Halaman

14 July 2013

Kuih tradisional dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Puluhan kuih tradisional Terengganu seperti nekbat sira, onde-onde, puteri mandi, buah gomok, tepung pusu, asam gumpal, tepung pelita dan akok telur mendapat sambutan mengalakkan setiap kali menjelang Ramadan.

Tinjauan Teganukita di Bazar Ramadan Wakaf Tengah, Kuala Terengganu mendapati kebanyakan pembeli terutama warga emas tidak melepaskan peluang membeli kuih tradisional itu yang dijual antara RM0.40 hingga RM1.50 sekeping.

Peniaga bazar Ramadan, Rohayu Alias, 26, berkata setiap tahun beliau menjual kuih-muih pada bulan puasa dan antara kuih yang dijual termasuk kuih menganang telur yang diperbuat daripada tepung gandum dan telur.

"Kebiasaannya saya menjual kuih baulu, namun pada bulan puasa kuih menganang telur ini lebih mendapat sambutan dan mendapat permintaan yang tinggi. "Dalam sehari, saya boleh jual 300 biji menganang dengan harga sebiji RM2.50 malah saya boleh balik sebelum waktu berbuka kerana kuih sudah habis dijual," katanya.

Seorang lagi penjual kuih, Nur Ainun Wahab, 36, berkata selain kuih karipap, apam, dan seri muka, kuih tradisional seperti kuih ulat bulu turut laris dijual kerana keunikan dan keenakan rasanya.

Kuih ulat bulu diperbuat daripada campuran tepung pulut dan tepung pulut hitam manakala bentuknya seperti kuih onde-onde tetapi berbentuk seperti ulat bulu.

Beliau berkata kuih itu boleh didapati dalam pelbagai warna seperti hijau, hitam dan coklat malah terdapat juga inti kacang merah di dalam kuih itu. Selain kuih tempatan, terdapat juga kuih baru yang jarang ditemui seperti kuih tradisional dari Thailand iaitu kuih Locong.

 Menurut penjualnya, Ibrahim Abu Bakar, 42, beliau mendapat bekalan kuih itu daripada seorang temannya berasal dari Thailand yang sudah lama menetap di Terengganu dan menjualnya dengan harga RM1.50 sebungkus.

"Kuih ini diperbuat daripada debu sagu dan air gula di dalamnya terdapat buah kabung atau nangka. "Cara untuk memakannya ialah seperti cendol dengan berkuahkan santan. Makanan ini lebih sedap dimakan sejuk iaitu meletakkan ais bersama-sama santan sebelum dimakan," katanya.