Halaman

17 July 2013

Pas bangkit isu lapuk

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

Pas membangkit isu lapuk berkaitan pemberian tanah kepada wakil rakyat Barisan Nasional BN) pada kempen Pilhan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, kerana parti itu tidak ada isu dan kekeringan modal bagi mengkritik Kerajaan BN.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata wakil rakyat yang diberi tanah tersebut sememangnya layak menerima habuan itu kerana ia merupakan angerah kerajaan negeri kepada mereka yang telah banyak berjasa.

“Dalam tempoh saya menjadi Menteri Besar, kita beri kira-kira 20,000 lota tanah kepada rakyat di seluruh negeri.

“Tak kan kerana kita beri satu lot rumah saja kepada beberapa wakil rakyat BN, Pas mahu menjadikannya satu isu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Katanya, daripada tanah yang diagih kepada rakyat itu 12,000 lota merupakan tapak rumah manakala 8,000 lot lagi bagi tujuan pertanian.

Dato’ Seri Haji Ahmad menjelaskan sewaktu Pas memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, ada wakil rakyat dan isterinya yang diberi tanah seluas 150 ekar untuk dijadikan ladang limau.

“Apalah sangat jika dibandingkan kita beri wakil rakyat satu lot rumah sedangkan Pas beri wakil rakyat mereka hingga 150 ekar?,” soal beliau ketika mengulas isu lapuk yang ditimbulkan kembali pencermah Pas pada kempen PRK Kuala Besut.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, Pas terpaksa mengulangi isu yang sama bagi menghangatkan kempen PRK Kuala Besut.

“Ini sudah tabiat semula jadi Pas, tidak sempurna kempen mereka jika tidak ada fitnah dan menimbulkan isu bagi memburukkan orang lain,” katanya.

Menteri Besar berharap rakyat mengenang budi jasa-jasa Umno dan BN tehadap mereka selama ini dan tidak mengundi calon Pas pada pilihan raya ini.


#prk kuala besut