujarnya yang terkenal sebagai penulis skrip drama radio dan televisyen pada era 1970-an dan 1980-an.

Katanya, selain tempahan daripada kerajaan negeri buku yang dicetak pertama kali sebanyak 1500 naskhah turut dijual dengan harga RM24.90 senaskhah di pasaran.

 

Tiga KR1M dibuka di negeri ini

Sambutan masyarakat yang menggalakkan terhadap Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di negeri ini mendorong kewujudan tiga lagi kemudahan itu di negeri ini pada tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman berkata, selain KR1M yang dirasmikan hari ini di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai dekat sini, dua buah lagi akan menyusul pembukaannya iaitu di Kuala Nerus dan Marang.

Katanya, menjelang tahun depan, kerajaan menjangkakan lima buah lagi KR1M diwujudkan di seluruh negeri ini bagi melengkapkan taburannya di setiap kawasan Parlimen.

“Pada tahun lalu dua buah telah beroperasi di Kemaman dan Kuala Terengganu. KR1M bertujuan membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk mendapatkan bekalan keperluan pada harga lebih rendah.

 “Barang-barang yang dibekalkan mempunyai kualiti yang sama dengan barangan di pasar raya lain, jadi tidak timbul soal barangan jenama 1Malaysia tidak bagus kerana kerajaan tidak berkompromi terhadap keselamatan dan kualiti barang yang dijual di KR1M,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis perasmian KR1M daerah Dungun di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai dekat sini semalam yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Ab. Ghani Harun dan pemlik KR1M Kampung Batu Tiong, Zaki Ismail.

KR1M Kampung Batu Tiong beroperasi sejak akhir tahun lalu dan merupakan KR1M ketiga selepas KR1M di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu dan di Taman Permai Jaya, Kemaman yang dibuka awal tahun lalu.

Dalam pada itu, Za’abar berkata, pembukaan KR1M tersebut dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar kawasan itu.

Jelasnya, pembukaan KR1M di kawasan itu turut memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan di kawasan sekitarnya.

Beliau turut mencadangkan agar pemilik KR1M dapat memberikan peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu untuk memasarkan produk mereka.

“Jika kita lihat, di KR1M telah sedia ada produk 1Malaysia dijual dan kita harap selepas ini produk-produk penduduk setempat dapat dijual di KR1M kerana ia sekali gus dapat membantu ekonomi rakyat sekitarnya,” jelasnya.

 

PAS DAN PKR TERENGGANU MUNGKIN SAMA-SAMA LETAK CALON DALAM SATU KAWASAN


Oleh: Langtelipot

Bahagian Pertama

Pas Terengganu dilaporkan akan mengumumkan calon mereka bagi Pilihanraya Umum ke 13 pada 11 April ini, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan terlebih dahulu iaitu pada 9 April 2013.

Di sini telah menampakkan bahawa tiada persefahaman dan persepakatan di antara kedua buah parti itu di Terengganu dalam soal meletakkan calon.

Penulis meramalkan ada kemungkinan besar calon Pas dam Keadilan akan sama-sama bertanding di satu satu kawasan.

Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berkata, walaupun Pas telah mengumumkan calon mereka terlebih awal iaitu bertanding di kerusi Parlimen, “tetapi hak Pas, kita juga akan mengumumkan calon-calon kita nanti.”

Difahamkan hanya satu kawasan Parlimen iaitu Kemaman diperuntukkan oleh Pas Terengganu kepada calon PKR.

Azan Ismail yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota Pahang dalam PRU 12, telah dilantik sebagai Pengerusi PKR Terengganu dan dijangka bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi kawasan Bandar.

Sama ada perlantikan itu mendapat sokongan atau tidak yang pastinya beliau telah diberi tanggungjawab untuk menerajui PKR di negeri ini.

Bagi Azan, beliau mengakui cara pendekatan Pas Terengganu agak kasar, tetapi itu katanya Pas di Terengganu sahaja, tidak seperti Pas di negeri-negeri lain.



UniSZA ‘permata’ di Pantai Timur

Oleh; Esah Abdullah

Saya yakin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini akan jadi ‘permata’ di Pantai Timur kerana kehebatanya sentiasa terserlah sejak ia diwujudkan 20 tahun lalu.

Pengerusi UniSZA, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, usaha –usaha menarik pelajar luar negara ke universiti ini sedang dibuat selaras dengan matlamat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan bagi rantau Asia ini.

Katanya,UniSZA mempunyai fakulti penting termasuk perubatan, pendidikan Islam, teknologi maklumat, pertanian yang mampu menarik minat pelajar dari luar negara khususnya dari negara Asean.

“Kami merancang ke arah mengangkat martabat university ini berada dalam rangkin teratas dan yakin dengan adanya komitmen kerajaan negeri yang memberi perhatian serius terhadap bidang pendidikan di negeri ini,” katanya dalam sidang media di UniSZA.

Menurutnya, dengan pelbagai kemudahan yang ada serta kos sara hidup yang rendah berbanding di Kuala Lumpur akan menjadi salah satu sebab ibu bapa dari luar memilih UniSZA.

“Ia akan mepercepatkan lagi usaha kita menjadikan UniSZA ini sebagai permata yang sinarnya menerangi seluruh Pantai Timur,” katanya.

Sebagai Pengerusi yang baru dilantik Tan Sri Alimuddin berkata, beliau bangga dengan perkembangan pendidikan di negeri ini kerana mampu mencatat keputusan terbaik negara dalam beberapa peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM.

“Terengganu tersenarai dalam kumpulan teratas pendidikan negara dan tidak ada sebab kita tidak boleh melonjakkan kedudukan UniSZA kerana keputusan di peringkat rendah sudah dibuktikan,” katanya.

Katanya, aApa yang perlu diyakinkan kepada anak-anak Terenganu hari ini ialah terjemahkan kecemerlangan itu keperingkat lebih tinggi bagi mempercepatkan keupayaan universiti memacu kecemerlangan.

“Menteri Besar Terengganu adalah seorang yang sangat perihatin terhadap pendidikan dan saya bercadang untuk mengadap beliau bagi membentangkan hasrat bersama memajukan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Katanya, kalau boleh peruntukan kerajaan negeri dapat disalurkan juga ke UniSZA, untuk memberi tambahnilai kepada beberapa projek dalam usaha menjadikan ia antara universiti terbaik di negara ini.

JKKK Alur Tuman terus amalkan gotong-royong

Oleh : Amirullah Othman



Walaupun bahang piliharaya telahpun dirasai,namun amalan gotong royong yang menjadi rutin setiap minggu yang diamalkan oleh JKKK Alur Tuman bersama anak buah tetap diteruskan.

Kali ini, kawasan Kubur Cerang Mawar menjadi lokasi program gotong royong diadakan bagi membersikan semak samun dan dahan-dahan pokok yang menghalang jalan ke kubur tersebut.

Program gotong royong ini mendapat sokongan kuat daripada Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang , Haji Nik Dir Nik Wan Ku, Majlis Daerah Marang dan Pejabat Daerah Marang serta penduduk setempat.

Program sebegini amat penting supaya sikap ukhuwah dan amalan gotong royong ini sebati dalam jiwa anak-anak muda sekarang dan tidak ditinggalkan.

JKKK Alur Tuman sentiasa merangka program setiap minggu supaya masyarakat dan pimpinan kampung menjadi akrab dan sentiasa bersama dalam apa jua keadaan dan dapat mendengar setiap permasalahan penduduk.

Khasperi Muda, Pengerusi JKKK Alur Tuman merasa sangat bersyukur kerana dibantu oleh jawatankuasa yang sangat rajin dan hebat sentiasa membantunya dalam setiap program yang dirancangkan.

Beliau juga merancang untuk membangunkan tanah pertanian di kampung berkenaan supaya setiap inci tanah di Kampung Alur Tuman dapat dimanfaatkan.

Teganukita 78