Halaman

28 April 2013

UniSZA cari rakan strategik

Oleh; Esah Abdullah

 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedang giat mencari rakan-rakan strategik di mana pakatan yang dijalin ini akan memberikan kebaikan kepada kedua belah pihak.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahya Ibrahim berkata, inisiatif pengurusan mewujudkan UniSZA Holding dan mengadakan jalinan strategik dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan mengabungkan tenaga dan kepakaran bagi memberi manfaat kepada usahawan pelajar.

“Pengajian usahawan merupakan salah satu teras pengajian yang amat ditekankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan selaras dengan aspirasi setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mempunya program keusahawanannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Khidmat Percuma kepada Pengusaha Pelancongan dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Quinara Al Safir Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Teks beliau telah dibacakan oleh, Pemangkau Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr. Nik Wan Nik Omar.

Katanya, di Fakulti Pengurusan, Perniagaan dan Perakaunan mempunyai ramai kakitangan akademik yang mempunyai kepakaran terutama dalam bidang pengurusan, pemasaran, kewangan dan perbankan serta pengurusan sumber manusia.

“Tentunya tenaga kepakaran ini boleh dimanfaatkan oleh YPU untuk perkara yang ada kaitan dengan penyelidikan, perundingan dan khidmat nasihat,” katanya.

Menurutnya , dunia pendidikan tinggi telah berubah bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia di mana setiap universiti telah menubuhkan sayap perniagaannya sendiri.

“Kehadiran UniSZA Holding bukan untuk bersaing dengan mana-mana usahawan sedia ada tetapi lebih fokus menjadi pelengkap dan penambahbaikan kepada perniagaan sediaada agar wujud lonjakan lebih tinggi,” katanya.