Halaman

17 July 2013

Skim kawalan harga musim perayaan bermula bulan depan

Oleh; Esah Abdullah 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan harga Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 bermula pada 1 Ogos depan.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Encik Syamsul Badrin Mohshin berkata, dalam tempoh pelaksanaan skim itu peniaga adalah diwajibkan menjual barangan harga terkawal yang merupakan barang keperluan asas perayaan.

Menurutnya, peniaga digalakkan untuk menjual barang-barang tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

“Skim Kawalan Harga bagi musim perayaan dijangkakan bermula 1 Ogos ini selama dua minggu, di mana pada tempoh tersebut harga ayam dan juga beberapa barangan keperluan lain akan ditentukan kerajaan.

“Pada hari biasa (sekarang) harga ayam di pasaran tidak dikawal sebaliknya ditentukan oleh permintaan dan penawaran," katanya.

Menurutnya, sepanjang pemantauan harga yang dilakukan sebelum dan bermula puasa, tiada perbezaan yang ketara, sebaliknya merupakan trend harga apabila tiba musim perayaan.

 Sementara itu. berhubung dengan harga berbeza yang dikenakan oleh peniaga bermula RM8 hingga ada yang mencecah RM9, ia adalah bergantung pada lokasi dan bekalan dijamin mencukupi di pasaran.

Katanya, peniaga juga perlu meletakkan tanda harga, sekiranya tiada tanda harga dan harga lebih mahal daripada tanda harga, pihaknya boleh mengambil tindakan ke atas peniaga terlibat.