Halaman

30 April 2013

Penjawat awam perlu hormat dasar kerajaan

Oleh: Suriati Ali 

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta penjawat awam di negeri ini supaya bersikap profesional, menghormati dasar kerajaan dan bukannya bertindak menghentam apa yang dilaksanakan dengan perkara remeh- temeh.

 Katanya, pada masa sama, mereka perlu mengekalkan kaedah berkerja secara berkualiti dan mengamalkan budaya sihat sewaktu bertugas supaya mampu dipandang positif oleh masyarakat.

 “Selaku pekerja dalam pasukan kerajaan yang sentiasa memberi bantuan serta mempermudahkan segala urusan berkait dengan rakyat, mereka perlu jujur ketika menjalankan tugas masing-masing.

“Ikhlas bekerja demi membantu kerajaan sedia ada supaya dapat terus memerintah dan bukannya memberi laluan kepada pihak lain yang belum tentu dapat mengekal kemakmuran Terengganu dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, peringkat negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, YB Encik Noorbahri Baharuddin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Haji Abdul Razak Ismail. 

Seramai 50 penjawat awam pelbaai jawatan di seluruh Terengganu hadir menerima anugerah masing-masing berupa wang tunai RM5,000, pakej menunaikan haji atau umrah berserta sijil.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pejawat awam bahawa Pakatan Rakyat kini bercita-cita besar untuk menakluki Putrajaya, “katanya.

"Puak itu awal-awal lagi mengakui, jika PR dapat memerintah negara agenda utama mereka adalah mahu bertindak memberhentikan separuh atau 50 peratus jumlah penjawat di negara ini dan memendekkan had umur pencen melalui `Projek Khas Mengurangkan Kakitangan Awam’.

 “Kenapa mereka bersikap begitu, sebenarnya PR yang ditujangi DAP, tidak senang dengan keadaan sekarang, berikutan dalam sektor perkhidmatan awam kini dimanopoli masyarakat Melayu.

 “Mereka ingin berbuat demikian kerana banyak agenda tersembunyi yang mahu dijalankan semata-mata mahu melihat Melayu kacau bilau dan berpecah,” katanya.