Halaman

30 April 2013

Pengundi muda sokong BN

Oleh: Noraini Jusoh

Barisan Nasional (BN) yakin pengundi muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu kebanyakannya akan menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) kali ini.

Calon BN di DUN Teluk Pasu, Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, pengundi muda di kawasan tersebut yang pertama kali mengundi adalah sebanyak 3106 orang berumur antara 21 hingga 25 tahun.

"Manakala yang berumur antara 25 hingga 30 tahun seramai 3346 sementara yang berumur 30 hingga 35 tahun seramai 3246 dan kumpulan terakhir antara 35 hingga 40 tahun sebanyak 2221.

"Saya yakin dan percaya bahawa pengundi muda tetap bersama-sama dengan BN dan sekiranya ada yang tidak yakin dengan pengundi baru saya nafikan sekeras-kerasnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perjumpaan bersama pengundi muda bersempena Program Lawatan YAB Menteri Besar Terengganu ke Parlimen Kuala Nerus di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Teluk Pasu di Kampung Petai Bubus, semalam.

Katanya, sokongan yang ditunjukkan golongan muda terhadap BN sangat hebat sehinggakan ketika berkempen ada yang sanggup mengambil risiko memanjat pokok yang berdahan rapuh untuk menampal poster dan bendera selain terpaksa berhadapan dengan jentera Pas kerana memperjuangkan BN.

Tambah beliau, walau bagaimapun komitmen yang mereka berikan terhadap BN berbaloi kerana pengundi muda pada hari ini bertuah ekoran banyak bantuan yang diberikan kerajaan BN kepada mereka termasuk dari aspek pendidikan dan kebajikan.

Katanya, beliau yakin dan percaya anak muda kini telah matang berfikir dan tidak mungkin akan menyokong pembangkang.

 

MB yakin BN menang besar PRU13

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memenangi sekurang-kurangnya 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sekaligus mendapat semula mandat daripada rakyat untuk memerintah Terengganu.

Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hasil daripada pemantauannya ke empat kawasan Parlimen beberapa hari lalu iaitu Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu sokongan yang diberikan kepada calon BN amat memberangsangkan.

Menurutnya, Parlimen Besut, Setiu dan Dungun dijangka akan memberikan kemenangan mutlak 5-0 kepada BN manakala parlimen Hulu Terengganu 4-1.

Bagi Parlimen Kemaman dan Kuala Nerus, beliau yakin akan memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan disamping akan berusaha merampas parlimen Kuala Terengganu dan Marang yang dikuasai Pas.

Katanya lagi, BN dengan usaha keras semua pihak yakin akan merampas semua kerusi DUN yang dikuasai Pas iaitu Manir, Batu Buruk, Wakaf Mempelam, Ladang dan Rhu Rendang dan yakin semua pengundi dapat memberikan sokongan yang padu kepada calon BN yang dipilih.

“Walaupun sebelum ini ada berlaku protes rakyat terhadap calon yang dipilih, saya yakin semua kekalutan yang wujud telah pun berakhir dan semua pihak diminta dapat menumpukan perhatian kepada kempen bagi memastikan kemenangan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media PRU 13 Pejabat UMNO Kemaman.

Menurutnya lagi, semuanya itu bergantung kepada rakyat kerana mereka yang akan membuat keputusan pada 5 Mei ini dan kita berharap kemenangan besar berpihak kepada BN.

 

KR1M diwujud di semua DUN

Semua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Terengganu akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said berkata setakat ini Terengganu sudah mempunyai tiga KR1M iaitu di Kuala Terengganu, Dungun dan yang terbaharu di Kemaman, yang menjadikan kesemuanya 90 buah KR1M di seluruh negara.

“Tahun ini, kita akan wujudkan dua buah lagi KR1M di Terengganu iaitu masing-masing satu di Kuala Nerus dan Marang. Kedai itu akan dibuka sedikit masa lagi sehinggalah semua kawasan Dun di negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya sebuah KR1M,” katanya semasa merasmikan KR1M di Taman Permai Jaya semalam.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mencari idea baru bagi membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Kerajaan BN perlu mandat untuk kesinambungan pembangunan

Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika bersiaran di konti Radio Manis FM.
Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur setiap perancangan pembangunan dengan jitu dan berhati-hati bagi memastikan usaha itu berjalan selari, lancar dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab,setiap perancangan itu dilaksanakan berdasarkan pelan induk yang diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-10.

“Kita rangka dengan lancar dan berhati-hati. Kita diibaratkan seperti sedang lari berganti-ganti dan apabila melepaskan baton kepada pelari seterusnya haruslah memberikannya secara lancar dan baik bagi mengelak terjatuh. Jika terjatuh kita akan ketinggalan dan sukar untuk bersaing lagi.

 “Sebab itu kita perlukan sebuah kerajaan yang mempunyai kesinambungan dan mempunyai perancangan yang baik pada hari ini dan juga apa yang akan dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya ketika bersiaran di konti Radio Manis FM, pagi ini.

Turut sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Menteri Besar berkata sekiranya perancangan yang baik dan lancar itu tergendala akibat peralihan kuasa oleh parti lain yang membentuk kerajaan baru, pastinya setiap usaha pembangunan dengan sendirinya menjadi lompong.

 “Sebab itu kita berharap rakyat mem beri sokongan kepada Kerajaan BN bagi meneruskan kesinambungan apa yang dirancang demi faedah dan masa depan anak Terengganu kita sendiri.

 “Setiap pembangunan, kemudahan, infrastrustur dan pelaburan yang sudah dan bakal dilaksanakan, semua menunggu masa untuk digerakkan berdasarkan sasaran bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau kemudiannya menyeru semua rakyat Terengganu supaya memberi sokongan padu dan membuang undi pada 5 Mei ini memilih BN demi kelangsungan perjuangan bangsa, agama dan tanah air.



PM rasmi ADC di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 10,000 jemputan terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negara akan hadir pada Majlis Anugerah Desa Cemerlang peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit Kuala Terengganu, esok.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan.

Ketibaan Dato’ Sri Mohd Najib bersama isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di tapak perasmian kira-kira jam 9.30 pagi dan disambut oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Menteri Pembangunan Luar bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal .

Pertandingan ADC anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu terbuka kepada semua JKKK seluruh negara dan tahun ini Terengganu terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi majlis anugerah berprestej itu.

Pada majlis itu, Perdana Menteri akan mengumumkan JKKK terbaik bagi menerima anugerah ADC Peringkat Kebangsaan 2012 di mana 13 buah JKKK termasuk Sabah dan Sarawak dinilai pada peringkat pertandingan akhir pada Oktober tahun lalu.
 

29 April 2013

500 unit rumah, lima unit rumah kedai di Bukit Tunggal

Oleh: Noraini Jusoh

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yakin BN mampu mengekalkan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan kehendak Allah s.w.t dan dengan sokongan rakyat.

"Saya yakin BN kali ini menang dengan cemerlang dan lebih baik dari Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

“Pada 5 Mei marilah kita beramai-ramai keluar mengundi dan pilihlah BN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ketika berucap di majlis ramah mesra dan minum pagi bersama penduduk di perkarangan pasar Bukit Tunggal, Kuala Nerus, hari ini.

Katanya, Kerajaan BN optimis untuk menawan kembali DUN Bukit Tunggal yang sudah lima tahun berada di bawah Pas tetapi tiada satu pun perubahan dan pembaharuan yang dilakukan.

"InsyaAllah sekiranya Barisan Nasional menang di Bukit Tunggal 500 unit rumah akan dibina di sini dan sebagai tambahan lapan unit rumah kedai juga akan dibina di Bukit Tunggal,” ujarnya.

Tambah beliau, sebuah masjid baru dengan reka bentuk yang menarik akan dibina di dalam air di Pulau Duyong dan pada tahun hadapan juga Pejabat Baru Daerah Kuala Nerus akan dibina.

Menurut Dato’ Haji Ahmad Said, Kerajaan BN berpegang kepada slogan janji ditepati dan sentiasa mengotakan janji yang di buat terhadap rakyat.

"Apa yang penting jentera BN hendaklah memastikan anak buah kita keluar awal untuk mengundi pada hari pembuangan undi nanti.

"Semua jentera BN juga hendaklah bekerja kuat demi memastikan BN menang di semua DUN di Kuala Nerus ini,” katanya.

 

PRU13: Wakaf Mempelam hub pendidikan jika BN menang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama mengamalkan `Negara Berkebajikan’ apabila menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk manfaat rakyat, berbanding pembangkang yang menagih simpati rakyat menghulurkan derma di setiap ceramah anjuran parti itu.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata Pas gagal mengukur keupayaan sendiri serta melihat rekod kegagalan mereka sepanjang 35 tahun mentadbir DUN Wakaf Mempelam.

“Sepanjang lebih 30 tahun Pas berkuasa, apa yang dilakukan kepada penduduk di sini. Tiada kemudahan dan bantuan yang sewajarnya diberikan. Pas hanya tahu bercakap, melaungkan janji-janji mereka dalam setiap ceramah.

“Saya rayu kepada semua pengundi menilai semula parti mana yang perlu dipilih bagi memastikan kesinambungan pembangunan di DUN ini,” katanya dalam satu siri ceramah di Kampung Losong Haji Mat Shafei, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Haji Wan Mahyuddin berkata, jika BN mampu menawan kembali DUN itu, pihaknya akan memastikan Wakaf Mempelam mampu menjadi hub pendidikan di Terengganu sejajar dengan kemajuan negeri yang terkenal sebagai Negeri Anjung Ilmu.

Katanya, usaha itu akan dapat dijayakan sekiranya bukan hanya DUN dimenangi BN, malah parlimen juga menjadi milik BN pada pilihan raya umum nanti dengan digerakkan oleh calon yang berpengalaman dan bertanggungjawab memacu pembangunan pendidikan Terengganu, iaitu Haji Mohd Zubir Embong.

“Tuan Haji Zubirlah yang akan menjadi nakhoda bagi memastikan kejayaan anak Terengganu terutama di Kuala Terengganu dan DUN ini dalam bidang pendidikan.

 “Oleh itu, jika semua pengundi mahu memastikan Terengganu dan kawasan kita ini terus melahirkan anak yang cemerlang dan modal insan yang baik, sekaligus mampu menjadi pemimpin pelapis yang berwibawa dan dinamik pada masa depan, maka pilihlah parti yang benar-benar mampu mengotakan perkara itu,” katanya.

Beliau seterusnya menasihati pengundi supaya mencari pemimpin yang benar-benar dapat membantu dan menyelesaikan rakyat, bukan terus berada dalam kerugian apabila dipimpin oleh wakil rakyat yang gagal menterjemahkan janji mereka menjadi realiti.


MB puji tindakan rasional mantan calon

Oleh: Suriati Ali

 Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memuji tindakan rasional mantan wakil-wakil rakyat BN di negeri ini yang giat turun padang bagi membantu calon parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

 Mereka termasuk Haji Khazan Che Mat (Batu Rakit), Haji Ashaari Idris (Langkap), Haji Ramlan Ali (Jabi), Haji Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Dato’ Rosol Wahid (Ajil), Haji Zawawi Ismail (Kuala Berang) dan Dato’ Mohamed Awang Tera (Chukai)

 Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga merupakan Menteri Besar, berkata situasi tersebut merupakan petanda baik kepada BN yang mengemukakan kira-kira 45 peratus muka baru bagi PRU13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah politik tanah air.

 Sikap rasional itu menolak desas desus yang tersebar luas sebelum ini kononnya bekas wakil rakyat berkenaan dan penyokong masing-masing akan memboikot pilihan raya kali ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said amat terharu dengan bantuan yang dicurahkan bekas wakil rakyat BN dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang disifatkan sebagai ahli politik tulen dan faham dengan percaturan politik semasa.

 Katanya, mereka kelihatan ceria dan sanggup bersengkang mata sehingga larut malam bagi membantu calon- calon BN, termasuk muka baru yang akan bertanding pada PRU13.

 “Sikap yang ditampilkan itu cukup profesional dan dihormati pelbagai pihak, mereka faham situasi, ketika calon itu ingin bertanding dulu, ramai yang membantu, kini tiba giliran dia pula yang membantu calon PRU13.

 “Pada masa sama, saya ingin mengingatkan penyokong BN agar terus setia kepada parti yang memerintah demi masa depan generasi muda yang akan menempuh perjalanan panjang selepas ini,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Imbuhan Kecemerlangan Kepada Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

 Seramai 561 EIO dan TSO hadir menerima imbuhan kecemerlangan antara RM1,000 hingga RM1,200 setiap individu yang disampaikan Menteri Besar.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri memerangkap Pengerusi Tesdec Sdn Bhd Haji Rozi Mamat dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu EIO dan TSO memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan e-Book di setiap sekolah di Terengganu.

 “Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri sudah mengagihkan 117,332 unit e-Book membabitkan kos RM114 juta kepada murid sekolah di seluruh Terengganu.

 “Manakala kira-kira RM12 juta setahun diperuntukkan bagi perbelanjaan urusan gaji EIO dan TSO serta baik pulih e-Book.” Katanya.

 

Tinggal jawatan dan pangkat untuk dekati rakyat

Oleh; Esah Abdullah

“Saya korbankan segalanya, jawatan dan pangkat semata-mata untuk perhambakan diri kepada parti dan masyarakat,” kata calon Parlimen Setiu Che Mohd Zuklifli Jusoh.

Katanya, tidak ada yang mustahil baginya melayan karenah masyarakat, kerana tugas sebagai hakim juga sentiasa bergelumang dengan orang ramai dalam datang mencari keadilan.

“Saya berjanji untuk memberi khidmat terbaik kepada parti jika menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) 5 Mei ini,” katanya di Majlis Perjumpaan Jentera Pilihanraya BN dan Pengenalan Calon N08 Batu Rakit dan P034 Parlimen Setiu di Dewan Serbaguna Maras, Batu Rakit.

Katanya, beliau berusaha untuk bertemu dengan semua pengundi dalam Parlimen yang diwakili untuk menjadi rakan yang baik dan setiap perkara boleh dikongsi bersama.

Beliau yang ditemani isteri, Puan Rozainah Mohamad itu tidak kekok menjalani rutin harian menjelajah kesetiap pelusuk kampung beramah mesra dengan rakyat pelbagai golongan.

“Dulu saya tidak banyak masa untuk turun padang kerana kekangan kerja, tetapi suasana hari ini telah berubah, sepanjang hari hingga larut malam berdamping dengan orang ramai,” kata mantan Hakim di Mahkamah Seksyen Jalan Duta Kuala Lumpur.

Beliau menyeru rakyat tidak memberi undi kepada parti pembangkang kerana ia suatu kerugian yang amat besar terhadap masa depan negara yang sedang pesat membangun.
 

BN perlu menang

Oleh; Esah Abdullah

Pengundi perlu buat pilihan yang tepat pada 5 Mei ini agar segala perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus dapat memegang kuasa untuk membela nasib bangsa, agama dan negara.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Haji Bazlan Abd. Rahman berkata, masa depan negara bukan perkara yang boleh main cuba-cuba, sebaliknya suatu yang serius demi kepentingan generasi akan datang.

“Kita perlu menang dan perlu menerusakn agenda membela rakyat,” katanya di Majlis Perjumpaan Jentera Pilihanraya BN dan Pengenalan Calon N08 Batu Rakit dan P034 Parlimen Setiu di Dewan Serbaguna Maras, Batu Rakit.

Hadir sama Penolong Pengarah Jentera Pilihanraya DUN Batu Rakit, Haji Zakaria Abdul Rahman ; calon Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifli Jusoh; Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Setiu merangkap Pengerusi Penyelaras Wanita DUN Batu Rakit, Hajah Wan Maznah Nong serta Ketua Pergerakan Puteri Umno Setiu, Puan Rosnari Awang Ngah.

Katanya, BN menghargai tugas wanita sebagai jentera hadapan yang mampu menangkis segala isu yang dibangkitkan pihak pembangkang .

“Wanita mempunyai kelebihan kerana mampu menyusup masuk ke setiap rumah pengundi bagi meraih undi dan saya amat kagum dengan kegigihan yang ditunjukkan, dalam kelembutan ada ketegasan demi mempertahankan parti keramat ini,” katanya.

Sebagai calon baru, beliau turut mengharapkan ketelusan semua pihak dan bekerja dalam satu pasukan, bersama-sama berjuang untuk mencipta kejayaan parti.

“Tegurlah saya jika tersilap bicara serta terkasar bahasa sepanjang berkempen,   marilah bersama pertahankan kepimpinan yang ada demi untuk mengekalkan kestabilan politik dan ekomoni negara,” katanya.