Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

15 July 2013

Calon BN teruja sambutan pengundi DUN Kuala Besut

Laporan: Kamarudin Mat Akib, Harun Hassan dan Mohamad Ishak

Kuala Besut

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilhan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Rahman, teruja dengan sambutan pengundi di kawasan tersebut, setiap kali beliau hadir majlis berbuka puasa.

Katanya, boleh dikatakan setiap majlis berbuka puasa yang beliau hadir bersama-sama pemimpin BN, orang ramai terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat turut hadir bagi memberi sokongan kepada beliau dan BN.

“Bagi saya ini merupakan petanda baik dan saya harap mereka akan menterjemahkan manifestasi ini dalam bentuk undi pada PRK pada 24 Julai depan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Unit Komunikasi Negeri di Balai Raya Kampung Beris Lampu, malam ini.

Kira-kira 300 orang hadir pada majlis berbuka puasa itu yang diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung dengan pemimpin BN, termasuk calon BN bagi PRK Kuala Besut.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zamri Abdul Kadir; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

Tengku Zaihan amat gembira kerana rata-rata pengundi yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan solat terawih bersama pemimpin BN menunjukkan reaksi yang baik dan mahu melihat beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu menggantikan Alahyarham Dr A. Rahman Mokhtar.

“Jika diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat nanti, saya akan memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di kawasan ini,” ujar beliau. Beliau berharap penduduk di DUN Kuala Besut memberi undi kepadanya pada PRK 24 Julai nanti bagi membolehkannya berkhidmat di kawasan itu.