Halaman

17 July 2013

Pasar Payang tetap menerima kunjungan walaupun ada bazar ramadan

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukor 
Gambar oleh: Farah Farina Mohmad Zali

Walaupun bazar ramadan dan pelbagai gerai juadah berbuka puasa tumbuh bak `cendawan’ di sekitar Kuala Terengganu, Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu tetap menerima kunjungan, termasuk mereka yang tinggal di luar Terengganu.

Peniaga buah, barangan basah, makanan tradisional di lokasi itu tetap menjalankan peniagaan seperti biasa, walaupun mengakui kurang mendapat sambutan pelanggan berbanding pada hari biasa dan cuti sekolah.

Seorang peniaga, Puan Hayati Mat Zin, 45, berkata dia bersyukur kerana masih memperoleh rezeki antara RM150 hingga RM200 sehari hasil jualan pelbagai jenis buah-buahan walaupun pelanggan agak kurang.

Katanya, pelanggan terutama orang luar tetap datang ke pasar payang, kerana ingin mendapat pelbagai produk Terengganu seperti batik, kain sutera, songket, dan makan tradisional.

“Sebagai peniaga, kita tidak boleh dijadikan alasan pelanggan kurang, mesti tutup gerai, rezeki itu ada di mana-mana, jika tiada pelanggan tempatan, pelancong asing tetap singgah ke sini“,” katanya.

Peniaga kuih-muih tradisional, Zaiton Muda, 58, berkata dia memilih pasar payang untuk menjual pelbagai juadah berbuka puasa kerana sudah serasi, selain mempunyai ramai pelanggan tetap.

Katanya, kebanyakan pelanggan yang datang ke sini akan singgah untuk membeli dua atau tiga jenis kuih yang dijual antara RM1 hingga RM5 sebungkus..

“Mereka mengakui gemar datang ke gerai makcik kerana pelbagai juadah ada, termasuk nekbat, nganang, lemang, jala Mas, rojak kateh, baulu, ketupat pulut, kuih bakar, dan tepung pelita,” katanya.