Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama mengamalkan `Negara Berkebajikan’ apabila menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk manfaat rakyat, berbanding pembangkang yang menagih simpati rakyat menghulurkan derma di setiap ceramah anjuran parti itu.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata Pas gagal mengukur keupayaan sendiri serta melihat rekod kegagalan mereka sepanjang 35 tahun mentadbir DUN Wakaf Mempelam.
“Sepanjang lebih 30 tahun Pas berkuasa, apa yang dilakukan kepada penduduk di sini. Tiada kemudahan dan bantuan yang sewajarnya diberikan. Pas hanya tahu bercakap, melaungkan janji-janji mereka dalam setiap ceramah.
“Saya rayu kepada semua pengundi menilai semula parti mana yang perlu dipilih bagi memastikan kesinambungan pembangunan di DUN ini,” katanya dalam satu siri ceramah di Kampung Losong Haji Mat Shafei, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Haji Wan Mahyuddin berkata, jika BN mampu menawan kembali DUN itu, pihaknya akan memastikan Wakaf Mempelam mampu menjadi hub pendidikan di Terengganu sejajar dengan kemajuan negeri yang terkenal sebagai Negeri Anjung Ilmu.
Katanya, usaha itu akan dapat dijayakan sekiranya bukan hanya DUN dimenangi BN, malah parlimen juga menjadi milik BN pada pilihan raya umum nanti dengan digerakkan oleh calon yang berpengalaman dan bertanggungjawab memacu pembangunan pendidikan Terengganu, iaitu Haji Mohd Zubir Embong.
“Tuan Haji Zubirlah yang akan menjadi nakhoda bagi memastikan kejayaan anak Terengganu terutama di Kuala Terengganu dan DUN ini dalam bidang pendidikan.
“Oleh itu, jika semua pengundi mahu memastikan Terengganu dan kawasan kita ini terus melahirkan anak yang cemerlang dan modal insan yang baik, sekaligus mampu menjadi pemimpin pelapis yang berwibawa dan dinamik pada masa depan, maka pilihlah parti yang benar-benar mampu mengotakan perkara itu,” katanya.
Beliau seterusnya menasihati pengundi supaya mencari pemimpin yang benar-benar dapat membantu dan menyelesaikan rakyat, bukan terus berada dalam kerugian apabila dipimpin oleh wakil rakyat yang gagal menterjemahkan janji mereka menjadi realiti.