Hampir 60 peratus pengundi luar yang mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang cenderung memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.
Calon BN DUN itu, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berkata hasil bancian mendapati hampir 2,900 pengundi yang beralamat di situ, bagaimanapun bekerja serta menetap di luar Terengganu akan pulang mengundi di pusat pembuangan undi sekitar Rhu Rendang.
“Selama lima tahun buat bancian dengan jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita Umno, faktor pengundi luar yang bekerja dan tinggal serta mengundi di Rhu Rendang tidak banyak mempengaruhi jumlah undian BN di DUN ini. Mereka hanya mewakili tiga hingga empat peratus sahaja.
“Tapi pengundi luar di kalangan orang Rhu Rendang yang bekerja di luar dan balik mengundi itu ramai. Itu hampir 5,000 pengundi,” katanya di Marang, baru-baru ini.
Seramai 22,701 pengundi di DUN Rhu Rendang layak membuang undi pada 5 Mei ini. Haji Nik Dir berkata, pihaknya yakin denga reaksi positif pengundi luar yang dihubungi sebelum ini, apabila menyatakan kesediaan untuk pulang mengundi dan positif untuk menyokong BN.
“Pengundi luar kita fokus kepada sikap mereka yang menyokong kita. Alhamdulillah, kebanyakan akan balik. Bagaimanapun, ada beberapa pengundi tidak dapat balik kerana terlibat dengan tugas yang tidak dapat dielakkan,”katanya.
Bagaimanapun, pihaknya kesal apabila pengundi luar yang cenderung menyokong BN itu lazimnya dilabelkan oleh pembangkang sebagai pengundi hantu, sedangkan mereka berdaftar dan sah mengundi di kawasan itu mengikut syarat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Katanya, provokasi dan tuduhan iitu sengaja ditimbulkan oleh Pas dalam usaha mereka memberi gambaran bahawa SPR dan badan kerajaan yang terlibat dengan proses pilihan raya tidak telus dan adil.