Halaman

15 July 2013

MB solat terawih bersama-sama 100 penduduk di Masjid Kampung Dengir

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menunaikan solat terawih bersama-sama penduduk di Masjid Kampung Dengir, malam ini.



Selepas menunaikan ibadat itu, beliau sempat menikmati jamuan moreh bersama-sama imam, pegawai dan kaiktangan serta jemaah masjid berkenaan.

Penceramah bebas, Ustaz Fathul Bahri Mat Jahaya, berkata umat Islam perlu menjauhi prasangka buruk pada bulan Ramadhan yang mulia ini kerana sifat berkenaan tidak disukai oleh Allah s.w.t.

Beliau berkata, prasangka buruk telah menyebabkan Kerajaan Islam di zaman Khalifah Saidina Uthman ibni Affan jatuh dan khalifah Islam ketiga itu terbunuh.

Beliau turut meminta rakyat negara ini, khususnya di kalangan umat Islam supaya berhati-hati dalam menyebarkan maklumat melalui internet kerana ia dikhuatiri memfitnah orang lain dan menyebarkan berita tidak tepat.

“Sebagai umat Islam, kita perlu menyemak terlebih dahulu sesuatu berita itu sebelum menyebarkannya agar kita tidak menjadi golongan yang fasik,” ujarnya.

 





MB dan calon BN lawat jenazah

Laporan: Kamarudin Mat Akib 
Gambar: Harish Fadzillah 


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Raihan Che Ku Rahman, sempat meluangkan masa melawat jenazah seorang penduduk Kampung Tok Has, yang meninggal dunia petang tadi.



Mereka meluangkan masa hampir sejam menziarahi jenazah Allahyarham Ibrahim Mamat, 69, yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tok Has.

Ketibaan Menteri Besar dan Tengku Zaihan disambut oleh isteri Allahyarham Ibrahim, Puan Robiah Ismail dan ahli keluarganya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lapan anak yang berusia antara 26 tahun hingga 46 tahun.

Beliau meninggal dunia di Hospital Univeriti Kubang Kerian akibat komplikasi jantung dan jenazahnya akan dikebumikan malam ini.

#prk kuala besut

 

Calon BN teruja sambutan pengundi DUN Kuala Besut

Laporan: Kamarudin Mat Akib, Harun Hassan dan Mohamad Ishak

Kuala Besut

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilhan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Rahman, teruja dengan sambutan pengundi di kawasan tersebut, setiap kali beliau hadir majlis berbuka puasa.

Katanya, boleh dikatakan setiap majlis berbuka puasa yang beliau hadir bersama-sama pemimpin BN, orang ramai terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat turut hadir bagi memberi sokongan kepada beliau dan BN.

“Bagi saya ini merupakan petanda baik dan saya harap mereka akan menterjemahkan manifestasi ini dalam bentuk undi pada PRK pada 24 Julai depan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Unit Komunikasi Negeri di Balai Raya Kampung Beris Lampu, malam ini.

Kira-kira 300 orang hadir pada majlis berbuka puasa itu yang diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung dengan pemimpin BN, termasuk calon BN bagi PRK Kuala Besut.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zamri Abdul Kadir; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

Tengku Zaihan amat gembira kerana rata-rata pengundi yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan solat terawih bersama pemimpin BN menunjukkan reaksi yang baik dan mahu melihat beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu menggantikan Alahyarham Dr A. Rahman Mokhtar.

“Jika diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat nanti, saya akan memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di kawasan ini,” ujar beliau. Beliau berharap penduduk di DUN Kuala Besut memberi undi kepadanya pada PRK 24 Julai nanti bagi membolehkannya berkhidmat di kawasan itu.

 

BEZA ANTARA DUA: CALON BN LEBIH BERHEMAH BERKEMPEN BERBANDING PEMBANGKANG

Cara berkempen calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman didapati lebih menepati cita-rasa budaya tempatan Kuala Besut, lapor Ruslan Abdul Rahman.
 Beliau menaiki motosikal untuk ke kampung-kampung yang terpencil bagi menemui para pengundi.
 Berbeza dengan pihak lawan yang menggunakan jentera yang memegang banner bertulisan tertentu untuk menarik sokongan di tempat-tempat awam. (sila perhatikan gambar di bawah).
 Mana satukah yang sukacita kita melihat.....



TH Hotel & Convention Centre Terengganu agih bubur lambuk percuma

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam usaha memperkenal dan mempromosikan hotel mereka, TH Hotel & Convention Centre Terengganu mengambil peluang mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai.

Pengurus Besarnya, Malizan Zakaria berkata, ia adalah satu program kemasyarakatan untuk mengeratkan silaturahim antara kakitangan hotel dan orang awam.

"Buat pertama kali sempena bulan Ramadhan, kami mengadakan program ini untuk mendekatkan lagi TH Hotel dengan masyarakat luar supaya mereka lebih mengenali hotel kami.

"Bubur lambuk ini dimasak sendiri oleh chef kami dan turut mendapat kerjasama JKKK Kampung Angsa untuk menjayakan program ini," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Beliau berkata bubur lambuk dipilih kerana ia antara pilihan utama ketika bulan Ramadhan. Bubur yang dimasak menggunakan pelbagai rempah ratus, menjadikan ia sajian unik untuk berbuka puasa.

"Bubur lambuk sudah menjadi makanan tradisi penduduk negeri ini dan ia sangat sinonim dengan bulan Ramadan. Justeru, menjelang bulan puasa, pasti ramai yang akan tertunggu-tunggu untuk menikmati sajian ini.

"Kami yakin dan percaya walaupun pengagihan bubur lambuk ini diadakan di merata tempat, namun setiap chef pasti mempunyai resepi dan sentuhan mereka tersendiri yang menjadi tarikan utama penduduk setempat.

"Bagaimanapun, kami akan cuba memilih dan menambah hidangan lain selain bubur lambuk untuk mempelbagaikan lagi juadah percuma ini pada masa akan datang," katanya.

Malizan berkata melihat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, beliau berhasrat untuk menjadikan program itu sebagai salah satu program tahunan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Pengagihan bubur lambuk diadakan di hadapan bangunan hotel bermula semalam (14 Julai) hingga akhir Ramadan dari jam 4.30 petang setiap hari.

Pada program berkenaan, sebanyak 200 bungkus bubur lambuk diberikan secara percuma kepada orang ramai.

Selain itu, TH Hotel turut menyediakan buffet makan malam Kibas berharga RM59 untuk dewasa dan RM41 untuk kanak-kanak. Antara sajian utama yang disediakan adalah Kibas BBQ, Nasi Mandy dan lebih dari 100 jenis masakan dan kuih muih.

 

“SAYA YANG MELAHIRKAN DIA DI KG NAIL, KUALA BESUT…SAYA IBUNYA TAKKAN ORANG LAIN LEBIH TAHU” KATA NIK YAH IBU KANDUNG CALON BN, TENGKU ZAIHAN

Laporan ekslusif dari Roslan Abdul Rahman: 

“Saya ibunya, saya yang melahirkan dia. Di kampong Nail inilah saya yang melahirkan Tengku Zaihan, “ kata Nik Yah binti Mat Daud, bonda kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

“Jadi, saya hendak betulkan kalau ada pihak yang cuba menfitnah terhadap anak kami,” kata Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah bersama-sama dengan isterinya Nik Yah Mat Daud ditemui editor di rumahnya tengahari ini.

“Saya masih ingat, zaman kanak-kanak Tengku Zaihan suka bermain air di muara sungai Nail ini dan selalu dipantau oleh penduduk di kampong ini, bimbang keselamatan dirinya, maklumlah air di muara sungai bahaya juga,” ibunya Nik Yah mengenangkan masa Tengku Zaihan kanak-kanak dulu.

 Masa itu, Cheku Abdul Rahman dan isterinya Nik Yah tinggal di Kg Nail . Cheku Abdul Rahman seorang guru agama yang disegani dan penulis puisi tempatan serta ahli sejarah yang dikenali ramai.

“Janganlah kerana anak saya jadi calon BN, sampai difitnah sebegitu rupa. Takkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali lebih tahu dari ibu dan bapa Tengku Zaihan. PAS memulakan kempen hari pertama dengan mempertikaikan pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang didakwa bukan anak tempatan.

Malah serangan peribadi terhadap Tengku Zaihan juga membabitkan dakwaan kononnya pemilihannya sebagai calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut tidak mendapat restu pemimpin tempatan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau dimaklumkan bahawa Tengku Zaihan tidak dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Besut.

"Calon BN ini kurang dikenali oleh masyarakat setempat. Ada yang kata beliau tidak dilahirkan di sini...cuma keluarganya ada di sini.

"Mengikut sumber juga calon BN ini bukan kehendak masyarakat setempat. Tetapi beliau didatangkan dari pilihan orang Putrajaya," kata Datuk Mustaffa Ali  pada sidang media di markas PAS di Kampung Baharu di sini, Sabtu lalu.

Kedua ibubapa Tengku Zaihan amat kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas itu yang disifatkan sebagai fitnah .

“ Saya melahirkan dia di rumah No 666 Jalan Nail….cabang dekat orang jual nasi tu…di situlah rumah saya dulu,” kata Nik Yah sambil meminta anak sulongnya Tengku Zahrin Che Ku Abdul Rahman menunjukkan tapak rumah tempat Tengku Zaihan dilahirkan kepada editor.

“Di situ jugalah, anak saya Tengku Zaihan selalu cari anak ikan di parit atau paya berdekatan rumah.. Saya ingat, moga dia anak sayakan, saya tahulah,” jelas Nik Yah lagi dengan nada yang sedih.

“Saya pun ahli sejarah, saya banyak menulis tentang sejarah “ celah ayahnya Che Ku Abdul Rahman. Beliau berharap dengan penjelasan itu, pihak tertentu tidak lagi membuat fitnah ke atas anaknya Tengku Zaihan, lebih lebih lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini.


Kredibiliti calon BN mantap

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukor

Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut perlu yakin dengan kredibiliti dan kemampuan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37 bagi membangunkan DUN Kuala Besut sekiranya beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kemampuan anak jati Kuala Besut ini tidak perlu dipertikaikan di mana beliau pernah dua kali menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan pada tahun 2006 dan 2011 ketika bertugas sebagai Pengarah Bahagian Korporat, JPS, Putrajaya.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Pencetus Idea 2010 atas kebijaksanaan beliau memberikan idea kreatif dan inovatif terutama dalam menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat berkaitan dengan jabatan.

Kecermerlangan beliau ketika bertugas sebagai Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuktikan beliau sebagai individu dan pemimpin cemerlang.

Justeru itu, kelebihan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan Dun Kuala Besut bermula dari Pengkalan Sentul hingga ke Pachakan. Selain komited ketika bertugas, Tengku Zaihan juga mempunyai peribadi diri yang menyenangkan, tidak sombong, tidak meninggi diri, jauh sekali bermegah-megah.

Ketika berkhidmat di JPS Besut, beliau amat mesra dan rapat dengan semua kakitangan termasuk kakitangan bawah.

 Antara sumbangan beliau di Dun Kuala Besut ialah beliau merupakan arkitek pembinaan Taman Rekreasi JPS Sungai Jertih, selain berusaha memulihkan sistem pengairan sawah padi di skim Pelagat dan Pengkalan Nangka.

Justeru itu, masyarakat di Dun Kuala Besut perlu membuat pilihan yang bijak dan tepat dengan memberikan undi mereka kepada Tengku Zaihan pada pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 24 Julai 2013 nanti.

 

TDM bina kilang RM80 juta di Kalimantan

DATO' ROSLAN
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra


TDM Berhad bakal membina kilang minyak sawit bernilai RM80 juta di Kalimantan, Indonesia yang dijangka siap hujung tahun hadapan.


Pengerusnya, Dato’ Roslan Awang Chik berkata, pihaknya sudah mengeluarkan tender kepada kontraktor bagi proses membina kilang yang mampu memproses 60 tan sejam kelapa sawit terletak di Naggapinoh, Kalimantan itu.

 “Baru-baru ini Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke Kalimantan dan melawat tanaman sawit kita di sana yang seluas 11,035 hektar.

“Kita juga sekarang ini sudah mengeluarkan tender membina kilang yang dijangka siap dalam masa 16 bulan akan datang,” katanya kepada pemberita, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Dato’ Roslan berkata, TDM akan memperolehi hasil lebih lumayan apabila ladang seluas 20,000 hektar keseluruhan itu akan mengeluarkan hasil sepenuhnya nanti.

Katanya, dalam jangka masa panjang, TDM mensasarkan untuk menanam 40,000 hektar kelapa sawit serta membina kilang tambahan bagi menampung peningkatan pengeluaran itu.

Dalam pada itu, TDM Berhad mempunyai potensi pertumbuhan positif di Kalimantan dan dijangka menjana pengeluaran yang ketara pada 2015.

TDM juga berusaha ke arah penanaman pokok kelapa sawit tiga kali ganda daripada jumlah sekarang berikutan mempunyai tanah subur dan iklim yang kondusif di kawasan itu.

Terdahulu, operasi TDM Berhad di Kalimantan, Indonesia mendapat pujian Menteri Besar ketika mengadakan lawatan kerja di lokasi itu, pada 29 Jun lalu.

Rombongan lain yang mengikuti lawatan itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Haji Abdul Razak Ismail.

Lawatan tersebut dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha Kumpulan untuk mengemas kini pembangunan operasi perladangan TDM di Indonesia kepada kerajaan negeri.


ASDI beroleh pendapatan RM3.88 juta

DATO' HAJI MUHATAR
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Amanah Saham Darul Iman (ASDI) telah memperolehi pendapatan RM3.88 juta bagi tempoh enam
bulan berakhir 30 April 2013.

Pengerusi PTB Unit Trust Berhad, Dato’ Haji Muhatar Abdullah dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada pemegang unit itu berkata, sejumlah RM1.61 juta atau 41.49 peratus adalah pendapatan dari keuntungan jualan pelaburan saham.


Manakala RM1.61 juta dari dividen saham tersiar harga dan RM0.53 juta atau 13.66 peratus dari dividen pelaburan di pasaran wang serta RM0.13 juta (3.35 peratus) keuntungan bersih daripada perbezaan nilai saksama aset kewangan yang belum direalisasi dan selebihnya dari lain-lain pendapatan.

“Setelah ditolak perbelanjaan berjumlah RM1.49 juta dan peruntukan cukai RM0.033 juta, jumlah pendapatan komprehensif ialah RM2.36 juta,” katanya.

Menurutnya, keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM2.36 juta, keuntungan direalisasikan atau pendapatan yang boleh diagih ialah RM2.23 juta sementara keuntungan yang tidak direalisasikan adalah RM0.13 juta.

Katanya, keuntungan yang direalisasikan berjumlah RM2.23 juta atau 0.52 sen seunit adalah lebih rendah berbanding RM5.78 atau 1.36 sen seunit untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, strategi pelaburan berpandu kepada objektif pelaburan dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan politik serta perkembangan di dalam dan luar negara yang mempengaruhi prestasi pasaran ekuiti dan pasaran bon di samping melibatkan analisa risiko.

Dalam membuat pemilihan saham katanya, penelitian akan diberikan kepada prospek pertumbuhan pendapatan, kekukuhan kewangan syarikat, nilai aset bersih, pegangan tunai, pulangan dividen serta pengurusan berwibawa.

“Sebagai sebuah tabung unit amanah berteraskan syariah, ASDI merupakan salah satu pelaburan altenatif untuk para pelabur yang menitikberatkan pulangan yang bersih dan diharuskan oleh syarak.

“Berdasarkan objektif pelaburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini matlamat untuk memberikan pulangan yang munasabah kepada para pelabur telah berjaya dilaksanakan,” katanya.

Katanya, kini tumpuan akan diberikan untuk mencapai objektif agar pertumbuhan modal juga akan turut dinikmati oleh para pelabur di masa hadapan.

Dato’ Haji Muhatar berkata, statistik pemegang unit sehingga 30 April 2013 ialah sebanyak 24,244 dengan pemegang unit individu seramai 24,093 orang manakala bakinya 151 adalah pelabur institusi.

Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa


Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan bantuan kepada  anak yatim dan fakir miskin di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukor (Pelatih) 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan kepada Anak Yatim dan fakir miskin sempena sambutan perayaan ulang tahun ke-51 Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang ke-51 di Istana Maziah, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.



Keberangkatan baginda diiringi, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli Dewan Pangkuan Diraja dan To’ Puan Sharifah Fatimah Sahalat serta Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Hadir sama, kerabat-kerabat Diraja dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah serta isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

 Lebih 500 fakir miskin dan anak yatim dari pelbagai pelbagai latar belakang, pertubuhan dan sekolah hadir menerima agihan duit raya yang disampaikan Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah. Pemberian sumbangan itu dapat memberikan sedikit keceriaan kepada golongan itu menjelang hari raya nanti.