Halaman

28 April 2013

1,800 pelajar UniSZA dapat kelepasan mengundi

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 1,800 orang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) akan membuang undi pada 5 Mei ini.

Pemangku Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Prof Dr. Nik Wan Nik Omar berkata, pelajar yang layak mengundi akan diberi cuti pada 5 dan 6 Mei ini untuk memberi peluang mereka ke pusat-pusat pembuangan undi di kawasan masing-masing.

“Manakala pelajar yang tidak terlibat akan mengikuti kuliah seperti biasa jika ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Khidmat Percuma kepada Pengusaha Pelancongan dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Quinara Al Safir Tok Jembal.

Prof Dr Nik Wan menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan ada kalangan pensyarah tidak membenarkan pelajar keluar mengundi kerana terbabit dengan kuliah pada tarikh itu.

 “Setakat ini saya belum menerima apa-apa laporan berkaitan perkara itu tetapi jika benar, pensyarah berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Katanya, arahan telah dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Bahagian Akademik Antarabangsa mengenai jadual kuliah yang ditiadakan pada tarik pembuangan undi jadi semua pensyarah perlu ikut arahan.

Namun begitu beliau mengingatkan pelajar yang tidak mengundi digalakkan supaya berada di kampus kerana mereka kini berada dihujung semesta dan perlu beri tumpuan terhadap pelajaran.