Halaman

02 September 2013

KEJAYAAN PENTERNAK MUDA

Yusrizal sedang memberi makan beberapa ekor kambingnya.
.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

SETIU: Minat mendalam seorang pemuda untuk menceburi bidang penternakan, selepas melihat kejayaan beberapa rakanya sebagai penternak mendorongnya untuk melepaskan jawatan sebagai seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta untuk menternak kambing.

Yusrizal Yusof, 26, dari Kampung Pandan, Rhu Sepuluh, Penarik, di sini, bekas pelajar diploma jurusan makanikal nekad untuk berhenti kerja kerana yakin bidang penternakan kambing mampu memberi pulangan yang lebih.

Ternyata, keputuasan Yusrizal untuk berhenti kerja tidak sia-sia apabila dia kini memiliki lebih 60 ekor kambing selepas menternaknya sejak 2009 dan pernah mencapai jumlah ternakan seramai 90 ekor.

"Sebenarnya saya mula meminati bidang perternakan kambing ini sejak di sekolah menengah lagi tetapi lepas sekolah, saya menyambung pelajaran dan terus dapat kerja. Minat saya terhenti seketika sehinggalah enam tahun kemudian saya teruskan minat saya itu.

"Lagipun beberapa rakan yang menyertai bidang perternakan ini berjaya dan ia memberi semangat kepada saya untuk menjayakan minat saya itu selain itu saya sering membaca mengenai penternakan kambing di internet serta pernah menyertai beberapa kursus yang dianjurkan kerajaan," katanya.

Dia yang memulakan perniagaan dengan membeli sembilan ekor kambing dengan harga RM3,000 dan membina kandang bernilai RM10,000 kini mampu menjual kira-kira 10 ekor kambing sebulan dengan harga antara RM300 hingga RM1,200 seekor.

"Selain memberi makanan segera kambing, saya banyak memberi rumput dan daun-daun pokok. Saya akan mampastikan kambing-kambing ini dalam keadaan sihat dan segar dengan mendapat khidmat nasihat dan perubatan dari Pejabat Haiwan," katanya.

Yusrizal berkata, jika mempunyai cukup modal dan tanah yang sesuai dia bercadang untuk membina sebuah ladang kambing yang boleh menempatkan jumlah kambing yang lebih ramai tetapi buat masa dia mahu menumpukan perhatian kepada kambing-kambing yang sedia ada.