Halaman

22 May 2013

Program Wanita Terengganu Sihat 30 Mei ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu bakal mengadakan Program Wanita Terengganu Sihat di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu, pada 30 Mei (Khamis) ini.

Pengarah LPPKN Terengganu, Puan Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee (gambar kiri), berkata program yang diadakan secara percuma itu bertujuan memberi kesedaran, informasi dan pemeriksaan kesihatan kepada golongan wanita dalam usaha menangani penyakit yang berisiko tinggi seperti barah payudara, pangkal rahim, jantung, diabetis dan darah tinggi.

“Ia juga bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan cara hidup sihat yang akan disampaikan dalam dua slot ceramah oleh pakar perubatan dan pemakanan.

“Selain itu, slot ceramah ketiga pula mengenai `Kesihatan Wanita Menurut Perspektif Islam’ disampaikan oleh pegawai agama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media, semalam.

Selain itu, peserta program juga berpeluang menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma serta membuat permohonan subsidi untuk menjalani mamogram.

Katanya, pameran dan perkhidmatan kembara kaunseling juga disediakan sempena program itu nanti.

“Kakitangan wanita dialu-alukan menyertai program ini dengan mengisi borang pengesahan yang disediakan dan dikembalikan kepada LPPKN pada atau sebelum 26 Mei ini, di mana maklum balas dan penyertaan awal akan diutamakan .

“Program yang terhad penyertaan dan tanpa sebarang bayaran ini mampu melengkapkan diri peserta dengan ilmu pengetahuan mengenai kesihatan dan langkah berjaga-jaga bagi mengatasi penyakit berbahaya yang kini menyerang ramai golongan hawa,” katanya.