Halaman

05 September 2013

Sedia 20 lori kompaktor bernilai RM3 juta tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menambah 20 unit lori kompaktor pengangkut sampah dalam usaha meningkatkan kebersihan dan keindahan persekitaran khususnya kawasan tumpuan ramai di seluruh Terengganu, pada tahun depan.

Peruntukan keseluruhan bagi menyediakan setiap lori berharga RM295,000 itu melibatkan hampir RM3 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya berhasrat untuk memastikan negeri ini mempunyai lori kompaktor pengangkut sampah yang mencukupi dan tidak menimbulkan masalah kelambatan sehingga menjejaskan keselesaan orang ramai.

“Kita perlu menambah lori baru pada tahun depan kerana masalah lori rosak dan sudah uzur. Jadi tahun depan kita akan tambah 20 unit lagi untuk dibekalkan kepada semua PBT, dengan harapan mampu melakukan kerja pembersihan dengan lancar,” katanya.

Selain itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, setiap daerah mempunyai kawasan pelupusan sampah masing-masing, bagaimanapun PBT masih berdepan dengan cara pelupusan sampah yang tidak sempurna.

“Bagaimanapun, kita akan memastikan setiap PBT mempunyai kawasan pelupusan sampah yang sempurna dan memenuhi piawaian,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya membantu PBT dalam aspek menjaga kebersihatan persekitaran berikutan kerajaan menyediakan kos sehingga RM60 juta setahun bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan termasuk memungut sampah, mencuci jalan dan membersih longkang di seluruh daerah.

Katanya, ada segelintir penduduk dengan sewenang-wenang membuang sisa bahan binaan rumah masing-masing di kawasan lapang termasuk tanah kerajaan, sedangkan mereka perlu membuangnya di kawasan pelupusan sampah yang disediakan PBT berhampiran tempat tinggal mereka.

“Ini satu lagi sikap yang tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat di negeri ini yang harus diubah bagi memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan seluruh Terengganu bersih dan indah tercapai,” katanya.