Halaman

28 April 2013

PRU13: Cubaan pembangkang tidak ubah sokongan padu BN di DUN Alur Limbat

Oleh: Aida Abd Rahman

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Haji Alias Abdullah, tidak melihat pertembungan tiga penjuru di kerusi yang disandang beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sebagai ancaman kepada BN untuk tetap mengekalkan mandat rakyat.

 “Calon Bebas berkenaan, Jaafar Jambol, bukan seorang ahli Umno kerana saya sudah meneliti rekod di Ibu pejabat Umno Malaysia dan mengesahkan bahawa beliau bukan ahli Umno.

“Saya cukup yakin, rakyat tidak terpengaruh dengan spekulasi yang cuba diwujudkan tetapi akan terus menilai sejauh mana kemampuan calon memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya kepada Teganukita selepas menemui pengundi di markas BN, Cawangan Kubang Kepong, Padang Midin, malam tadi.

PRU13 menyaksikan Haji Alias akan menentang Ariffin Deraman (Pas) dan Jaafar Jambol (Bebas).

Haji Alias berkata, pengesahan dari Ibu Pejabat Umno itu sekaligus menutup kata-kata negatif pihak lawan kononnya wujud sabotaj di kalangan ahli Umno sendiri yang muncul sebagai calon Bebas menentang BN pada pilihan raya umum ini.

Beliau amat yakin walau apapun cubaan dan usaha yang dimainkan oleh pembangkang, rakyat tidak akan menukar undi, sebaliknya akan tetap menzahirkan sokongan kepada BN pada 5 Mei ini.

Selain itu, beliau juga yakin dengan sokongan padu majoriti rakyat termasuk golongan muda apabila memberi tindak balas positif dalam setiap program yang dilaksanakan Kerajaan BN sejak dulu lagi.

Menurutnya, hasil tinjauan dan pertemuan sepanjang kempen di sekitar DUN seperti di Padang Midin dan Pengadang Baru, sokongan yang ditunjukkan orang muda amat tidak berbelah-bahagi apabila saling bekerjasama menaikkan sepanduk dan menyemarakkan acara di markas-markas BN.

Beliau berkata, mesej itu jelas menunjukkan golongan muda berhasrat untuk terus berada di bawah panji BN bagi menikmati kestabilan politik, keamanan, kebebasan bersuara, melaksanakan ibadat dan melakukan rutin harian dengan lancar.

“Insya-Allah bacaan sikap terkini yang sedang digerakkan oleh Jalinan Rakyat Wanita dan Puteri di DUN ini memberi potensi untuk BN kekal.

“Bahkan sebelum pembubaran Parlimen lagi, saya dapati keputusan atau kajian sikap amat memberangsangkan dan saya percaya kali ini BN akan memperolehi majoriti yang lebih baik berbanding PRU12 ,” katanya.

Haji Alias juga berjanji akan meneruskan misi bagi menjaga kebajikan rakyat dan merealisasikan usaha pembangunan ke DUN itu dapat bergerak lancar jika mendapat mandat itu pada penggal seterusnya.