Halaman

01 May 2013

PRU13: Zubir janji laksana amanah rakyat

Oleh: Aida Abdul Rahman

" Saya berjanji akan menjaga amanah dari semua dan meletakkan diri saya di bawah tapak kaki rakyat di Parlimen Kuala Terengganu. Bukan untuk dipijak, bukan untuk dihina, bukan juga untuk ditendang dan diterajang, tetapi amanah yang saya pegang akan memberikan kesan kehebatan dan kekuatan kepada semua, kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

 “Sekiranya tuan puan tidak mampu melangkah, saya akan membantu untuk melangkah. Kalau tidak boleh berdiri saya akan membantu untuk berdiri.

 “Kita bukan sekadar cakap tetapi kita buat. Saya harap semua memberi undi kepada wakil dan calon yang membawa panji-panji BN dan memastikan supaya kita akan rampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dan P036, Parlimen Kuala Terengganu,” katanya ketika berucap di Markas Besar DUN Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri,To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Calon BN DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah dan semua ketua Pusat Daerah Mengundi DUN berkenaan.

 Haji Mohd Zubir dengan rendah diri mengakui sebagai orang baru dalam arena politik berbanding rakan seperjuangan lain, beliau memerlukan kerjasama dan bantuan semua pihak bagi memastikan Parlimen Kuala Terengganu kembali kepada BN.

 Katanya, semua pihak harus menjadikan pilihan raya umum ini sebagai pilihan raya paling getir yang menentukan hala tuju dan perjuangan bangsa agama dan negara.

 “Saya orang baru, kurang pengalaman, bantulah saya kerana walau sehebat mana pun jawatan saudara dan tuan puan, walau bergelar jutawan sekalipun, apabila hendak makan nasi, harus cari petani untuk menanam padi bagi mendapatkan beras. Maka, semua orang saling memerlukan antara satu sama lain dalam hidup mereka.

 “Sebagai wakil yang memegang panji-panji BN, saya begitu komited untuk memastikan panji yang saya pegang mewakili tuan puan, kekalahan mahupun kemenangan saya mewakili seluruh rakyat, maka jangan benarkan kekalahan panji BN,” katanya.

 Haji Mohd Zubir juga percaya dengan keprihatinan dan kesanggupan Menteri Besar meluangkan masa dan turun padang ke setiap kawasan termasuk DUN yang ditawan pembangkang membuktikan BN akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira sempadan politik.

 Beliau turut menasihatkan semua pengundi supaya tidak terlalu mengejar peribadi dan pangkat, tetapi arus mengutamakan akhirat sebagai penyudah kepada setiap perjuangan.