Halaman

17 August 2013

SEKITAR RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MENTERI BESAR

Kira-kira 40,000 pengunjung menyerbu Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Teluk Kalong, Kemaman, bermula jam 10 pagi hingga 3 petang. Jurufoto Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Zulkipli Putra merakam suasana serta kemeriahan rumah terbuka berkenaan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said meletakkan kuah mee sup kepada para hadirin.

Isteri MB, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud mengagihkan satey kepada tetamu.









Masyarakat perlu hargai pejuang kemerdekaan negara


YB Muhamad Pehimi bersalaman dengan Abdullah Mat Din

Oleh: Mohammad Ishak 

Rakyat negeri ini diajak menghargai jasa dan sumbangan pejuang yang berjaya membebaskan negara daripada penjajah kerana merekalah yang membawa kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat yang dinikmat oleh Malaysia sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Muhamad Pehimi Yusof berkata, tanpa pembabitan pejuang terdahulu yang sanggup mengadai harta dan nyawa untuk membebaskan negara sudah tentu generasi sekarang tidak akan menikmat apa yang ada pada masa kini.

Katanya, sumbangan pejuang terdahulu sememangnya banyak membantu kerajaan untuk membentu Malaysia yang kni sudah mencapai kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Usaha yang dilakukan oleh kominiti setempat mengangkat pejuang terdahulu yang masih hidup patut dihargai dan dicontohi pihak lain,” katanya ketika menyampaikan anugerah khas kepada tiga pejuang dari Kampung Gong Gucil, dekat Jertih, hari ini.

Tiga beradik dari kampung itu yang sama-sama berjuang memerdekan negara menerima anugerah khas terbabit ialah Abdullah Mat Din, 74, Mat Ali Mat Din, 70 dan Halimah Mat Din, 73.

Majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gong Gucil, itu mendapat pujian Muhamad Pehimi kerana satu-satunya Badan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah Besut yang mewujudkan anugerah untuk pejuang.,

Majlis sempenaa sambutan Aidilfitri itu bertujuan menghargai jasa dan sumbangan pejuang terbabit selain merapatkan hubungan komuniti dengan pemimpin.

Pengerusi JKKK kampung itu, Zahari Mat Din, berkata pihaknya bangga kerana berjaya mengadakan program seumpama itu bagi menghargai warga emas yang sebelum ini amat berjasa kepada masyarakat.

Amal budaya hormat di jalan raya- JKJR

Oleh; Esah Abdullah 

Semua pemandu kenderaan diminta mengamalkan budaya hormat serta beri keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal semasa di jalan raya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Terengganu (JKJR) Terengganu, Encik Ahmad Firdaus Haron berkata, sikap saling menghormati di jalan raya perlu disemai di hati semua pemandu kenderaan agar kemalangan membabitkan golongan itu dapat diatasi.

Menurutnya, pejalan kaki dan penunggang basikal lebih terdedah kepada bahaya kerana mereka tidak mempunyai sebarang alat perlindungan bagi melindungi mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan.

“Kita menyarankan kepada para pemandu kenderaan menjadikan satu budaya semasa memandu dengan sentiasa menghormati serta memberikan keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal.

“Pejalan kaki itu sendiri juga diingatkan supaya dapat menggunakan lintasan pejalan kaki, lintasan berlampu isyarat dan juga jejantas yang telah disediakan demi keselamatan yang lebih terjamin,” katanya.

Menurutnya, pejalan kaki terlibat dalam kemalangan di lokasi yang bukan dikhaskan untuk pejalan kaki, mereka bukan sahaja tidak dilindungi oleh undang-undang tetapi turut tidak layak untuk menuntut sebarang pampasan insurans.

Selain itu katanya, terdapat 10 langkah keselamatan bagi mengurangkan berlakunya kadar kemalangan antaranya termasuklah memberi keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal.

 “Sentiasa merancang perjalanan, ikut had laju yang ditentukan, mematuhi garis panduan semasa memotong dan juga berhenti apabila lampu isyarat merah.

 “ Elakkan daripada mengekori kenderaan lain, periksa cermin dan beri isyarat sebelum melakukan pertukaran lorong, ikut lorong yang betul, tidak memotong barisan, tidak mencelah diantara kenderaan lain dan juga sentiasa sabar ketika memandu,” katanya.
 

TDM Berhad sasar buka empat kilang

Syarikat perladangan tempatan, TDM Berhad, menyasarkan untuk membina empat kilang memproses kelapa sawit di Kalimantan, Indonesia tidak lama lagi.

 Pengerusinya Datuk Roslan Awang Chik berkata sasaran itu dibuat berdasarkan pencapaian baik TDM sejak beroperasi dalam sektor perladangan kelapa sawit di negara tersebut sepanjang tiga tahun lepas, membabitkan kawasan seluas 11,035 hektar.

 Katanya buat permulaan, syarikat itu akan membina kilang bernilai kira-kira RM80 juta di ladang sawit berkenaan untuk aktiviti pemprosesan. "Kita sudah mengeluarkan tender kepada kontraktor bagi membina kilang yang mampu memproses 60 tan kelapa sawit sejam, di Nanga Pinoh, Kalimantan.

"Bagi setiap 10,000 hektar, kita akan mempunyai sebuah kilang memproses kelapa sawit, dan dalam tempoh tiga tahun, kita jangka akan ada kilang kedua selepas kesemua 20,000 hektar tanaman sawit mengeluarkan hasil," katanya ketika ditemui di sini.

 Menurutnya jika tiada masalah, pembinaan kilang oleh syarikat dari Malaysia itu dapat dimulakan bulan depan, dan dijangka siap dalam tempoh 16 bulan. Roslan berkata pengeluaran hasil di peringkat awal ini kurang baik, dengan hasil sekitar 50 hingga 80 tan sahaja sebulan, namun untuk jangka masa panjang pihaknya menyasarkan untuk mengeluarkan 25 tan sawit bagi setiap hektar.

 Menerusi fasa pertama, TDM sudah membeli tanah seluas 20,000 hektar dan sudah menanam komoditi itu secara berperingkat-peringkat, dan sehingga hujung tahun ini proses menanam di tanah seluas 15,000 hektar dijangka selesai manakala selebihnya akan ditanam secara berperingkat-peringkat selepas itu.

 Katanya secara keseluruhan syarikat merancang memiliki ladang seluas 40,000 hektar sehingga 2018, membabitkan pelaburan berjumlah RM1 bilion.

 Sementara itu, TDM juga berusaha menanam sawit tiga kali ganda daripada jumlah sekarang berikutan tanah yang subur dan iklim yang kondusif di kawasan itu.

 Sebelum ini, operasi TDM Berhad di Kalimantan, Indonesia mendapat pujian Menteri Besar ketika melakukan lawatan kerja ke lokasi itu pada 29 Jun.

 Dalam pada itu, Roslan berkata syarikat itu juga mendapat tawaran untuk membuka ladang di kawasan lain di Indonesia. Beliau bagaimanapun berkata setakat ini TDM hanya mahu memberi tumpuan ke atas projek di Nanga Pinoh.

 "Kita mahu memastikan projek ini berjaya sebelum meluaskan segmen perniagaan ke kawasan lain," katanya.

 

16 August 2013

Kekal ikatan silatulrahim dalam komuniti

Oleh; Esah Abdullah

Semua anggota masyarakat perlu saling menyokong antara satu sama lain agar ikatan silatulrahim sentiasa kekal berpanjangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Batu Rakit YB Haji Bazlan Abdul Rahman berkata, hidup bermasyarakat ibarat aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.

“Hubungan erat antara jiran tetangga disertai dengan sifat kasih sayang mampu mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan ia dituntut dalam agama,” katanya di majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada penduduk Kampung Bukit Wan, Batu Rakit baru-baru ini.

Katanya, kekalkan semangat kerjasama dalam komuniti dengan mengatur pelbagai aktiviti yang menjurus kepada kesepakatan dan perpaduan masyarakat.

“Selaku wakil rakyat , saya sentiasa menyokong usaha yang dijalankan di peringkat kampung serta sedia membantu apa saja yang diperlukan,” katanya.

Dalam majlis berkenaan seramai 128 keluarga telah menerima sumbangan barangan keperluan harian berupa beras, gula, tepung, susu, milo serta jus bagi membantu penduduk kampung membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
 

TATiUC pelawa pelajar mohon ijazah sarjana muda

Oleh: Suriati Ali 

Kolej Universiti Tati (TATiUC) mempelawa mana-mana pelajar lepasan diploma, matrikulasi atau setaraf dengannya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di kolej itu.

 Antara program yang ditawarkan, teknologi pembuatan, Tenologi Mekatronik & Eletronik Instrument, Teknologi Robotik Automasi, Teknologi Kejuruteraan Kimia & Polimer serta Teknologi Media & Komputer.

Syarat-syarat kemasukan dan permohonan boleh merujuk di laman web www.tatiuc.edu.my atau di kaunter Jabatan Komunikasi Korporat, Promosi dan Hubungan Luar Tatiuc.

 Rektor TATiUC, Dr Junaidi Ibrahim, semua program yang ditawarkan berdasarkan permintaan industri dan syarikat ternama di luar negara. TATiUC yang ditubuhkan dalam usaha menangani masalah keperluan tenaga mahir di Malaysia terutama di Terengganu.

 “Penubuhan TATiUC merupakan sebuah institusi yang mampu menghasilkan tenaga kerja yang mahir dengan kemahiran tinggi dan keupayaan serta menguasai pengetahuan yang berkaitan teknologi perlu diwujudkan bagi menyokong poertumbuhan sektor industri negara,” katanya.

 Selain itu, beliau berkata TATiUC akan terus memacu perubahan dan menjana keperluan untuk meletakkannya sebaris dengan universiti ternama dunia dan merealisasikan hasrat sebagai universiti penuh menjelang 2015.

 Pesta Konvo turut diadakan sempena majlis konvokesyen TATIUC selama tiga hari iaitu bermula 20 September ini.

 Pelbagai acara menarik telah disusun sepanjang pesta ini, antara konsert perdana, forum perdana, kejohanan futsal, senamrobik, gerai pameran, gerai jualan, pertandingan mewarna, kayuhan mesra dan tayangan amal.

 

15 August 2013

Pegawai Khas ADUN Jertih dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Terengganu dijangka bertanding Ketua Pemuda Besut


Azizul Jasmi...                                    Zahari Mat..

Oleh: Mohammad Ishak 

Bahan pemilihan kepemimpinan Pemuda Umno Bahagian Besut mula dirasai apabila dua tokoh dikalangan pemuda bahagian itu masing-masing sudah menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu Oktober ini.

Dua tokoh terbabit ialah, Azizul Jasmi Mohamad,38, dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih dan Zahari Mat,31. dari DUN Hulu Besut yang bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu. 

Pertandingan jawatan Ketua Pemuda Besut sudah pasti akan berlaku kerana penyandanya, Mohd Mahdi Musa yang kini selaku ADUN Kota Putera, akan melepaskan jawatan itu kerana cukup umur.

Azizul berlelulusan BA Syariah Universiti Malaya (UM) antara tokoh pemuda yang disebut-sebut sebagai bakal pengganti Mahdi kerana beliau dianggap mampu memimpin pergerakan itu masa kini.

Beliau yang juga Pegawai Khas kepada ADUN Jertih,Muhamad Pehimi Yusof memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian selama tinggal penggal berturut-turut sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan berkenaan selepas Mahdi melepaskan jawatan iaitu.

Selain aktif dalam pergerakan pemuda Azizul dilihat calon berpotrensi menggantikan Mahdi kerana beliau juga aktif dalam belia dan menyandang jawatan Pengerusi Majlis Belia Daerah Besut.(MBDB).

Manakala Zahari, yang kini Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu, turut, menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut pada pemilihan parti itu, Oktober ini.
Zahari, anak kelahiran Kampung Lubuk Kawah, Hulu Besut, seorang lagi tokoh muda berkalibar kerana mempunyai hubungan rapat dengan belia dan pelajar yang diharap dapat memimpin pergerakan itu. Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), berkata, keputusannya itu bagi memperbaharui keupayaan kepimpinan agar lebih matang, pro aktif dan bersifat terbuka.

 “Harapan saya mahu menawan hati orang muda bersama UMNO khususnya pengundi luar dan para pelajar di universiti serta institusi pengajian tinggi lain,” Katanya.

Zahari yang juga bekas pemimpin pelajar di Unimas sekitar tahun 2003 hingga 2004 sehingga mendapat Anugerah Sri Kenyalang Unimas.

Selain itu, beliau juga memegang jawatan Yang Dipertua Gagasan Daerah Kuala Terengganu dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai di Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di Besut.

Rumah terbuka sempena ‘hari raya enam’

Oleh: Noraini Jusoh

Ramai yang memilih tarikh 8 Syawal atau lebih dikenali dengan ‘hari raya enam’ di Terengganu untuk mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri termasuk beberapa pemimpin negeri.

Antaranya Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A. Latif Awang; Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, YB Mohd Iskandar Jaafar memilih untuk mengadakan rumah terbuka pada hari ini.

Tinjauan Teganukita mendapati rumah terbuka yang dianjurkan Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri di kediamannya cukup meriah dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum.

Majlis bermula jam 10.30 pagi itu ternyata mendapat sambutan bukan sahaja masyarakat Melayu malah kaum Cina juga bersama-sama meraikan hari bersejarah umat Islam ini.

Dato’ Mohd Nasir bersama isteri Toh Puan Sabariah Muhammad Yusof turut mengambil kesempatan tersebut untuk beramah mesra dengan tetamu yang hadir sambil menyampaikan sumbangan raya kepada kanak-kanak.

Orang ramai disajikan dengan pelbagai juadah popular Terengganu antaranya nasi dagang, nasi minyak, sate, ketupat, tapai, nasi himpit, air cendol dan pelbagai lagi.

Selain menjadi medan merapatkan hubungan, majlis sebegini sangat bermakna kerana dapat mempertemukan pemimpin dengan masyarakat setempat dalam suasana yang lebih santai dan mengeratkan silaturahim sekali gus menunjukkan sokongan padu penduduk terhadap setiap program anjuran pemimpin mereka.

 

PLBT pertaruh enam pelumba

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) mempertaruhkan enam pelumba pelapis bagi menggalas cabaran pada kejohanan Tour De Borneo, Sabah selama lima hari bermula Ahad ini.

 Mereka ialah Mohd Khairul Azizi Abdullah, Mohd Fahmi Irfan Zailani, Mohd Syairazi Fuad, Mohd Iskandar Fitri Mod Sabti, Asmuai Ali dan Mohd Nor Irfan Norin.

Ketua Jurulatih PLBT, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata walaupun pelumba yang diketengahkan itu masih muda berumur antara 15 hingga 18 tahun, namun mereka mempunyai bakat yang besar dan dapat melakukan yang terbaik sepanjang kejohanan itu

 "Kejohanan itu merupakan latihan pemanas badan sebelum mereka menyertai beberapa kejohanan lebih besar termasuk di Indonesia pada pertengahan bulan September," katanya

.

Ketua Puteri tujuh bahagian akan bertukar tangan

Oleh; Esah Abdullah 

Tujuh daripada lapan Ketua Pergerakan Puteri Umno bahagian di negeri ini bakal bertukar tangan dalam pemililihan jawatankuasa parti yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 12 Oktober depan.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Perhubungan Terengganu, Puan Nordiana Shafie berkata, perkara ini tidak boleh dielak kerana kesemua tujuh ketua puteri sedia ada sudah melebihi umur.

“ Rata-rata penyandang sekarang memegang jawatan ketua sejak mula ditubuhkan pada tahun 2000,” katanya kepada Teganukita hari ini.

Katanya, hanya Ketua Puteri Kemaman iaitu Puan Asfalinda Anuar masih dalam lingkungan usia puteri manakala Ketua Puteri Besut, Che Senah Che Sulaiman; Setiu, Puan Rosnari Awang Ngah; Kuala Nerus, Puan Aida Azam; Marang, Puan Marina Endut; Hulu Terengganu Puan Zarina Abdul Rahman dan Dungun, Puan Aziahwati Abdullah sudah berusia melebihi 35 tahun.

Oleh kerana pemilihan semua jawatan dalam parti tahun ini dibuat secara terbuka, beliau mengingatkan perwakilan Puteri agar dapat memilih pemimpin yang berkaliber , berilmu serta komited terhadap tanggung jawab yang diamanahkan.

Katanya, beliau tidak dapat meramalkan calon tertentu samaada dari kalangan jawatankuasa atau dari ahli biasa bakal menerajui pergerakan itu di peringkat bahagian sebaliknya akan menunggu proses pendaftaran calon yang berakhir pada bulan depan.

“Syarat bertanding semua jawatan dalam parti ialah mereka yang telah menjadi sekurang-kurangnya tiga tahun dan ini memberi peluang lebih luas kepada ahli parti merebut mana-mana jawatan dalam parti,” katanya yang juga Ketua Puteri Bahagian Kuala Terengganu..

Puan Nordiana seterusnya mengalu-alukan penyertaan ahli Puteri untuk menduduki mana-mana jawatan dalam parti asalkan ia dibuat secara profesional untuk mengukuhkan kedudukan parti serta membela nasib orang Melayu.