Halaman

02 July 2013

Unisza buka kampus di China

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan membuka kampus di negara China dan di Kuala Lumpur dengan sasaran pelajar dari luar negara.

Naib Canselornya, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, universiti tersebut berkolaborasi dengan konsotium universiti-universiti China dengan mewujudkan kampus di negara tersebut.

“Kita jangka pengambilan sesi pertama membabitkan pelajar 500 pelajar akan bermula September ini,” katanya dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Ucap Tama Tahunan Naib Canselor dan Penganugerahan Kecemerlangan UniSZA 2013 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man semalam.

 Menurutnya, pendekatan ini adalah bagi menampung keperluan pelajar-pelajar antarabangsa yang (berminat) ingin melanjutkan pelajaran mereka di UniSZA tetapi kurang berminat untuk datang ke Terengganu.

Sehingga ini katanya, universiti tersebut telah pun mendapat perhatian para pelajar luar negara terutama dari negara China, Timur Tengah dan juga Indonesia.

 Menurut Prof Dr Yahaya, tempat dan bangunan untuk dua-dua kampus telah dikenalpasti dan kini dalam proses rundingan, sekiranya berjalan lancar, pengambilan pelajar sesi pertama akan dilaksanakan mengikut jadual iaitu September depan.

 “UniSZA akan menyediakan kursus yang mendapat permintaan dan turut menawarkan tempat pengajian dengan pelajar Muslim di China bagi penempatan kampus di negara berkenaan di samping kursus sedia ada yang ditawarkan di Unisza.,” katanya.

Dalam perkembangan lain Prof Dr Yahaya berkata, perpindahan pelajar ke kampus Tembila, Besut telah bermula pada 1 Julai lalu dengan melibatkan dua fakulti iaitu Fakulti Informatik dan Komputeran dan Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan.

“Seramai 900 pelajar lama dan baru telah mula berpindah ke Tembila dan semua kemudahan serta kelengkapan asrama telah siap sepenuhnya kecuali makmal masih belum lengkap dan ia akan diselesaikan tahun ini juga,” katanya.
 

PRK Kuala Besut – pemimpin Pas bertelagah

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Gendang belum lagi dipalu, tetapi pemimpin Pas mula bertelagah sama ada mahu meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut (PRK) atau memboikotnya seperti yang disaran DAP.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustafa Ali, membuat kenyataan parti itu akan meneliti cadangan untuk memboikot PRK tersebut seperti yang disarankan sekutu Pas, iaitu DAP.

Bagaimanapun, hari ini Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, bingkas menangkis pandangan itu dengan mengaskan pihaknya telah pun membuat keputusan untuk bertanding.

 Mohd Abdul Wahid menegaskan pihaknya akan meletakkan calon mereka walaupun DAP mahu Pas memulau PRK berkenaan yang bakal diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negerinya, Dr Haji A Rahman Mokhtar.

Kenyataan Mohd Abdul Wahid ternyata bercanggah dengan kenyataan Mustafa yang menyatakan pihaknya akan meneliti cadangan Setiausaha Agung DAP. Lim Guan Eng, yang mencadangkan agar Pas memboikot PRK DUN Kuala Besut berikutan isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang didakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Mohd Abdul Wahid, Pas Terengganu telah mengadakan mesyuarat dan akan meletakkan calonnya manakala jentera parti sudah digerakkan.

Mengulas mengenai pertelingkahan pemimpin Pas berhubung isu berkenaan, Ketua Penerangan Umno negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia memberi kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

 “Kita (Umno) telah pun mengatur gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon BN pada PRK ini, sekaligus mengekalkan kedudukan 17 kerusi BN dan DUN Terengganu,” katanya.

Beliau yakin pucuk pimpinan BN akan memilih calon terbaik bagi menghadapi PRK dan pengundi di kawasan DUN Kuala Besut akan terus memberi sokongan kepada calon baru seperti yang dltunjukkan kepada Alahyarham Dr A Rahman.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi berdaftar di mana 17,463 merupakan pengundi Melayu, Cina (118) dan lain-lain (84). Pada PRU-13 Alahyarham Dr A Rahman meraih 8,809 undi manakala calon Pas, Napisah ismail mendapat 6,375 undi.

Dato’ Haji Ahmad Razif yakin dengan kelebihan majoriti 2,434 undi yang diraih Alahyarham Dr A Rahman, BN mempunyai peluang besar bagi mempertahankan kerusi tersebut walau siapa pun calon Pas yang akan bertanding di situ kelak.

 

Terengganu juara Kategori Lampu Terbaik

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Keindahan dan Keunikan lampu yang dipaparkan pada bot berhias membolehkan Terengganu dipilih sebagai pemenang Kategori Lampu Terbaik sempena Pertandingan `Magic Of The Night’ di Persiaran Tasik Putrajaya, Kuala Lumpur yang berakhir malam kelmarin.

 Bot berhias ciptaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menekankan beberapa keunikan, termasuk logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, layar `Moosun Cup’, kubah Masjid Kristal, podium Wisma Darul Iman, songket dan batik membolehkan Terengganu layak menjuari kategori itu.

 Pertandingan yang berlangsung selama sembilan hari, iaitu bermula 22 hingga 30 Jun itu disertai 14 bot berhias. Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani, berkata sebanyak 14 bot berhias dengan pelbagai motif dan ikon pelancongan terkenal menonjolkan kehebatan masing-masing.

Katanya, juara keseluruhan bagi pertandingan itu dimenangi Putrajaya, manakala ketegori Paling Popular (Johor) dan kategori Bot Kreatif pula digondol Sabah.

“Dianjurkan buat kali ketiga, "Magic of the Night" yang diadakan sempena Floria Putrajaya (anjuran Pebadanan Putrajaya) telah menjadi acara tahunan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan semenjak tahun 2011 dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan asing.

 “Acara ini memaparkan perarakan bot-bot yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni yang direka khas berdasarkan keunikan dan kreativiti para peserta serta bertemakan flora dan fauna, ikon serta produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang menjadi tarikan mengikut negara, negeri atau organisasi masing-masing.,” katanya.

 



Pengundi DUN Kuala Besut sambut baik perlantikan Tan Sri Muhyiddin



Oleh: Mohammad Ishak 

Pengundi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, menyambut baik perlantikan Timbalan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengarah pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pelajaran II dilantik sebagai timbalan bagi memikul tugas sama membantu Timbalan Perdana Menteri itu.

Pemimpin komponen BN Kawasan berkenaan menyifatkan perlantikan kedua pemimpin terbabit bagi menjalankan tanggungjawab sempena kempen PRK amat tepat dan sesuai untuk menghadapi suasana berkempen.

Ketua Cawangan UMNO Kampung Lay Out,Tok Saboh, Abdul Rashid Jusoh berkata, pihaknya mengalu-alukan perlantikan kedua-dua tokoh terbabit sebagai pengarah dan timbalan pengarah pilihan raya bagi menggerakkan jentera parti.

Katanya, PRK DUN Kuala Besut yang dianggap penting dan menjadi tumpuan negara selepas PRU13 memerlukan jentera yang kuat dan pemimpin berpengalaman untuk menentukan kemenangan parti.

“Saya yakin kedua-dua pemimpin berkenaan mampu menyusun strategi parti untuk berhadapan dengan pembangkang,” katanya mengulas perlantikan mereka untuk PRK Dun Kuala Besut.

PRK DUN Kuala Besut dijgangka diadakan pada bulan Ramadan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar baru-baru ini.

Abd Rashid berkata, pihaknya juga akan menerima keputusan pucuk pimpinan parti dalam menentukan siapa bakal calon yang mewakili BN pada pilihan raya berkenaan.

Katanya,tugas pemimpin peringkat cawangan hanya membantu jentera parti menjalankan kempen bagi menarik perhatian pengundi untuk menentukan BN terus mempertahankan kerusi terbabit.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Baru, Mohamad Abdullah pula berkata, kemenangan BN perlu untuk mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan Terengganu selain meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.

01 July 2013

TAN SRI MUHYIDDIN PENGARAH PILIHAN RAYA KUALA BESUT


 Oleh: Ruslan Abdul Rahman

 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jentera dan kempen Barisan Nasional  (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut,manakala Menteri Pendidikan II yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil berkenaan.
   Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, BN bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu dengan penuh keyakinan menang.
   Beliau  berharap pengundi yang sebelum ini mengundi BN akan membuat keputusan yang sama membantu (memenangkan) calon yang akan kita tetapkan nanti," katanya di Kuala Lumpur hari ini.
   Suruhanjaya Pilihan Raya dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN) Kuala Besut.
 Tan Sri Muhyiddin dijangka akan berkampung di Besut bagi memastikan BN memperolehi kejayaan yang cemerlang.
 Sementara itu, kesemua 36 cawangan Umno dan 8 Peti Undi (PDM) di Kuala Besut sudah siap siaga untuk menghadapi PRK itu.

PKR MEMPUNYAI CALON YANG BERWIBAWA UNTUK KUALA BESUT- SUP KANAN ANWAR

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

 Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai calon yang berwibawa untuk diletakkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti, kata Timbalan Pengerusi PKR Negeri Terengganu, Haji Abdul Rahman Yusof (yang juga Setiausaha Politik Kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim).
  “Calon berkenaan adalalah merupakan seorang jurutera yang hebat dan berwibawa,” katanya kepada penulis melalui telefon sebentar tadi. Beliau bagaimana pun mengakui akan melalui jalan yang sukar kerana sikap pimpinan Pas yang sering mengakui mereka kuat dan boleh menang.
   “Pas gitu sokmo, kata mereka boleh menang,” ujarnya.
    Penulis menyebut beberapa nama calon Pas termasuk bekas-bekas calon Pas, tetapi orang kanan Dato’ Seri Anwar itu tetap menganggap calon-calon berkenaan tidak berwibawa untuk membawa kemenangan kepada pakatan mereka.
 Beliau yang berada di Kuala Lumpur akan pulang ke Terengganus ehari dua lagi bagi meninjau perkembangan PRK yang bakal diadakan itu.Sebelum ini Pengerusi PKR Terengganu, YB Azan Ismail juga mencadangkan agar calon partinya bertanding di Kuala Besut dalam PRK nanti, tetapi ditentang oleh Setiausaha Agung Pas, Dato' Mustaffa Ali yang mendakwa itu adalah kawasan hak Pas sebagaimana pilihan raya umum lalu.
 

Pertima bekal kuah sate menjelang Ramadan

Oleh; Esah Abdullah.

Pertima Terengganu Sdn Bhd (Pertima) akan mengeluarkan 10,000 tin kuah sate dalam tin sebagai memenuhi permintaan orang ramai menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Eksekutif Pamasarannya, Encik Azrul Alias berkata, produk kuah sate dalam tin tersebut telah mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan mendapat permintaan setiap kali menjelang bulan Ramadan.

“Permintaan terhadap kuah sate bertambah setiap kali menjelang Ramadan dan seterusnya untuk persediaan Aidilfitri oleh itu jumlah pengeluaran akan bertambah sekali ganda bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Menurutnya, produk berkenaan boleh didapati di semua pasar raya di negeri ini dan juga di luar Terengganu dan jika ingin mendapatkan bekalan yang banyak boleh datang terus ke kilang di Kawasan Perindustrian Chendering.

Katanya, proses penyediaan kuah sate ini sangat mudah iaitu hanya panaskan sahaja kuah tersebut sebelum dihidangkan dan rasanya sudah tentu enak sepertimana rasa kuah sate yang baru dimasak.

Menurutnya, Pertima adalah peneraju pengeluar makanan dalam tin di Terengganu sejak ditubuhkan pada 1972 dengan mengeluarkan pelbagai produk seperti ikan dalam kuah tomato (sardin) dalam pelbagai saiz, kari ayam, sambal bilis, seri kaya.

“Kami juga bakal mengeluarkan dua lagi produk baru, iaitu Sapuan Sardin dan juga sambal nasi lemak. Ia sedang dalam proses untuk dipasarkan tidak lama lagi,” katanya.
 

Barisan Nasional (BN) diminta meletakkan calon golongan agama

Oleh: Mohammad Ishak 

Barisan Nasional (BN) Terengganu diminta meletakkan calon berlatar belakangkan agama bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Kuala Besut yang bakal diadakan pada Ramadan ini.

Cadangan itu bagi mengimbangi kedudukan kerusi BN di DUN Terengganu yang sekarang dikatakan tidak mempunyai ADUN daripada golongan agama.

Malah, peluang untuk menurunkan calon golongan agama dianggap peluang terbaik bagi BN pada PRK ini  kerana pembangkang juga dikatakan akan mempertaruhkan calon dari golongan agama untuk menentang BN.

Pengerusi Veteran UMNO Besut, Abd Aziz Hadi berkata, meskipun golongan profesional lain layak dipertimbangkan untuk merebut kerusi berkenaan tetapi golongan agama amat penting bagi memberi kekuatan kepada perjuangan Umno di Terengganu.

Katanya, UMNO Bahagian Besut mempunyai ramai tokoh dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, profesional dan pemimpin masyarakat yang mampu mempertahankan kerusi berkenaan.

PRK Dun Kuala Besut, bakal diadakan pada bulan puasa berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia Selasa lalu akibat kanser paru-paru.

Bagaimanapun,katanya, terpulanglah kepada kebijaksanaan pemimpin parti untuk menentukn siapa calon paling layak untuk disenaraikan bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Dalam perkembangan lain, UMNO Bahagian Besut sudah menggerakkan jenteranya untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada dikuasai pembangkang.

Ketuanya,Dato' Seri Idris Jusoh bersama pemimpin lain sudah turun padang dan mendekati pengundi bagi mempastikan mereka terus menyokong perjuangan Umno bagi seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Walaupun DUN Kuala Besut dianggap kubu kuat BN tetapi jentera parti perlu digerakkan supaya sentiasa bersedia dan bergerak mulai sekarang,” katanya.

PRK:BN DIRAMAL MENANG LEBIH BESAR MAJORITI DI DUN KUALA BESUT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Bekas calon BN yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut tahun 1979, Dato’ Haji Wan Zakaria Abdul Rahman menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti yang lebih besar dalam PRK kali ini.
  Ini katanya berdasarkan bahawa dalam pilihan raya umum lalu BN telah menang dengan majoriti besar dengan pengundi yang sama mengundi BN.
  Malah beliau berkata, kemungkinan mereka tidak mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu akan beralih arah mengundi BN semula kerana melihat situasi pembangkang yang bercelaru pada masa ini.
   Ditanya sama ada beliau bercita-cita untuk menjadi calon lagi jika dipilih, beliau menengaskan akan memberi sokongan kepada mana-mana calon baru yang muda dan lebih berkaliber.
  Semalam pihak media sebaik selepas taklimat kepada jentera BN di Besut bersama Ketua Penerangan Umno Malaysia , Dato’ Ahmad Haji Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan Malaysia telah dimaklumkan bahawa calon BN adalah yang terbaik dari anak tempatan .
   Sementara Pas masih lagi mencari calon yang sesuai dan menghadapi tekanan berikutan pakatannya Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga menawarkan calonnnya, seorang jurutera untuk bertanding mewakili pakatan (PR).


Sukna mampu promosi TMT 2013

Oleh: Suriati Ali

 Pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah Sukan Nasional (SUKNA) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JBPD) Semenanjung Malaysia bertepatan berikutan mampu mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 kepada pihak luar.



 Penglibatan 700 warga JBPD membabitkan tujuh kontinjen pelbagai negeri sempena Sukna yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bukan saja mampu melahirkan penjawat awam yang sihat malah dapat berkongsi pengalaman berkaitan keindahan pelbagai negeri.

 Ketua Pengarah JBPD Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Fadzil Mohd Khir berkata pihaknya berasa bangga kerana Terengganu dapat menjayakan SUKNA dengan cemerlang.


 “Dia tidak akan mensia-siakan kedatangannya bersama ratusan kakitangan lain ke Terengganu dengan meninjau beberapa destinasi menarik yang terdapat di negeri ini,” katanya ketika berucapa pada Majlis Penutup Sukna, malam tadi.

 Selain warga JPBD dari seluruh semenanjung termasuk Sabah, Urusetia Pusat Setempat (OSC) Pihak Berkuasa Tempatann dan ahli Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) juga menyertai SUKNA kali ini



 Pada kejohanan itu, Kontinjen Zon Tengah sekali lagi merangkul gelaran juara keseluruhan berturut-turut sejak dijalankan. Kejuaraan kali ke-16 itu adalah bukti kerjasama dan komitmen kontinjen berkenaan dalam melaksanakan latihan disamping menjadikan sukan sebagai aktiviti utama selepas tamat bekerja.

Ketua kontingen Zon Tengah, Rokibah Abdul Latif berkata kontinjen berkenaan sudah membuat persiapan lima bulan lebih awal sebelum menyertai SUKNA. "Selain mengadakan latihan tiga kali seminggu, kontinjen kami juga kerap mengadakan perlawanan sukan membabitkan setiap bahagian daripada JBPD Ibu Pejabat dan Selangor.

 "Malah kami juga kerap mengadakan perlawanan sukan persahabatan antara dua jabatan ini. Melaluinya, kami dapat memilih pemain yang berbakat dan dibawa bertanding ke SUKNA,"katanya.

enangan berturut-turut sejak SUKNA dijalankan. "Sukan adalah aktiviti riadah yang dilakukan pada waktu petang oleh kakitangan kami. "Namun, lima bulan sebelum bertanding, latihan sukan akan dijalankan lebih serius setiap jam 4.00 petang,"katanya