Halaman

17 July 2013

Bajet RM250 juta biaya projek dalam muara Sungai Kuala Besut

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Harish Fadzillah



Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM250 juta bagi membiayai projek mendalamkan muara Sungai Kuala Besut bagi kemudahan golongan nelayan dan pelancong untuk ke Pulau Perhentian.

Sewaktu mengumumkan projek berkenaan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, sebuah syarikat akan melakukan kajian awal yang memakan masa enam bulan bagi menyediakan pelan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Katanya, keadaan muara Sungai Kuala Besut yang cetek menimbulkan rungutan kepada nelayan untuk masuk ke muka kuala bagi memunggah hasil tangkapan dan pelancong yang menaki bot ke Pulau Perhentian.

“Sebelum ini, kerajaan sudah melakukan projek mendalamkan muara sungai ini, tetapi disebabkan ia dilakukan secara ‘ad-hoc’ masalah muara cetek berulang dan isu ini perlu diberi perhatian.

“Semalam Perdana Menteri (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak) telah bersetuju meluluskan projek ini dan pihak ICU menyediakan peruntukan awal RM500,000 bagi membiayai kajian awal untuk pelaksanaan projek ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Cadangan Membina & Menyiapkan Projek SMK Alor Peroi, petang ini.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri turut mengulas mengenai keterlanjuran calon Pas yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, yang mahu mengupah beberapa orang menjalankan tugas bagi pihaknya jika menang pilhan raya berkenaan.

“Saya melihat sendiri tayangan video berkenaan yang jelas menunjukkan sikap sebenar pemimpin Pas yang tidak mengambil berat kebajikan rakyat jika mereka menang pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah jika wakil rakyat berniaga, tetapi mereka perlu mendahulukan kepentingan rakyat di kawasan mereka wakili.

“Mungkin juga calon Pas tidak minat untuk bertanding, tetapi dia telah dipaksa oleh pemimpin Pas,” katanya.

Sebab itulah, katanya, kini pemimpin Pas terpaksa mengarahkan calon mereka supaya ‘menutup mulut’ berhubung isu tersebut supaya tembelang mereka tidak pecah dan dijadikan isu yang boleh merencatkan kempen mereka.


#prk kuala besut