Halaman

28 April 2013

68 penyokong tinggalkan Pas


Seramai 68 penyokong Pas cawangan Durian Guling, Marang mengisytihar keluar parti dan menyertai Umno kerana parti itu dikatakan terlalu berpolitik sehingga gagal  menjaga kepentingan rakyat.

Jawatankuasa Pas cawangan itu, Encik Yusuf Md Yassin menyerahkan borang keahlian mereka kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said dalam majlis 'Selamat Tinggal Pas',  baru-baru ini.

Encik Yusuf berkata mereka tidak pernah mendapat sebarang manfaat daripada Pas meskipun memberi sokongan penuh kepada parti itu.

 "Perjuangan Pas jauh berbeza dengan Umno yang sentiasa mengutamakan rakyat. Kerajaan Barisan Nasional tidak pernah abaikan kami dalam membela nasib terutama golongan miskin," katanya kepada pemberita.

Seorang penyokong Pas, Hasrolnizar Syah Abu Bakar berkata beliau kecewa terhadap pemimpin Pas yang gagal membawa perubahan pembangunan dan terpesong dari landasan asal perjuangan.

"Saya mula sedar Pas sudah jauh menyimpang. Mereka seolah-olah mementingkan politik parti berbanding rakyat," katanya. Sejak awal tahun ini, Umno bahagian Marang menerima 189 permohonan keahlian dari penyokong Pas.