Sepuluh orang Pegawai Tadbir negeri terbabit dengan arahan pertukaran yang akan berkuatkuasa mulai 1 Jun depan.
Menurut surat arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan serta ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah, tiga orang pegawai akan mengisi kekosongan manakala selebihnya tukar ganti.
Timbalan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Haji Mohd Yasim Awang, 56, akan mengisi kekosongan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) dan tempat beliau akan diganti oleh Encik Mohd Shukri Azam, 53, yang sebelumnya sebagai Pengarah Bajet Perbendaharaan negeri.
Manakala Pengarah Unit Pengurusan Maklumat negeri , Haji Shahidan Embok, 51, akan bertukar ke Kemaman sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah Kemaman dan tempat beliau akan diisi oleh Encik Ahmad Azmi Md Salleh, 54, yang sebelumnya sebagai Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan negeri.
Encik Osman A. Bakar, 54, pula dari Ketua Penolong Pegawai Daerah Kemaman akan memegang jawatan sebagai Pengarah Bajet Perbendaharaan negeri dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Encik Mohd Razif Abdul Majid, 53, menjadi Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan) Unit Perhubungan dan Komunikasi negeri.
Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan Harta) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Encik Idham Mustafa, 38, menjawat jawatan sebagai Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan negeri manakala Penyelaras Program Intan Wilayah Timur, Cik Nur Kamilah Hamzah, 32, mengisi kekosongan Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Dasar dan Pembangunan ) Kerajaan Tempatan.
Selain itu Penolong Kanan Pentadbir Tanah (Pendaftaran) Kemaman, Puan Nor Sophia Azura Mohd Husin, 31, bertukar ke Intan Wilayah Timur sebagai Penyelaras Program dan Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama (Pentadbiran dan Kewangan), Encik Hilman Hajijan, 32, mengisi kekosongan sebagai Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Setiu.