Aktiviti mencandat sotong yang popular di negeri ini berpotensi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa dan bakal dimuatkan dalam Kalendar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Mirza Mohammad Taiyab berkata, sempena kempen TMM 2014, aktiviti mencandat sotong adalah salah satu acara yang terpilih untuk dimuatkan dalam kalendar pelancongan.
"Aktiviti mencandat sotong bukan sahaja memberi pengalaman baru kepada mereka yang menyertainya malah turut membantu menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum pelepasan peserta candat sempena program Terengganu Water Fiesta 2013- ‘Gi Candat Boh’ di Jeti perikanan Marang, semalam.
Program anjuran Pejabat Tourism Malaysia Terengganu itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Terengganu dan Kelab Artis Malaysia (MASC).
Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata secara tidak langsung penyertaan artis dan media turut membantu mempromosikan aktiviti mencandat sotong dengan lebih agresif.
"Penglibatan artis dan media lebih kepada memberi pendedahan tentang aktiviti mencandat sotong supaya kita mendapat idea yang lebih baik untuk memperbaiki dan menjadikannya sebagai satu aktiviti yang sememangnya istimewa.
"Dengan kewibawaan media dan artis juga turut memberikan satu jenama yang penting kepada acara ini,” katanya.
Katanya, selepas sekadar memperkenalkan aktiviti candat pada tahun lepas, penganjuran tahun kedua ini lebih menarik dan bermakna dengan kehadiran artis seperti Syed Aiman, Danny XFactor, Azrul Zaidi, Wan Sharmila, Emelda Rosmila dan ramai lagi.
Selain aktiviti mencandat sotong, selama dua hari program Terengganu Water Fiesta 2013 turut dimeriahkan dengan acara sesi masakan artis bersama peminat dan Majlis Pelancaran Pakej Candat Sotong 2013/2014.