Halaman

30 April 2013

MB yakin BN menang besar PRU13

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memenangi sekurang-kurangnya 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sekaligus mendapat semula mandat daripada rakyat untuk memerintah Terengganu.

Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hasil daripada pemantauannya ke empat kawasan Parlimen beberapa hari lalu iaitu Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu sokongan yang diberikan kepada calon BN amat memberangsangkan.

Menurutnya, Parlimen Besut, Setiu dan Dungun dijangka akan memberikan kemenangan mutlak 5-0 kepada BN manakala parlimen Hulu Terengganu 4-1.

Bagi Parlimen Kemaman dan Kuala Nerus, beliau yakin akan memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan disamping akan berusaha merampas parlimen Kuala Terengganu dan Marang yang dikuasai Pas.

Katanya lagi, BN dengan usaha keras semua pihak yakin akan merampas semua kerusi DUN yang dikuasai Pas iaitu Manir, Batu Buruk, Wakaf Mempelam, Ladang dan Rhu Rendang dan yakin semua pengundi dapat memberikan sokongan yang padu kepada calon BN yang dipilih.

“Walaupun sebelum ini ada berlaku protes rakyat terhadap calon yang dipilih, saya yakin semua kekalutan yang wujud telah pun berakhir dan semua pihak diminta dapat menumpukan perhatian kepada kempen bagi memastikan kemenangan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media PRU 13 Pejabat UMNO Kemaman.

Menurutnya lagi, semuanya itu bergantung kepada rakyat kerana mereka yang akan membuat keputusan pada 5 Mei ini dan kita berharap kemenangan besar berpihak kepada BN.