Halaman

01 May 2013

MB nasihat rakyat mengundi awal

Oleh: Suriati Ali

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menasihatkan penduduk negeri ini supaya keluar mengundi pada awal waktu, bagi mengelakkan kesesakan.

 Beliau berkata, mereka tidak perlu bimbang tentang soal keselamatan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

 Katanya, kerajaan negeri sudah meluluskan cuti umum pada hari itu dan rakyat tidak mempunyai alasan lagi untuk tidak keluar mengundi, terutama bagi individu yang bekerja.
“Saya mahu rakyat kita keluar beramai-ramai untuk mengundi kerana kita mengharapkan sokongan yang kukuh daripada mereka.

“Kita juga mengharapkan peratusan yang keluar mengundi akan tinggi. Elak sikap melengah-lengahkan waktu mengundi kerana dibimbangi tamat tempoh pengundian

 “Saya yakin pengundi di Terengganu akan keluar mengundi walaupun dalam keadaan apa jua keadaaan, termasuk hujan dan ribut ,” katanya

 Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu menyediakan 367 Pusat Mengundi membabitkan 1,209 saluran Tempat Mengundi di seluruh negeri bagi PRU13.

Berdasarkan jumlah itu, Parlimen Kemaman mencatatkan jumlah Pusat Mengundi paling tinggi iaitu sebanyak 53, diikuti Dungun (51), Hulu Terengganu (50), Marang (47), Kuala Terengganu (46), Setiu (44), Besut 43 dan Parlimen Kuala Nerus (33) .

 Manakala sebanyak 24 Pusat Mengundi Awal melibatkan 31 saluran pula disediakan bagi anggota pasukan Polis dan Tentera serta pasangan masing-masing. Mereka akan keluar mengundi tiga lebih awal berbanding hari pengundian biasa.