Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengadakan saingan Liga Darul Iman 2013 dengan setiap pasukan mewakili daerah masing-masing dalam usaha mencungkil bakat baharu, bermula 31 Mei dan dijangka tamat akhir Ogos.
Pegawai media PBSNT Encik Haslan Hashim berkata pertandingan yang masuk musim ketiga itu akan disertai daerah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
"Pertandingan itu sudah dimulakan sejak 2010 untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat-bakat baharu yang ada di daerah-daerah sebelum pemain berpotensi ini diserapkan dalam pasukan negeri," katanya.
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk johan, naib johan RM3,000 dan masing-masing RM1,000 untuk tempat ketiga dan keempat.