Halaman

01 May 2013

Kenang peristiwa pahit zaman Pas - PM

Oleh: Suriati Ali 

 Rakyat Terengganu diminta mengenang semula peristiwa pahit dan karenah pemimpin Pas ketika parti itu memerintah negeri ini dahulu, agar mereka tidak kembali berada di zaman `kegelapan’.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata tentunya rakyat negeri masih ingat pelbagai kezaliman yang pernah dilakukan pemimpin Pas semasa mereka mendapat kuasa (memerintah negeri Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004).

Sehubungan itu, beliau meminta agar penduduk negeri ini membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang jatuh pada 5 Mei (Ahad) depan.

“Saya mahu pinjam slogan calon Parlimen Besut Dato’ Seri `Haji Idris Jusoh, "masihkah kau ingat?,". “Rakyat mesti ingat bagaimana Pas semasa mentadbir negeri ini telah menutup tadika, gagal menguruskan sampah sarap serta tidak menunaikan janji untuk melaksanakan hukum hudud.

“Perkara itu perlu dibangkitkan semata-mata kerana mahu mengingatkan semula rakyat parti manakah yang benar-benar menjaga dan mengutamakan kebajikan rakyat.

"Jika rakyat terus beri kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN), Insya-Allah, Dasar Transformasi Nasional akan diteruskan, dan landskap negeri Terengganu ini akan berubah hebat dalam beberapa tahun akan datang," katanya.



 Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 penduduk yang hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012, di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

 Tetamu kehormat lain, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Apdal; Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ibrahim Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, calon wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

 Kampung (Kg) Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu dan Kg Jambi, Batu Pahat, Johor dinobatkan sebagai juara bersama dan masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM215,000.

 Manakala naib johan Kg Tanjung Parang, Samarahan, Sarawak (RM170,000) dan tempat ketiga Kg Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka, berjaya memperoleh RM115,000.

Dato’ Seri Mohd Najib turut memberitahu, dia yakin BN Terengganu akan memperoleh kemenangan besar berdasarkan sokongan padu dan positif yang dipamerkan rakyat.

“Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan BN yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu,”katanya.