Halaman

01 May 2013

Bantuan pentadbiran untuk persatuan saudara baru

 Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan bantuan pentadbiran kepada persatuan saudara baru yang bergerak sebagai sebuah persatuan yang sah dan berdaftar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan sebanyak RM10,000 akan disalurkan kepada persatuan-persatuan berkenaan untuk membantu melancarkan aktiviti yang akan mereka jalankan.

"Selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini khususnya dan negara ini amnya, saudara baru tidak akan dipinggirkan kerana kerajaan BN akan sentiasa membantu mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Persatuan Saudara Kita Bersama YAB Menteri Besar di Dewan Permata, Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Mengulas mengenai program yang diadakan, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, program sedemikian sangat bagus kerana dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Seorang saudara baru yang ditemui di majlis tersebut, Roslina Abdullah, 50, berkata perasaannya sangat gembira kerana berpeluang berjumpa rakan-rakan dan berkongsi pengalaman.

Beliau yang telah 25 tahun memeluk Islam sebelum ini merupakan seorang penganut Kristian dengan mengunakan nama Rolin Banun.

"Saya sangat bersyukur kerana diberi hidayah oleh Allah s.w.t dan melalui persatuan saudara baru yang saya sertai banyak program dan kursus-kursus yang dijalankan untuk membantu kami lebih mengenal Islam,” ujar ibu tunggal kepada dua orang anak yang berasal dari Kuala Berang itu.