Halaman

22 May 2013

Siasatan segera punca runtuhan masjid

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said (depan kiri) mempengerusikan mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman. - GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri sedang menunggu siasatan Unit Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung insiden bumbung hadapan Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu yang runtuh, malam Isnin lalu sama ada berpunca dari reka bentuk bangunan tidak selamat atau pembekalan bahan pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya mengarahkan siasatan segera dibuat untuk mengetahui punca sebenar insiden, selain memastikan masjid yang bernilai kira-kira RM1.7 juta itu dapat dibaikpulih secepat mungkin supaya dapat digunakan semula pada bulan puasa nanti.

“Pada hari ini, kita sudah memanggil Pengarah JKR untuk memberi taklimat mengenai runtuhan Masjid Kampung Binjai Kertas yang merupakan masjid kedua (runtuh) selepas Masjid Batu Putih (Kemasek, Kemaman) suatu masa dulu.

“Kita sudah mengarahkan pihak JKR menyiasat masjid yang mempunyai design yang sama, sama ada kerana design yang silap ataupun pembekal yang menyediakan bahan pembinaan ini melakukan kesilapan dan sebagainya kerana kita tahu bahawa beberapa bangunan dan masjid yang dibina menggunakan pembekal yang sama, iaitu pembekal kekuda, Ajiya STI Sdn Bhd, Puchong Selangor, nama pemasang kekudanya, syarikat Bestweld Steel Sdn Bhd, Puchong, Selangor dan jenis kemasan bumbungnya, `double interlocking clay roofing’, Syarikat Golden Clay Industries Sdn Bhd, Yong Peng Johor ,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan pertama Exco kerajaan negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang kesal dengan insiden runtuhan kedua yang melibatkan masjid selepas runtuhan Masjid Batu Putih pada 3 Oktober 2009, meminta supaya JKR mengkaji secara terperinci terhadap masjid yang mempunyai reka bentuk serupa dengan masjid Binjai Kertas berkenaan, sama ada kesilapan reka bentuk atau penggunaan bahan binaan yang tidak mengikut spesifikasi sebenar.

Menurutnya, pembekal kekuda, Ajiya STI dikatakan turut pernah berdepan dengan tindakan penggantungan selepas 2008, sementara masjid berkenaan pula dibina sepanjang 2007 hingga 2008, sebelum beliau menjadi menteri besar.

 “Jika hendak kira ini bukan zaman saya, tetapi saya kena terima kesan daripada runtuhan masjid, runtuhan stesen bas, runtuhan stadium dan sebagainya. Tetapi kita harap supaya semua bangunan yang menggunakan struktur yang sama supaya disiasat kerana kita takut selepas ini ada lagi berlaku runtuhan dan sebagainya walaupun perkara itu sudah dalam perjanjian jaminan 10 tahun pada kepada material digunakan ini.

 “Tetapi tidak tahulah, bila runtuhan ini berlaku kontrakktor akan cuba cari jalanlah untuk lepaskan diri, walaupun dalam syarat 10 tahun jaminan dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga mengakui sering menegur dan meminta pihak JKR supaya memantau setiap projek pembangunan lebih kerap dan rapi bagi mengelak kejadian yang sama berulang dan bukannya ke tapak pembinaan hanya untuk menyerahkan projek dan menerima projek yang siap dari syarikat pemaju.

 “Kita sudah beritahu (JKR) berulang kali perkara yang sama, JKR ini bawah kuasa JKR Persekutuan sepatutnya tindakan diambillah. Runtuhan pula sering berlaku di Terengganu, itu yang saya pelik. Atau masa itu (pembinaan) menggunakan dana khas, duit banyak, mudah buat dan cincai sahaja.

 “Saya menjadi mangsa kerana berlaku di masa saya, sedangkan benda ini dibuat (sebelum ini) sejarah pembuatan ketika itu, duit banyak dan masing-masing mahu projek banyak, nak cepat semua sekali dan ketika itulah tidak ikut spesifikasi dan mungkin JKR ketika itu mengatakan projek terlalu banyak , tidak sempat periksa dan inilah beban yang terpaksa kita kena pikul,” katanya.

Dalam kejadian itu, 12 jemaah masjid yang masih berada di masjid itu selepas menunaikan solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi itu runtuh.