Halaman

16 July 2013

80 peratus pelajar ILP dapat kerja

Oleh; Esah Abdullah 

Kira-kira 80 peratus pelajar lepasan Institusi latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu terus mendapat peluang pekerjaan selepas sahaja tamat majlis konvokesyen mereka.

Pengarahnya, Encik Abdul Wahid Embong berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan graduan ILP laris dalam sektor perindustrian, terutama bagi kursus yang melibatkan teknologi elektrik, pemasangan paip dan gas, penyejukbekuan dan penghawa dingin.

“Manakala, 20 peratus lagi terus menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Suaikenal Sesi 2/2013 di ILP Kuala Terengganu di Kawasan Perindustrian Gong Badak, semalam.

Katanya, kajian juga mendapati 11 kursus yang ditawarkan adalah mengikut keperluan industri pada masa depan. Antaranya, teknologi elektrik, penjaga jentera elektrik, penyejukbekuan dan penyaman udara, komputer sistem, mekanik industri, pemesinan am, pemasangan paip dan gas, kursus binaan bangunan, binaan kayu, binaan paip dan sanitari dan diploma teknologi binaan

Menurutnya, bidang teknologi elektrik, pemasangan paip dan gas dan juga penyejukbekuan dan penyaman udara merupakan kursus paling diminati dengan tempoh belajar yang ditetapkan selama dua tahun tiga bulan adalah satu jangka masa yang lengkap untuk mereka mahir dalam bidang masing-masing.

Katanya, ILP Kuala Terengganu turut menjadi pilihan pelajar perempuan untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang kemahiran dan tahun ini pertambahan bilangan pelajar perempuan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas,

“Tetapi biasanya mereka lebih berminat dalam kursus komputer dan teknologi binaan yang mungkin lebih bersesuaian. Pada pandangan saya, pelajar perempuan juga boleh menceburi bidang kemahiran walaupun ia lebih dikuasai lelaki. ILP juga menetapkan peraturan sama dengan pelajar lelaki, lulus syarat akademik dan sihat fizikal.

Katanya, setiap tahun, ILP sasar kemasukan 120 hingga 200 pelajar pada setiap semester, sehingga kini, jumlah pelajar yang ada adalah lebih 600 orang, iaitu termasuk 120 pelajar bagi kemasukan Julai.