Halaman

04 September 2013

OMG5 himpun kereta lama di Lagun Kuala Ibai

Oleh; Esah Abdullah 

 Olskool Mega Gathering 5 (OMG5) akan mengadakan forum komuniti bertempat di Taman Awam Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 15 September depan mulai jam 7 pagi hingga 6 petang.

Pengerusi Program, Encik Abdul Aziz Mokhtar berkata, program yang julung-julung kali diadakan di negeri ini bertujuan menghimpunkan ahli forumer olskool.my dan peminat kereta lama dari seluruh negara dan juga luar negara di dalam acara tahunan yang amat bermakna ini.

“Ianya akan dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti dan dijangka akan menarik perhatian bukan sahaja forumer, peminat kenderaan lama malah juga masyarakat setempat,” katanya.

Secara tidak langsung katanya, program ini menjadi satu lagi tarikan pelancongan ke negeri ini sambil mendokong usaha kerajaan dalam menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013.

Katanya, tahun lepas OMG4 diadakan di Terminal Bersepadu Selatan, Cheras, Kuala Lumpur yang menyaksikan penyertaan sebanyak 655 buah kereta lama seluruh negara termasuk Thailand dan Singapura dan dikunjungi lebih 10,000 orang peminat kereta lama.