Halaman

20 July 2013

Isteri Timbalan Perdana Menteri melawat balu Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar


Noraini (dua dari kiri) ketika berkunjung ke rumah Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar.

Oleh: Mohammad Ishak

Suasana hiba menyelubungi kediaman Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar apabila isteri Timbalan Perdana Menteri,Puan Sri Noraini Abd Rahman menziarah balunya, Azizah M Omar,53, di Kuala Besut, hari ini.

Kunjungan hormat Noraini yang ditemani isteri Menteri Pendidikan II, Toh Puan Sri Che Kamariah Zakaria, yang tiba kira-kira jam 4.30 petang.

Sempena kunjungan isteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, majlis baca yassin dan doa selamat turut diadakan di kediaman Allahyarham.

Kira-kira 50 ahli Wanita UMNO Bahagian Besut yang menghadiri majlis itu menyertai majlis bacaan yassin. Kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri itu sedikit sebanyak mengubati perasaan hiba Azizah yang kehilangan suaminya Dr A Rahman yang meninggal dunia 26 Jun lalu di Hospital Sultanah Nur Zahiran (HSNZ), Kuala Terengganu akibat komplikasi paru-paru.

Dr A Rahman ADUN Kuala Besut yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, meninggalkan seorang balu dan empat anak tiga lelaki dan seorang perempuan. Balu Allahyarham,

Azizah atau lebih dikenali dengan panggilan “Kat Zah” tetap tabah dan bersemangat ketika dikunjungi rombongan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri turut melawat keluarga Allahyarham.