Halaman

22 May 2013

KKLBW wujud ADS ganti ADC

Oleh; Esah Abdullah

Pertandingan Anugerah Desa Sejahtera (ADS) mula membuka tirainya tahun ini bagi mengantikan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) yang telah diwujudkan sejak 23 tahun lalu (1989) dengan beberapa penambahabaikan dilakukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW), Dato’ Ibrahim Muhamad berkata, pengumuman pemenang kampung berjaya juga akan dibuat bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Kita buat kajian semula terhadap kriteria yang dipertandingkan dengan memasukkan elemen patriotisma yang perlu ada dalam masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Penghargaan Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan di Dewan Serbaguna KKLBW semalam.

Hadir sama, Penolong Ketua Setiausaha KKLBW, Dato’ Norsiah Arshad beserta 700 orang pengerusi jawatankuasa induk dan petugas program manakala ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan selaku tuan rumah turut serta.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bertempat di Kampung Bukit Wan Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu.

Katanya, Terengganu dan Johor juga menjadi negeri terakhir yang menerima anugerah bagi ADC 2012 dan ia juga satu sejarah kerana tidak pernah berlaku ada dua pemenang diumum sebagai johan bersama.

“Selama 23 tahun anugerah itu diwujudkan kita berjaya melahirkan 180 kampung diseluruh negara yang berdaya maju serta berdaya saing.

“Matlamat kita mahu membangunkan masyarakat kampung melalui pelbagai perancangan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.

Dato’ Ibrahim  melahirkan rasa terharu dan terima kasih di atas komitmen semua pihak yang menyokong melancarkan perjalanan majlis.

Beliau kemudiannya telah menyampaikan sijil penghargaan kepada jawatankuasa induk dan petugas Majlis ADC manakala Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail menerima sijil penghargaan bagi pihak tuan rumah.

 

Program Wanita Terengganu Sihat 30 Mei ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu bakal mengadakan Program Wanita Terengganu Sihat di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu, pada 30 Mei (Khamis) ini.

Pengarah LPPKN Terengganu, Puan Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee (gambar kiri), berkata program yang diadakan secara percuma itu bertujuan memberi kesedaran, informasi dan pemeriksaan kesihatan kepada golongan wanita dalam usaha menangani penyakit yang berisiko tinggi seperti barah payudara, pangkal rahim, jantung, diabetis dan darah tinggi.

“Ia juga bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan cara hidup sihat yang akan disampaikan dalam dua slot ceramah oleh pakar perubatan dan pemakanan.

“Selain itu, slot ceramah ketiga pula mengenai `Kesihatan Wanita Menurut Perspektif Islam’ disampaikan oleh pegawai agama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media, semalam.

Selain itu, peserta program juga berpeluang menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma serta membuat permohonan subsidi untuk menjalani mamogram.

Katanya, pameran dan perkhidmatan kembara kaunseling juga disediakan sempena program itu nanti.

“Kakitangan wanita dialu-alukan menyertai program ini dengan mengisi borang pengesahan yang disediakan dan dikembalikan kepada LPPKN pada atau sebelum 26 Mei ini, di mana maklum balas dan penyertaan awal akan diutamakan .

“Program yang terhad penyertaan dan tanpa sebarang bayaran ini mampu melengkapkan diri peserta dengan ilmu pengetahuan mengenai kesihatan dan langkah berjaga-jaga bagi mengatasi penyakit berbahaya yang kini menyerang ramai golongan hawa,” katanya.

 

TDM perluas operasi menjelang 2018

Oleh: Noraini Jusoh

Selaras dengan matlamat mengembangkan perniagaannya, TDM Berhad akan memperluaskan dua kali ganda saiz ladang dan tiga kali ganda operasi hospital menjelang 2018.

 Menurut jurucakap TDM Berhad, dalam sektor perladangan kelapa sawit, Kumpulan TDM mensasarkan untuk mencapai sebanyak 70,000 hektar tanah miliknya dapat ditanam bagi kedua-dua ladang di Terengganu dan Kalimantan daripada keluasan sebanyak 40,518 hektar yang ditanam setakat ini.

Kawasan penanaman kelapa sawit milik TDM di Kalimatan, Indonesia.
"Bagi memacu perniagaan perladangan pada masa hadapan, Kumpulan TDM telah mengenal pasti kawasan pertumbuhan seterusnya iaitu di Kalimantan memandangkan kesemua ladang kepunyaan TDM di Terengganu telah di tanam kelapa sawit.

"Manakala, bagi bahagian penjagaan kesihatan pula, Kumpulan TDM telah menetapkan matlamat untuk memperbesarkan operasi hospital,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Kumpulan TDM akan menambah bilangan katil dan hospital serta memperluas jenis perkhidmatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat disamping meninjau pasaran baru seperti di Kota Bharu untuk mengukuhkan lagi kedudukan pasaran sebagai pembekal perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terunggul di pantai Timur.

"Program perluasan dan pengembangan operasi hospital adalah sebagai langkah untuk mempersiapkan bahagian ini untuk penyenaraian awam dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Dengan penyenaraian tersebut, Kumpulan TDM akan menjadi sebuah syarikat penjagaan kesihatan ketiga terbesar yang disenaraikan di Malaysia,” ujarnya.

 

UniSZA setuju terima enam pelajar KUPU SB

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersetuju untuk menerima enam pelajar daripada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Negara Brunei Darussalam untuk mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester di universiti ini bermula September depan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Amran Ahmed berkata, tiga pelajar terdiri daripada program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Usuluddin) dan bakinya Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Syariah) KUPU SB.

"Persetujuan ini dicapai hasil perbincangan rapi yang dilakukan dan juga susulan daripada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak bagi menjalin kerjasama dalam bidang akademik pada 25 Februari lalu.

"Sempena kunjungan hormat delegasi KUPU SB ini juga, kata sepakat telah dicapai dimana pemindahan pelajar juga adalah dalam bentuk kerjasama latihan mengajar dan pelajar daripada KUPU SB akan menjalani latihan mengajar mereka di Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan delegasi KUPU SB ke Fakulti Pengajian Kotemporari Islam UniSZA, semalam.

Tambah beliau, bagi memartabatkan ilmu falak, pihak UniSZA juga bersetuju untuk bekerjasama dengan KUPU SB bagi membantu universiti berkenaan menawarkan sijil falak.

"Ini akan menjadi perkongsian pintar antara kedua-dua universiti dalam menjayakan sijil falak,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Norarfan Zainal berkata, objektif lawatan KUPU SB ke UniSZA untuk mengukuhkan jalinan kerjasama yang ditandatangani telah berjaya mencapai matlamat yang diharapkan.

"Sebagai sebuah universiti yang baru ditubuhkan, masih banyak yang perlu dipelajari KUPU SB dari universiti yang ada di Malaysia.

"Kita juga meminta bantuan UniSZA untuk meningkatkan mutu dan kualiti universiti kerana kepakaran pihak KUPU SB yang mempunyai 70 kakitangan dan 700 pelajar sekarang ini masih terhad,” ujarnya.

Katanya, KUPU SB yang ditubuhkan pada 2007 hasil naik taraf Maktab Ugama Seri Begawan yang ditubuhkan pada tahun 1972 sehingga kini telah menjalin kerjasama dan menandatangani MoU dengan 18 buah universiti di mana lapan buah terdiri daripada univesiti di Malaysia.

Mengenai ilmu falak katanya, KUPU SB masih belum mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut dan itu merupakan salah satu sebab mengapa pihak universiti menjalin kerjasama bagi meminta bantuan UniSZA untuk tawarkan kursus falak.

"Ilmu falak ini penting dan tujuan KUPU SB ingin membuka kursus ini ialah sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah khususnya untuk penduduk Islam di Brunei,” ujarnya.

 

21 May 2013

T'Kafe Mr Burger ketiga dilancar 25 Mei

AZMI RAZIK
Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperluaskan jaringan perniagaan restoran T’Kafe dengan penubuhan cawangan T' Kafe Mr Burger yang terbaru di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, tidak lama lagi.

T’ Kafe Mr Burger yang pertama, di Chendering dan kedua di Paka, mula beroperasi pada awal dan penghujung April lalu, mendapat sambutan yang amat baik dari pelanggan sekitar.

Rangkaian ketiga akan dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud, di Hadapan Galeri B, TTC, 25 Mei (Sabtu) ini, kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketua pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik , berkata T’Kafe Mr Burger yang terbaharu dikendalikan Encik Mohd Wahyu Affandy Zainuddin selaku Pengarah Urusan yang juga pengusaha Murtabak Raja.

“Menu yang dihidangkan dalam restoran itu nanti menepati konsep hidangan yang ringkas dan menyelerakan seperti pelbagai jenis burger, bujur (oblong) dan Murtabak Raja yang semakin terkenal sejak kebelakangan ini.

“Selain itu, turut terdapat sajian berat seperti nasi lemak, nasi beriani dan nasi dagang yang memenuhi selera ramai,” katanya.

Haji Azmi berkata, YPU berharap agar cawangan T Kafe Mr Burger ini dapat diwujudkan di dalam dan luar Terengganu dengan menggunakan konsep francais kepada usahawan yang berminat alam perniagaan ini.


UniSZA terima kunjungan hormat delegasi KUPU SB

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima kunjungan hormat delegasi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) susulan daripada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani kedua-dua pihak di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada 25 Februari lalu.

Delegasi seramai 7 orang yang terdiri daripada pegawai pengurusan akademik KUPU SB diketuai Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Norarfan Zainal telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Amran Ahmed di Bilik Persidangan UniSZA, hari ini.

Prof. Dr. Amran berkata, beliau amat berbangga kerana KUPU SB sudi datang ke sini untuk menjalin kerjasama serta melawat UniSZA.

"Saya berharap dengan terjalinnya perhubungan di antara dua universiti ini maka lebih banyak aktiviti bersama akan dapat dilakukan pada masa akan datang,” ujarnya dalam ucapan aluan pada majlis lawatan delegasi KUPU SB ke Fakulti Pengajian Kotemporari Islam UniSZA.

Pada ucapan balas, Dr Haji Norarfan mengharapkan usahasama dan lawatan yang terjalin dapat memperkukuhkan lagi perhubungan antara kedua-dua universiti dari pelbagai segi termasuk pertukaran pelajar bagi berkongsi pengalaman.

Sepanjang kunjungan tersebut, delegasi KUPU SB turut dibawa melawat perpustakaan dan balai cerap bagi mendedahkan mereka kepada kemudahan akademik yang berada di UniSZA.

Pemilihan UniSZA sebagai destinasi kunjungan luar negara adalah selari dengan usaha mereka untuk meneroka peluang yang ada bagi menjalin kerjasama dan memperkukuh hubungan dua hala memandangkan KUPU SB sebuah universiti yang baru dinaik taraf.

 

Bekas pengarah JPNT terharu terima anugerah

Draman Muda dianugerah sebagai Tokoh Guru 2013.
-Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Suriati Ali 

“Saya cukup terharu kerana sumbangan dan jasa yang dicurahkan sepanjang 32 tahun dalam bidang perguruan dihargai Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

“Pekerjaan sebagai guru dipandang mulia di mata masyarakat selain merupakan satu ibadah, faktor itu membuatkan saya tidak pernah jemu untuk berbakti kepada masyarakat, disamping sentiasa berazam untuk menjadi pendidik terbaik,” kata penerima anugerah Tokoh Guru Negeri Terengganu Encik Draman Muda, 62.

 Beliau yang juga bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Guru peringkat Terengganu, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin.

 Encik Draman turut memberitahu tugas dan tanggungjawab guru pada masa kini cukup besar cabarannya, oleh itu mereka perlu bijak mencari jalan penyelesaian terbaik demi anak didik, nama baik sekolah dan Terengganu.

“Jika anak didik berjaya menempuh masa depan penuh gemilang, sudah pasti kita berasa bangga dan terus bersemangat mencurahkan ilmu kepada anak didik lain,” katanya .

Penerima Anugerah Guru Kurang Upaya Cemerlang, Che Arshad Yasin, 49, berkata kekurangaan fizikal yang dialaminya, tidak langsung mematahkan semangat dirinya untuk mendalami ilmu pendidikan dan seterusnya menjadi guru.

“Walaupun mengalami kesukran untuk bergerak disebabkan kecacatan pada kanan tangan akibat kemalanagan jalan raya 25 tahun lalu, saya nekad mahu mendi pendidik,” katanya

 

Polis minta penganjur perhimpunan tukar lokasi

Pihak polis meminta penganjur supaya menukar tarikh dan lokasi perhimpunan mereka yang dijadual berlangsung di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata notis awal yang diberikan pihak penganjur kurang daripada 10 hari perhimpunan hendak diadakan seperti yang ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata lokasi yang dipilih juga tidak sesuai kerana berdekatan jalan utama, kawasan perumahan, kawasannya yang sempit selain mengambil kira faktor keselamatan orang ramai.

"Kita ada menerima surat pemberitahuan berhubung himpunan itu dari pihak penganjur semalam dan kita dapati ia jelas tidak menepati akta perhimpunan aman yang ditetapkan.

"Jadi kita minta mereka meminda tarikh dan mencari lokasi yang lebih sesuai," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tuan Zamri berkata polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak gagal mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan.


Rumah tradisional RM3 juta diubahsuai

Oleh; Esah Abdullah

Rumah Seni Bina Tradisional Terengganu di Losong Haji Su yang dibeli oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dengan harga kira-kira RM3 juta akan dibuka kepada orang ramai selewat-lewatnya pada 2016.

Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah (gambar kanan) berkata, rumah yang dibeli pada tahun 2011 itu masih lagi dalam peringkat kerja-kerja pemuliharaan,

`` Rumah tersebut sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu cengal, merupakan hasil ketukangan Melayu yang unik dan perlu dikekalkan untuk tatapan generasi masa kini

“Rumah yang dibina dalam tahun 1850an itu juga memerlukan kerja-kerja pemuliharaan yang terliti untuk memastikan ciri-ciri tradisional itu kekal seperti sedia kala,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Perasmian . Pameran Inovasi dan Kreativiti Tradisional 2013 di Kompleks Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT)) di Losong, Kuala Terengganu.

Menurutnya, kawasan tersebut akan menjadi tumpuan ramai pada masa akan datang kerana Kampung Losong sendiri pada masa ini terkenal dengan perusahaan keropok.

Malah katanya, jika rumah tradisional itu siap dibaiki sepenuhnya, pelbagai aktiviti juga turut dirancang di kawasan berkenaan.
 

20 May 2013

Pengunjung Tasik Kenyir meningkat

Pengunjung Tasik Kenyir kian meningkat  dari tahun ke tahun. - Gambar
oleh Zulkipli Putra.
DATO' MOHD JIDIN
Oleh: Aida Abd Rahman

Pengunjung ke Tasik Kenyir dijangka meningkat 20 peratus kepada 450,000 orang sepanjang 2013 berbanding 397,005 pada tahun lalu.

Peningkatan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk merancakkan lagi sektor pelancongan khususnya ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee berkata pelbagai program disusunatur bagi membantu menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir dan juga ke seluruh negeri Terengganu sepanjang TMT 2013.

 “Selain program yang disusun kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sepanjang tahun ini, kita juga mempunyai pelbagai tarikan sedia ada seperti santuari kelah di Sungai Petang, Taman Herba di Pulau Sah Kecil, Gua Bewah dan Gua Taat di Taman Negara, Air Terjun Lasir, Saok, Tembat serta Santuari Gajah di Sungai Ketiar.

 “Semua produk pelancongan itu menjadi tarikan utama pelancong ke Tasik Kenyir yang semakin bertambah setiap tahun. Malah, pabila siapnya Kenyir Island Hoping (KIH) dan Pulau Bebas Cukai nanti pasti akan menambah lagi jumlah pengunjung ke pusat pelancongan itu di masa depan,” katanya di Hotel Prinzpark, baru-baru ini.

 Selain itu, acara terbesar yang diadakan di Tasik Kenyir sebagai pembuka kalendar 2013 ialah Le Tour De Langkawi pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu.

 Manakala Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir pula akan diadakan sebanyak lima siri iaitu 10 hingga 11 Februari, 22 hingga 23 Mac, 12 hingga 13 September dan 22 hingga 23 November.

 Diikuti, Kenyir Lake International Triathlon pula akan diadakan dari 9 hingga 10 Mac dan Festival Kenyir sepanjang lima hari bermula 16 Mei lalu. Dalam pada itu, Dato’ Mohd Jidin berkata pihaknya akan memastikan setiap acara yang disusun dalam kalendar TMT 2013 sepanjang Jun hingga penghujung tahun ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.