Halaman

05 September 2013

Golongan imam perlu manfaat jalur lebar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyarankan supaya golongan imam memanfaatkan kemudahan jalur lebar yang disediakan kerajaan bagi mengakses lebih banyak maklumat berkaitan agama untuk disampaikan kepada jemaah masing-masing.

Timbalannya, Datuk Jailani Johari berkata , kerajaan sudah menyediakan pelbagai program termasuk Kampung Tanpa Wayar yang membolehkan rakyat mengakses internet dengan mudah secara percuma.

"Saya menggalakkan golongan imam dan bilal gunakanlah kemudahan yang disediakan di sekitar kawasan masing-masing untuk memperkasakan ilmu dengan cara berkongsi pengetahuan dengan ahli agama bukan saja dalam negara malah luar negeri untuk memperkasakan ilmu masing-masing.

 "Dunia tanpa sempadan hari ini membolehkan kita meningkatkan ilmu agama bukan saja dengan pembacaan tetapi melalui perkongsian dan pertukaran maklumat daripada internet juga,"katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Jati Diri Imam dan Bilal di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Seramai 200 peserta menghadiri kursus separuh hari itu bertujuan memperkasakan ilmu agama di kalangan imam dan bilal yang menjadi pemimpin masjid serta masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Datuk Jailani berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan penyebaran ajaran Syiah melalui laman sosial atau laman sesawang di negara ini.
"Kementerian hanya akan membuat pemantaun terhadap sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti agama atau masyarakat jika terdapat permohonan daripada mana-mana pihak seperti permohonan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini berhubung kes menghina agama Islam oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee.

"Dalam hal ajaran Syiah ini JAKIM lebih pakar dan kita bersedia membantu jika terdapat permohonan daripada pihak mereka,” katanya.


Sedia 20 lori kompaktor bernilai RM3 juta tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menambah 20 unit lori kompaktor pengangkut sampah dalam usaha meningkatkan kebersihan dan keindahan persekitaran khususnya kawasan tumpuan ramai di seluruh Terengganu, pada tahun depan.

Peruntukan keseluruhan bagi menyediakan setiap lori berharga RM295,000 itu melibatkan hampir RM3 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya berhasrat untuk memastikan negeri ini mempunyai lori kompaktor pengangkut sampah yang mencukupi dan tidak menimbulkan masalah kelambatan sehingga menjejaskan keselesaan orang ramai.

“Kita perlu menambah lori baru pada tahun depan kerana masalah lori rosak dan sudah uzur. Jadi tahun depan kita akan tambah 20 unit lagi untuk dibekalkan kepada semua PBT, dengan harapan mampu melakukan kerja pembersihan dengan lancar,” katanya.

Selain itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, setiap daerah mempunyai kawasan pelupusan sampah masing-masing, bagaimanapun PBT masih berdepan dengan cara pelupusan sampah yang tidak sempurna.

“Bagaimanapun, kita akan memastikan setiap PBT mempunyai kawasan pelupusan sampah yang sempurna dan memenuhi piawaian,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya membantu PBT dalam aspek menjaga kebersihatan persekitaran berikutan kerajaan menyediakan kos sehingga RM60 juta setahun bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan termasuk memungut sampah, mencuci jalan dan membersih longkang di seluruh daerah.

Katanya, ada segelintir penduduk dengan sewenang-wenang membuang sisa bahan binaan rumah masing-masing di kawasan lapang termasuk tanah kerajaan, sedangkan mereka perlu membuangnya di kawasan pelupusan sampah yang disediakan PBT berhampiran tempat tinggal mereka.

“Ini satu lagi sikap yang tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat di negeri ini yang harus diubah bagi memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan seluruh Terengganu bersih dan indah tercapai,” katanya.


Gangguan bekalan air di 22 kawasan

Oleh: Suriati Ali

 Syarikat Air Terengganu (Satu) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air akan berlaku membabitkan 22 kawasan di Marang pada 11 September ini.

 Gangguan itu berlaku disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan sistem pam di Loji Air Rawatan Kepong 2 bagi meningkatkan kecekapan bekalan air.

 Kerja-kerja itu akan akan menyebabkan bekalan air ke tangki perkhidmatan Satu di Bukit Kor, Marang akan diberhentikan penyalurannya buat sementara waktu bagi memberi laluan kerja-kerja penyelanggaraan ini.

 Ini menyebabkan gangguan bekalan air di mana kawasan-kawasn tertentu akan mnerima tekanan air yang rendah dan sebahagian lagi akan terputus bekalan.

Antara kawasan yang terlibat dalam tempoh gangguan bermula jam 4 petang hinggan 12 tengah malam, pada tarikh itu adalah, Taman Medan Jaya; Kampung (Kg) Rusila; Kg Kijing, Kg Bukit Mawi; Bandar Marang; Kg Seberang Marang dan Kg Gong Chempedak.

 Lokasi lain, Kg Bantangan; Kg Bukit Gasing; Kg Rhu Muda; Penjara Marang; Kg Bukit Kecil; Merchang; Kg Serating; Kg Gong Beris; Kg Alor Ketitir; Kg Alur Tuman; Felda Rantau Abang; Kg Undang dan Jalan Bukit Kor

 Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Husain Embong, berkata kira-kira 20,000 akaun pengguna Satu akan mengalami gangguan bekalan air terutama pada waktu puncak sepanjang kerja-kerja pengubahsuaian itu dijalankan.

 Pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi sebelum gangguan bekalan air berlaku pada tarikh tersebut.

 

Pandu Puteri rai 60 pelajar yatim sempena majlis hari raya

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 60 orang pelajar yatim dan miskin akan diraikan dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPCT) yang akan diadakan di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu esok (Jumaat).

Yang Dipertua PPPMCT, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail berkata, pelajar yatim dan miskin ini didatangkan dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.

“Mereka yang terpilih untuk menerima ‘duit raya’ ini merupakan anak yatim dan miskin dari kalangan ahli PPPMCT mewakili 15 buah sekolah rendah dan menengah,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, program ini merupakan aktiviti tahunan PPPMCT dimana setiap tahun akan meraikan golongan sasar yang berlainan dan majlis juga diadakan mengikut giliran daerah.

Katanya, dalam program yang sama tahun lalu PPMCT telah meraikan 50 orang warga emas dari daerah Kemaman dan majlis diadakan di Awana Kijal.
 

YB Encik Ghazali bin Taib (EXCO) untuk merasmikan program Bicara Tokoh di Dewan Sultan Mizan, Univeristi Malaysia Terengganu












Penuntut di IPT elak jadi pemusnah kepada bangsa sendiri

Oleh; Esah Abdullah

Penuntut di Instituti Pengajian Tinggi (IPT) negara diminta menjadi penyebar maklumat kerajaan kepada masyarakat dan bukannya bertindak sebagai pemusnah kepada negara dan bangsa sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, YB Haji Bazlan Abdul Rahman berkata, mahasiswa perlu merebut peluang menimba ilmu sepanjang berada di IPT sebagai persiapan diri menghadapi dunia pekerjaan apabila tamat belajar.

“Semasa di IPT beri tumpuan terhadap pelajaran dan jangan sekali-kali melibatkan diri dalam agenda lain yang boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya ketika merasmikan Program Mahabbah In Terengganu 2013 (MIT ’13) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

 
Hadir sama, Penghulu Mukim Bukit Cempaka /Maras, Encik Khairul Anuar Hashim; Pengarah MIT ’13 Muhammad Hafiz Jailani dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail.

 Katanya, peserta MIT tidak harus mensia-siakan peluang bersama penduduk kampung untuk menyelami kehidupan masyarakat serta memahami adat resam yang mungkin tidak terdapat di daerah lain.

“Sebagai orang yang terpelajar, penuntut perlu tahu menilai yang mana kaca dan mana permata serta sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang banyak berjasa kepada bangsa dan negara,” katanya.

Program enam hari yang berakhir Sabtu ini (7 September) disertai 64 orang ( 37 wanita dan 27 lelaki) penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor itu tinggal bersama keluarga angkat masing-masing.

Pelbagai program diatur sepanjang berkampung di kampung berkenaan termasuklah lawatan ke rumah warga emas, sukaneka,  mendaki, motivasi, ruang bicara bersama pemimpin, pengurusan jenazah, kenduri sekampung dan malam kebudayaan.

 

Lata Belatan tetap dikunjungi ramai walaupun dikenakan bayaran.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


PUSAT perkelahan Lata Belatan yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jabi tetap dikunjungi ramai walaupun caj bayaran di kenakan ke atas pengunjung yang datang ke tempat itu sebanyak RM2 untuk dewasa dan RM1 kanak-kanak. 

Tinjauan Teganukita ke pusat itu, baru-baru ini mendapati rata-rata pengunjung tidak merungut dengan bayaran sejak awal tahun itu kerana ia berpatutan sebagai kos untuk menguruskan kawasan itu supaya sentiasa kelihatan bersih dan terpelihara.

Seorang pengunjung Hashim Mat, 40-an berkata, pada mulanya ia menjangkakan jumlah pengunjung ke tempat itu akan berkurangan kerana bayaran yang dikenakan untuk memasuki pusat perkelahan itu dianggap membebankan tetapi ia adalah sebaliknya kerana orang ramai tetap memenuhi Lata Belatan terutama pada Jumaat dan Sabtu.

“Jumlah pengunjung yang datang tidak Nampak berkurang malah adakalanya ia semakin ramai terutamanya pada hari Jumaat dan Sabtu. Caj yang dikenakan itu agak wajar kerana ia tidaklah mahal berbanding kos untuk menjaga selia pusat itu supaya ia kelihatan sentiasa bersih dan cantik,” katanya.

Kemudahan gerai di Lata Belatan.
Balqis Amar, 20, pula menyifatkan sejak bayaran dikenakan, Lata Belatan kelihatan bertambah bersih dan ceria malah pelbagai kemudahan yang ada diselia dengan baik menjadikan tempat itu sebuah pusat itu antara yang tercantik di Terengganu.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, berkata Lata Belatan akan terus dipromosikan supaya pusat perkelahan itu dikenali bukan sahaja penduduk di Terengganu malah akan dikunjungi oleh pelancong luar.

Pemandangan Indah Lata Belatan-(gambar ehsan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.)

04 September 2013

50 kenderaan sertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang


ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan CK Rahman..melepaskan peserta konvoi

Oleh: Mohammad Ishak 

Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu bermula di daerah Besut apabila 50 kenderaan membawa Jalur Gemilang merentasi beberapa kampung sekitar daerah itu hari ini.

Majlis pelancaran program yang diadakan dalam suasana dan mood hari raya yang berlangsung di Kampung Bukit Payong,Hulu Besut, menyaksikan penyertaan penduduk pelbagai peringkat termasuk pelajar dan kanak-kanak tadika di daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, diberi penghormatan melakukan upacara pelepasan konvoi kenderaan termasuk 30 motosikal yang ditunggang pemuda.

Sejurus berlepas kenderaan terbabit melalui laluan utama Jertih-Keruak menuju ke Bandar Jertih dan singgah di Dataran Jertih Souq untuk mengagihan jalur gemilang kepada pemilik premis perniagaan di perhentian bas.

Peserta konvoi kemudian menyusuri jalan utama Jertih-Kuala Terengganu dan singgah di Pekan Jabi yang kemudian mengagihkan jalur gemilang kepada penduduk setempat.

ADUN Jabi,Mohd Iskandar Jaafar kemudian menyambut konvoi terbabit di Kampung Anak Ikan, sempadan Besut/Setiu sebelum peserta meneruskan perjalananan ke daerah Setiu.

Peserta kemudian meneruskan konvoi menuju ke Hulu Terengganu. Pada 5 September konvoi bermula di perhentian kereta sewa Kemaman untuk meneruskan perjalanan ke Dungun dan Marang.

Manakala penutup program peserta konvoi akan berlangsung di Tapak Pasar Pagi, Kampung Telok Ketapang,Kuala Terengganu.

20 pelajar UniSZA selami kehidupan masyarakat di Aceh

Oleh; Esah Abdullah 

Seramai 20 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengadakan Program Warga Sihat Masyarakat Sejahtera Meulaboh, Aceh Barat, Indonesia selama seminggu bermula 30 Ogos dan berakhir esok.

Program anjuran Pusat Pembangunan Komuniti dan Kualiti Hidup itu melibatkan pelajar jurusan Perubatan dan Sains Kesihatan itu dalam usaha memberikan khidmat komuniti kepada masyarakat di Acheh.

Pengarah Program, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, semua pelajar yang terlibat akan ditempatkan dengan keluarga angkat untuk memberi peluang kepada mereka mengenali lebih dekat penduduk di situ.

Katanya, antara program yang akan dilaksanakan di negara jiran itu ialah lawatan ke Rumah Sakit Umum Cut Nyak Dhien Meulaboh dan mengadakan Program Warga Sihat di kampung berkenaan.

 ``Melalaui Program Warga Sihat itu pelagai aktiviti akan dilaksanakan termasuk pemeriksaan kesihatan seperti tekanan daerah, kandungan gula dalam darah, body mass index dan kaunseling pemakananan,'' ujarnya.

Serentak dengan kunjungan itu juga, UniSZA akan turut menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Fakultas Kesihatan Masyarakat, Universiti Teuku Umar, Bandar Acheh.

Rombongan yang diketuai oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Madya Dr. Yahaya Ibrahim turut mengadakan lawatan ke Sekolah Tinggi Agama Islam Meulaoh dan Universitas Syiah Kuala Bandar Acheh.

Terengganu sedia RM17.3 juta untuk pelajar

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri telah membelanjakan RM17.3 juta bagi bantuan persediaan pembelajaran yang membabitkan 22,851 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke asrama penuh serta pengajian peringkat sijil, matrikulasi, diploma dan ijazah, sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu Haji Razali Mahmud, berkata jumlah itu termasuk pembiayaan bagi pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah dalam dan luar negara.

 Katanya, daripada jumlah itu 8,836 pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dengan peruntukan RM8.7 juta dan peringkat diploma (6,876 orang) membabitkan kos RM5.6 juta.

“Terdapat 2,966 pelajar mengikuti matrikulasi dengan kos RM1.5 juta, sijil (1,865 orang) RM816 ribu dan Sekolah Berasrama Penuh pula seramai 2,269 orang membabitkan perbelanjaan RM1.2 juta,” kepada Teganukita .

 Beliau berkata, setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam negeri menerima RM1,000 (RM1,300 Sabah/Sarawak) diploma (RM750) dan matrikulasi, sijil dan SBP (RM500) manakala ijazah di luar negara mengikut kos pengajian yang mereka ambil.

 “Sejak bantuan ini diperkenalkan pada 2006 kerajaan telah membelanjakan RM105.6 juta membabitkan 145,079 pelajar anak tempatan,” katanya.

 Katanya, seramai 21,880 pelajar terima bantuan itu pada 2006 membabitkan peruntukan RM15.5 juta; 22,513 orang (2007) RM15.8 juta; 22,813 orang (2008) RM16.1 juta; 26,205 orang (2009) RM19.7 juta; 26,801 orang (2010) RM20 juta; dan 24,867 orang (2011) RM18.4 juta dan 22,851 orang dengan peruntukan 17.3 juta bagi tahu lalu.

 “Kerajaan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat khusus untuk melanjutkan pelajar ke mana-mana IPT dan sedia mengeluarkan berapa banyak belanja pun asalkan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.