Halaman

02 May 2013

Rakyat Terengganu diminta setia pada BN- PM

 Oleh: Suriati Ali 

 Rakyat Terengganu perlu memastikan negeri ini kekal di bawah Barisan Nasional (BN) sekali gus mampu memberi mandat yang kuat kepada BN di peringkat nasional.

 Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, berkata pakatan pembangkang hanya pakatan politik semata-mata tanpa perjuangan dan ideologi yang selari, malah Hadi (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) sudah mengaku dia bukan setuju dengan Lim Kit Siang atau PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi kerana politik sahaja.

 “Apa yang dilakukan kerajaan BN sarat dengan program kebajikan untuk rakyat dan tidak perlu melaungkan negara berkebajikan seperti Pas.

“Pada masa sama, saya yakin masyarakat luar bandar akan terus memberi sokongan padu kepada BN untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13),” katanya.

Malah, beliau merasakan sokongan itu terus meningkat dengan kesedaran bahawa kesejahteraan hidup yang dikecapi selama ini ditunjangi oleh dasar pemerintahan BN.

 "Saya lihat ada dua sebab mengapa angin perubahan luar bandar menjurus kepada BN. Pertama, mereka yakin kalau mahu masa depan yang lebih baik tidak boleh bergantung kepada pembangkang. "Faktor kedua pula, mereka kecewa dengan pembangkang. Lihat sahaja apa sudah jadi dengan Kelantan yang diperintah pembangkang selama 22 tahun, Kedah dan Selangor lima tahun," katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 penduduk yang hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012, di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

 Tetamu kehormat lain, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Apdal; Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ibrahim Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, calon wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

 Dato’ Seri Mohd Najib turut menegaskan aku janji BN merupakan satu perjanjian dengan ikatan kepada Allah dan rakyat yang jika gagal dilaksanakan, pemimpin perlu menanggungnya kelak.

"Memang berat kita sebut aku janji kerana sebagai seorang Islam, jika tidak tunaikan janji, kita berdosa tetapi saya tetap mahu guna 'aku janji' berbanding manifesto kerana tindakan pembangkang yang mendakwa manifesto bukan satu janji.

"Ini adalah amanah, jadi, saya sebagai pemimpin berani angkat manifesto sebagai janji kerana kita yakin kita boleh buat," ujarnya.