Halaman

30 April 2013

Kerajaan BN perlu mandat untuk kesinambungan pembangunan

Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika bersiaran di konti Radio Manis FM.
Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur setiap perancangan pembangunan dengan jitu dan berhati-hati bagi memastikan usaha itu berjalan selari, lancar dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab,setiap perancangan itu dilaksanakan berdasarkan pelan induk yang diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-10.

“Kita rangka dengan lancar dan berhati-hati. Kita diibaratkan seperti sedang lari berganti-ganti dan apabila melepaskan baton kepada pelari seterusnya haruslah memberikannya secara lancar dan baik bagi mengelak terjatuh. Jika terjatuh kita akan ketinggalan dan sukar untuk bersaing lagi.

 “Sebab itu kita perlukan sebuah kerajaan yang mempunyai kesinambungan dan mempunyai perancangan yang baik pada hari ini dan juga apa yang akan dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya ketika bersiaran di konti Radio Manis FM, pagi ini.

Turut sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Menteri Besar berkata sekiranya perancangan yang baik dan lancar itu tergendala akibat peralihan kuasa oleh parti lain yang membentuk kerajaan baru, pastinya setiap usaha pembangunan dengan sendirinya menjadi lompong.

 “Sebab itu kita berharap rakyat mem beri sokongan kepada Kerajaan BN bagi meneruskan kesinambungan apa yang dirancang demi faedah dan masa depan anak Terengganu kita sendiri.

 “Setiap pembangunan, kemudahan, infrastrustur dan pelaburan yang sudah dan bakal dilaksanakan, semua menunggu masa untuk digerakkan berdasarkan sasaran bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau kemudiannya menyeru semua rakyat Terengganu supaya memberi sokongan padu dan membuang undi pada 5 Mei ini memilih BN demi kelangsungan perjuangan bangsa, agama dan tanah air.