Halaman

30 April 2013

PRU13: Masa terbaik Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu kembali kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Inilah masa terbaik untuk kembalikan DUN Wakaf Mempelam dan Parlimen Kuala Terengganu kepada Barisan Nasional (BN), kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Calon-calon kita termasuk Haji Wan Mahyuddin lima tahun bekerja sebagai Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) walaupun kalah, demi menjaga kepentingan rakyat.

“Takkan tidak boleh tilik pandang kebaikan kita selama ini, berbanding Pas yang tidak melakukan sebarang kebajikan walaupun sudah lebih 30 tahun berkuasa di DUN ini, katanya ketika berucap di markas Besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf mempelam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan seri Norliza Mahmud; Calon BN DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah dan Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata Kerajaan BN juga merancang untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemudahan di DUN itu, bagaimanapun hanya akan mengisytiharkannya apabila DUN itu menjadi milik BN.

Beliau berkata, jika tidak memilih BN dan memastikan BN merampas semula DUN itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), bermakna rakyat di Wakaf Mempelam menolak usaha pembangunan yang mahu dilaksanakan di kawasan itu khususnya pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik yang sudah dijanjikan sejak tahun lalu.

 “Jentera Jalinan Rakyat Wanita Umno sila sampaikan salam saya kepada pengundi yang ditemui dan jangan lupa minta tolong pada kali ini supaya undilah Barisan Nasional kerana kita mahu melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan ini, selain meneruskan bantuan sedia ada.

“Pada kali ini, saya berjanji untuk membina 1,000 unit rumah di sini. Maknanya jika kita tidak melaksanakan tugas kita (mengundi BN), kita sudah mengecewakan 1,000 keluarga yang bakal menerima kemudahan itu. Bukan kita sahaja kecewa, malah lebih ramai rakyat yang memerlukan juga akan kecewa,” katanya.

Beliau berharap supaya rakyat di DUN itu mula sedar dan tahu bersyukur dengan nikmat pembangunan serta bantuan yang diterima mereka selama ini hasil tanggungjawab Kerajaan BN yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat.

Menteri Besar juga berbangga dan berterima kasih dengan kegigihan jentera parti yang bertungkus-lumus merealisasikan hasrat untuk memastikan Wakaf Mempelam dan juga Parlimen Kuala Terengganu kembali dikuasai BN.