Halaman

17 July 2013

Pusat Islam UMT bakal beroperasi tahun depan

Oleh; Esah Abdullah

Pusat Islam Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berharga lebih RM15 juta bakal beroperasi sepenuhnya pada Mac tahun depan.

Ketua Pusat Islam UMT, Ustaz Riswadi Azmi berkata, bila pusat itu siap sepenuhnya tahun depan semua aktiviti berkaitan keislaman akan diadakan di pusat berkenaan.

 “Sebelum ini semua aktiviti berkenaan diadakan di Kompleks Siswa dengan keadaan ruang yang agak terhad,” katanya kepada pemberita pada Program Bicara Keluarga Sakinah di Dewan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT semalam.

Katanya, Pusat Islam yang boleh muat 3,000 jemaah pada satu-satu masa itu turut dilengkapi dewan seminar , kelas fardu ain, tabika Islam dan 10 lot kedai.

“Kita mahu ada pengumpulan aktiviti di situ dan berfungi sebagai pusat komuniti untuk kemudahan orang ramai termasuk mewujudkan sebuah kedai asnaf iaitu kedai makan yang murah dan boleh dikunjungi oleh semua golongan terutama pelajar miskin,” katanya.

“Insyaalah, pengurusan kedai ini dibuat melalui dana zakat yang kita ada dengan konsep membantu terutama golongan pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap lebih banyak aktiviti berbentuk keagamaan dapat dijalankan nanti berikutan lebih banyak kemudahan yang terdapat sekaligus dapat mengembangkan syiar Islam kalangan orang muda khususnya waga kampus.

Menurut Ustaz Riswadi, pembinaan pusat ini sebenarnya telah bermula sejak 2006 dengan kos asal RM15 juta namun ia tertangguh beberapa kali dan kini kerja-kerja penyiapan berada dalam proses akhir .