Halaman

14 July 2013

Fasik jika ingkar keluar Zakat

Oleh; Esah Abdullah 

Orang yang enggan mengeluarkan zakat , sedangkan dia mengi’tiqadkannya wajib dan mengakui kefarduannya akan menjadi fasik, berdosa dan dikenakan azab seksa di akhirat kelak.

Seperti Firman Allah s.wt dalam Surah at-Taubah ayat 34-35, yang bermaksud ‘Dan ingatlah orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakan pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu pada hari dibakar emas perak dan harta benda itu dalam neraka Jahanam, lalu ia diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka sambil di katakan kepada mereka inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah azab dari apa yang kamu simpan itu’.

Menyingkap buku, ‘Potensi Zakat Baru Untuk Mengetas Kemiskinan’ ditulis oleh penceramah bebas, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi kesedaran kepada umat Islam tentang kewajipan membayar zakat.

“Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat, oleh itu ulama bersepakat menyatakan bahawa orang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad,” katanya.

 Menurutnya, membayar zakat mempunyai banyak hikmah dan faedah di mana amalan itu boleh membiasakan diri pengeluarnya bersifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban serta boleh membuang sifat kedekut dan lebih ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya.

“Allah juga menunjukkan cara untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada pemiliknya di samping ganjaran pahala yang besar kerana mengeluarkan harta semata-mata untuk keredhaanNya,” katanya.

Apabila ia dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesan yang menakjubkan kerana ia dapat membersihkan jiwa daripada hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah at-Taubah ayat 103, yang bermaksud ‘Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan menyucikan mereka dari akhlak yang buruk’.