Pengunjung Tasik Kenyir kian meningkat dari tahun ke tahun. - Gambar oleh Zulkipli Putra. |
DATO' MOHD JIDIN |
Pengunjung ke Tasik Kenyir dijangka meningkat 20 peratus kepada 450,000 orang sepanjang 2013 berbanding 397,005 pada tahun lalu.
Peningkatan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk merancakkan lagi sektor pelancongan khususnya ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee berkata pelbagai program disusunatur bagi membantu menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir dan juga ke seluruh negeri Terengganu sepanjang TMT 2013.
“Selain program yang disusun kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sepanjang tahun ini, kita juga mempunyai pelbagai tarikan sedia ada seperti santuari kelah di Sungai Petang, Taman Herba di Pulau Sah Kecil, Gua Bewah dan Gua Taat di Taman Negara, Air Terjun Lasir, Saok, Tembat serta Santuari Gajah di Sungai Ketiar.
“Semua produk pelancongan itu menjadi tarikan utama pelancong ke Tasik Kenyir yang semakin bertambah setiap tahun. Malah, pabila siapnya Kenyir Island Hoping (KIH) dan Pulau Bebas Cukai nanti pasti akan menambah lagi jumlah pengunjung ke pusat pelancongan itu di masa depan,” katanya di Hotel Prinzpark, baru-baru ini.
Selain itu, acara terbesar yang diadakan di Tasik Kenyir sebagai pembuka kalendar 2013 ialah Le Tour De Langkawi pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu.
Manakala Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir pula akan diadakan sebanyak lima siri iaitu 10 hingga 11 Februari, 22 hingga 23 Mac, 12 hingga 13 September dan 22 hingga 23 November.
Diikuti, Kenyir Lake International Triathlon pula akan diadakan dari 9 hingga 10 Mac dan Festival Kenyir sepanjang lima hari bermula 16 Mei lalu. Dalam pada itu, Dato’ Mohd Jidin berkata pihaknya akan memastikan setiap acara yang disusun dalam kalendar TMT 2013 sepanjang Jun hingga penghujung tahun ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.