Halaman

17 July 2013

TPM imam solat Maghrib di Masjid Telok Bayu

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, malam ini mengimamkan solat Maghrib di Masjid Kampung Telok Bayu, berhampiran tempat tinggal bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar.



Sebelum itu, beliau yang diiring Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan pemimpin Umno, berbuka puasa bersama-sama penduduk kampung dan anak yatim di perkarangan masjid berkenaan.

Selepas itu, Timbalan Perdana Menteri menunaikan solat terawih di Masjid Haji Ishak, Kampung Dengir, bersama-sama pemimpin Umno dan penduduk kampung tersebut.

Dalam ucapannya selepas solat terawih, beliau mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan bersatu padu agar mereka tidak diperkotak-katikkan oleh masyarakat bukan Islam.

Beliau mengajak umat Islam supaya bersyukur dengan nikmat keamanan negara Malaysia yang jauh berbeza dengan sebahagian negara luar yang berkecamuk akibat sengketa sesama sendiri.

“Saya bimbang dengan perkembangan terbaru negara ini di mana ada pihak yang cuba melaga-lagakan sesama umat Islam bagi kepentingan politik mereka akan mengakibatkan perkara buruk di masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam supaya bersatu dan mengetepikan fahaman politik bagi memastikan perpaduan di kalangan umat Islam dan penduduk negara ini dapat dikukuhkan.

 “Tidak salah jika kita mempunyai fahaman politik yang berbeza, tetapi kita mesti bersatu dan mengelak daripada sebarang kegiatan yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam,” katanya.


#prk kuala besut