Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

14 July 2013

TH Hotel & Convention Centre Terengganu tawar promosi menarik sempena Ramadhan

Oleh: Noraini Jusoh

TH Hotel & Convention Centre Terengganu dibuka secara rasminya pada 10 Julai lalu bersamaan 1 Ramadhan 1434 Hijrah dan merupakan rangkaian terbaru bagi perkhidmatan hospitaliti yang ditawarkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengurus Besarnya, Malizan Zakaria (gambar) berkata, kini terdapat lima rangkaian TH Hotel iaitu di Bayan Lepas, Kelana Jaya, Kota Kinabalu, Alor Setar dan terbaru Terengganu.

"TH Hotel & Convention Centre Terengganu beroperasi berlandaskan pematuhan syariah bakal menampung jemaah terutamanya dari Pantai Timur pada musim haji setiap tahun dan turut terbuka kepada orang ramai.

"Terdapat 182 bilik yang terdiri daripada bilik superior, duluxe serta suite boleh dipilih dan lebih menarik terdapat kemudahan istimewa contohnya seperti kolam renang yang berasingan iaitu terbuka untuk lelaki dan tertutup bagi wanita disediakan untuk keselesaan tetamu hotel,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa Bersama 57 Anak-Anak Yatim Darul Hilmi, Teluk Ketapang dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Terengganu di hotel berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, sempena promosi pembukaan TH Hotel & Convention Centre Terengganu, pihaknya menawarkan harga bilik serendah RM180 beserta dua sahur atau dua sarapan kepada yang bukan Islam bagi dua bulan pertama ini.

"Tawaran ini amat bersesuaian dengan pembukaannya pada bulan Ramadhan dan bermula 1 September, harga sebilik akan bermula RM199 termasuk dua sarapan.

"Dengan keadaan bilik yang luas dan selesa harga yang dikenakan amat murah dan berbaloi ditambah kemudahan yang disediakan sememangnya mengutamakan kehendak pengunjung,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang bulan Ramadhan ini, pihaknya turut memperkenalkan promosi Bufet Ramadhan di Restoran Lagenda dengan menyediakan pelbagai hidangan menarik disamping hidangan istimewa iaitu BBQ Kibas sebagai kelainan yang ditampilkan TH Hotel.

"Bufet Ramadhan hanya berharga RM59 dimana RM1 akan didermakan kepada rumah anak-anak yatim.

"Bermula hari ini (14 Julai), pemberian bubur lambuk percuma akan dibuat di depan hotel sehingga ke hari terakhir Ramadhan bermula jam 4.30 petang setiap hari.

Jelas beliau, pihaknya bercadang untuk mengadakan majlis berbuka puasa dan pemberian bubur lambuk percuma sebagai tradisi untuk tahun-tahun yang akan datang.

Difahamkan kos hotel berkenaan berjumlah RM75 juta dan dibina di kawasan seluas 8 ekar dengan ketinggian enam tingkat dan dijangka siap sepenuhnya 30 Julai ini.